Prolog

Detective Series 3357

JIHAN masuk ke dalam rumah dengan muka letih. Tidak setakat muka, satu badan merasa impaknya. Keletihan itu meraja sehingga setiap langkah dia terasa berat dan goyah. Hari dia tidak berjalan dengan lancar. Mana tidaknya, sepanjang hari ini dia ditimpa musibah. Bertimpa-timpa pula.

Ketika dalam perjalanan pulang, battery kereta pula melancarkan mogok. Terpaksa Jihan meminta bantuan rakan sekerja untuk jumper terlebih dahulu. Setelah diperiksa, rupanya battery kereta sudah melepasi had umur. Memang patut kena tukar.

Mengenangkan perbelanjaan bulanan yang tidak berapa mengizinkan, dia terpaksa menangguh dahulu walaupun berbuih mulut pomen memberi saranan supaya tukar. Semua saranan dibalas dengan gelengan kepala. Malu!

Setibanya di rumah, longlai langkah Jihan masuk ke dalam rumah. Suis lampu dipetik. Bilik yang gelap terang-benderang. Mata mengerdip dua kali supaya tidak salah melihat. Dan dia rasa musibah dia tidak hanya di tempat kerja. Tapi di rumah juga!

Jihan pejam mata beberapa saat. Mencari kesabaran dia yang hilang seharian ini. Cukup sepuluh saat menantikan, kesabaran dia enggan menyapa.. Semakin jauh perginya.

"Calm down, Jihan!" Dia cuba hapuskan benih kemarahan daripada bercambah. Perlahan-lahan kelopak mata di buka setelah yakin mampu mengawal emosinya.

Jihan menuju ke bilik air terus. Sempat dia capai tuala. Waktu asar sudah hujung-hujung waktu. Dia perlu segera. Nanti-nanti dia akan mulakan kerjayanya sebagai suri rumah pula. Biar mata dan hatinya tidak sakit.

Selesai bersihkan diri, pandangan Jihan disapa satu susuk tubuh yang terlentang di atas katil ketika melangkah keluar dari pintu bilik air. Tubuh itu kaku. Hanya sesekali dadanya turun naik.

Melihat tubuh itu begitu lena sekali, dia tidak mahu menganggu. Ada kewajipan yang perlu dia segerakan terlebih dahulu. Ketika tangan baru saja mencapai sejadah, ada suara yang menyapa.

"Saya ingat, tempat kerja je serabut. Rumah pun sama."

Jihan termagu sejenak. Namun dia memilih untuk mengabaikan. Solat lebih penting. Menurut dia, diam lebih baik jika tidak mahu terjebak dalam perang mulut.

"Penat tahu tak." Rungut suara itu lagi.

Elok-elok Jihan nak solat dalam bilik, dia melangkah keluar. Bimbang tak boleh khusyuk nanti. Dia perlu solat di bilik lain supaya terhindar daripada mendoakan orang itu ditimpa musibah dalam solatnya nanti. Bahaya! Takut termakbul doanya.

Selesai solat, Jihan sanggul rambutnya tinggi-tinggi. Banyak kerja yang perlu diselesaikan. Pertama sekali, dia menuju ke ruangan dapur sebelum ada suara tadi berbunyi kelak. Suara orang kelaparan. Lapar nak maki hamun dia.

"Hari ni saya kena makan luar lagi?"

Jihan terlambat. Orang itu selangkah lebih awal. Bahkan sudah berada sedapur sekali. Dia mengeluarkan apa yang ada di dalam peti ais tanpa menjawab

"Macam ni ke cara jaga perut suami?!"

Bunyi tudung saji mencium meja makan bergema. Terhinjut sedikit bahu Jihan gara-gara terkejut. Perkara biasa jika berdepan dengan orang kelaparan. Rasa lapar itu mampu mengubah seseorang menjadi pemarah. Namun dia masih memilih enggan bersuara. Itu hanya mengeruhkan lagi keadaan.

Jihan mengeluh perlahan setelah selesai mencari bahan untuk dimasak. Barang-barang basah masih beku. Yang ada cuma sayur.

"Awak pekak ke, Jee? Saya cakap dengan awak!"

Suara orang itu sangat dekat dengan Jihan. Membuatkan dia menoleh. Memandang tepat ke anak matanya yang menyinga.

"Saya baru balik." Beritahu Jihan.

Bukan Jihan sengaja tak nak masak. Balik pun lewat. Dengan kereta pula meragam. Semuanya jadi tergendala. Selalunya dia masak. Tapi selalu juga dia seorang yang makan. Pernah juga tong sampah makan bersama. Demi mengelak pembaziran, dia hanya masak jika ada yang mencari. Jimat kos.

"Habis tu, saya dah lama balik? Saya pun baru balik. Lapar tahu tak! Penat pun tak hilang lagi."

Jihan hela nafas panjang. Dia tak hiraukan renungan tajam tersebut. Dia perlu masak sepantas yang boleh. Ada perut yang hampir meletup gara-gara kebuluran.

"Kalau lapar sangat...Makan jela Y15 awak tu. Dia yang buat awak penat ride dari Johor Ke Penang. Dia juga buat awak pulang lewat."

Nah! Ini punca Jihan tak mahu bersuara. Dia tak mampu nak kawal mulutnya daripada menyindir.

"Saya ride biar tak bosan. Awak kerja, saya cuti. Macam mana saya tak bosan? Lagipun, bukannya saya cari perempuan lain!" Suaranya menahan marah.

"Jadi, saya salah sebab bekerja? Saya tak kerja, siapa nak bayar kereta saya tu? Minyak kereta saya? Belum lagi sewa rumah." Kesabaran Jihan sejak akhir-akhir ini hilang entah ke mana. Niat untuk membisu sudah lebur. Sebaliknya dia sedang turut serta merancakkan perang mulut.

Melihat wajah suami Jihan yang sudah merah-merah, dia mula memotong sayur. Tak kisah jika di cop isteri derhaka. Cukuplah selama ini dia diamkan diri.

"Cara awak cakap, macam saya tak pernah bagi duit nafkah satu sen pun. Awak lupa ke? Hari-hari saya makan dekat rumah mak. Nak harap awak masak, sebulan berapa kali sangat."

Jihan berhenti memotong. Dia menggenggam kuat pisau. Cuba bertenang. Bimbang pisau ini melayang saja nanti. Seminit berlalu, dia mengemas semula barangan masak tadi. Hari ini, esok dan seterusnya dia akan gantung kuali.

Jihan menoleh. Apa nak jadi selepas ini, jadilah. Dia sudah tak tahan lagi menghadapi situasi begini setiap hari. Boleh mental!

"Baguslah! Awak balik terus rumah mak awak tu. Angkut sekali semua baju-baju. Tak adalah awak mati kebulur nanti." Jihan sudah melancarkan pemberontakkan besar-besaran. Entah apa merasuk dia sampai sanggup mengusir suami sendiri.

"Saya memang tak pandai masak macam mak awak…Tapi sekurang-kurangnya saya masih tahu tanggungjawab saya sebagai isteri. Sampai saya lupa mak bapak saya sendiri." Turun naik dada Jihan. Dia mula berkira. Satu-persatu diungkit.

Jihan nampak suaminya mengepal penumbuk. Wajah suami dia juga merah teruk! Tapi dia sikit pun tak kisah. Dia akan menoktahkan kemelut mereka malam ini juga.

"Oh, lupa! Sewa rumah ni kita bayar separuh-separuh. Jadi, saya malas nak cerita panjang-panjang. Biar saya yang keluar dari sini. Anggap sajalah duit tu saya sedekah." Jihan perlukan ruang. Dia akan balik ke rumah orang tuanya buat sementara waktu.

Jihan rasa, cukup sampai sini dia bersuara. Takut kalau kisah mereka diungkit, sampai esok mahupun lusa tak akan pernah habis.

"Selangkah awak keluar dari rumah ni, Jee..Awak bukan lagi isteri saya."

Langkah Jihan terhenti ketika baru melintasi suaminya. Dia kerling sisi wajah suaminya. Sedikit pun tidak menoleh. Bibirnya tersungging senyuman sinis.

"Tak payah tunggu saya keluar rumah. Sekarang pun awak boleh ceraikan saya." Cabar Jihan.

Suaminya menoleh. Merenung Jihan garang. Dadanya berombak cukup kasar. Menunjukkan betapa dirinya tercabar bila perkataan cerai meluncur dari mulut Jihan.

"Fine! Saya ceraikan awak talak satu, Jihan."

Anehnya, setitik air mata pun tak mengalir. Malah, Jihan mampu ukir senyuman lebar. Dia merasa dirinya bebas. Segala tekanan dia rasai mula gugur satu persatu.

"Terima kasih. Kita jumpa di mahkamah." Usai berkata, Jihan angkat kaki.

Jihan perlu mengemas. Malam ini juga dia akan pergi dari sini! Dia terlalu rindukan kedua orang tuanya setelah berbulan lamanya tidak sua muka.

Mesti pernah baca kan cerita ni? Tp hujung2 cerita tak sama dgn sebelum ni

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience