Bab 5: Langkah Pertama

Romance Series 258

Seminggu selepas mereka sah menjadi pemilik Elma FC, Johan dan Zariq memutuskan untuk memulakan perubahan kecil di kelab tersebut. Mereka tahu masa semakin suntuk, dan sebelum langkah besar boleh diambil, mereka perlu menstruktur semula kelab dari dalam.

Perkara pertama yang mereka lakukan adalah bertemu dengan jurulatih dan pemain-pemain Elma FC. Perjumpaan itu diadakan di dalam bilik mesyuarat kecil di stadium yang suram, dengan dinding yang sudah lama tidak dicat semula. Para pemain yang hadir terdiri daripada sekumpulan anak muda, kebanyakan mereka kelihatan hilang arah dan tidak bersemangat.

Jurulatih kelab, seorang lelaki berusia pertengahan dengan rambut memutih di kepalanya berdiri di hadapan pasukan. “Ini Encik Johan dan Encik Zariq, pemilik baru Elma FC,” dia memperkenalkan mereka berdua dengan nada suara yang lemah.

Pemain-pemain memandang Johan dan Zariq dengan pandangan kosong, mungkin sudah terlalu biasa mendengar janji-janji perubahan daripada pihak pengurusan sebelumnya. Zariq dapat merasakan aura putus asa di dalam udara bilik itu, tetapi Johan memutuskan untuk memecah suasana.

“Kami faham apa yang kamu semua rasa,” Johan memulakan dengan nada yakin, “dan kami tahu, kelab ini dalam keadaan sukar sekarang. Tapi kami di sini untuk buat perubahan. Kami takkan biarkan Elma FC mati begitu saja.”

Pemain-pemain saling berpandangan, tetapi tiada siapa yang bersuara. Johan meneruskan, “Kami mungkin baru dalam bidang pengurusan bola sepak, tapi kami ada rancangan. Dan rancangan itu bermula dengan kamu semua. Kami perlukan sokongan anda.”

Seorang pemain, yang jelas lebih senior dari yang lain, bangkit dari kerusinya. “Maaf, Encik Johan, tapi kami dah dengar semua ni sebelum ni. Setiap kali ada pengurusan baru, kami diberitahu yang kelab akan berubah. Tapi apa yang berubah? Kami masih tak ada gaji tetap. Peralatan latihan dah rosak. Dan tiada siapa yang peduli tentang kami.”

Zariq yang mendengar kata-kata pemain itu merasa beratnya cabaran yang mereka hadapi. Johan, walaupun kelihatan sedikit terkejut, menjawab dengan penuh keyakinan. “Saya faham apa yang awak katakan. Tapi kali ini, ia akan berbeza. Kami tak akan janji bulan dan bintang. Apa yang kami boleh janji adalah kerja keras. Kami akan mulakan dengan membaiki apa yang kami mampu. Mungkin perlahan, tapi kami tak akan tinggalkan kamu semua.”

Pemain itu kembali duduk, tetapi suasana masih tegang. Johan memandang jurulatih dan berkata, “Coach, kami perlukan kerjasama dari semua orang. Kami akan mulakan dengan memperbaiki padang latihan dan peralatan. Ini bukan perubahan yang besar, tapi ini langkah pertama.”

Jurulatih mengangguk perlahan. “Saya bersama dengan Encik Johan. Selama ini saya cuba yang terbaik untuk pasukan ini, walaupun dalam keadaan terhad. Tapi saya harap encik betul-betul serius kali ini.”

Johan tersenyum. “Saya serius. Encik Zariq dan saya akan buat apa saja untuk pastikan kelab ni bertahan.”

“Kami mungkin baru dalam bidang pengurusan bola sepak, tapi kami ada rancangan. Dan rancangan itu bermula dengan kamu semua. Kami perlukan sokongan anda.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience