Di luar padang, pihak media semakin banyak membuat liputan tentang Elma FC. Pasukan yang dahulunya hampir dilupakan kini kembali menjadi tumpuan, terutamanya selepas beberapa kemenangan yang mengejutkan. Namun, disebalik perkara positif ini, ada juga persoalan yang sentiasa wujud dan cuba menggali lebih dalam tentang cabaran sebenar yang dihadapi oleh kelab itu.
Pada suatu hari, Johan menghadiri sidang media selepas latihan pasukan di waktu pagi. Wartawan tempatan sudah bersiap sedia dengan soalan-soalan perangkap dan Johan tahu dia perlu berhati-hati dalam menjawab soalan wartawan. Di dalam bilik sidang media yang padat dengan kamera dan mikrofon. Semuanya diarahkan kepada Johan dan mereka bersedia untuk menulis setiap perkataan yang dikeluarkan oleh Johan nanti.
“Soalan pertama Encik Johan,” seorang wartawan yang terkenal dengan soalan-soalan sensasinya memulakan sesi. “Elma FC telah menunjukkan peningkatan yang luar biasa, tetapi bagaimana dengan tekanan kewangan kelab? Ada khabar angin mengatakan kelab menghadapi masalah kewangan. Apa komen encik tentang itu?”
Johan menarik nafas panjang. Soalan ini dijangka, tetapi masih membuatkannya merasa tidak selesa. “Ya, kami akui bahawa kami masih dalam proses menstabilkan kewangan kelab. Kami juga sedang bekerja keras untuk memastikan kelab ini dapat berdiri kukuh dalam jangka masa panjang. Kami mendapat sokongan yang baik dari penaja dan penyokong kami, dan kami yakin langkah-langkah yang kami ambil akan membawa Elma FC ke arah yang lebih baik.”
Namun, wartawan tersebut masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Johan. “Tapi ada laporan yang mengatakan bahawa beberapa pelaburan baru tidak berjalan seperti yang dirancang. Bagaimana jika pelan kewangan ini gagal?”
Suasana di dalam bilik sidang media menjadi tegang. Johan merasakan tekanan yang semakin meningkat, tetapi dia tahu dia tidak boleh menunjukkan kelemahan. “Setiap pelaburan ada risikonya dan kami membuat keputusan berdasarkan analisis yang teliti. Kami percaya dengan pasukan kami, dengan pemain-pemain kami, dan jurulatih kami. Ini bukan tentang mengambil langkah terburu-buru, tetapi membina sesuatu yang boleh bertahan lama.”
Wartawan itu ingin menyambung soalan, tetapi Johan memotong. “Kami disini bukan sekadar berusaha untuk memenangi piala sahaja. Tetapi kami disini berusaha untuk membina masa depan kelab ini dengan lebih cemerlang. Dan kami akan terus bekerja keras untuk mencapai matlamat kami.”
Sidang media itu berakhir dengan Johan yang kelihatan tenang, tetapi didalam hatinya, dia tahu tekanan semakin kuat. Setiap kata-kata yang dilontarkan oleh wartawan semasa sidang media tadi terus bermain dalam fikirannya. Dia tahu, walaupun mereka sudah menang beberapa perlawanan, cabaran sebenar masih menanti mereka.
“Kami disini bukan sekadar berusaha untuk memenangi piala sahaja. Tetapi kami disini berusaha untuk membina masa depan kelab ini dengan lebih cemerlang. Dan kami akan terus bekerja keras untuk mencapai matlamat kami.”
Share this novel