BAB 1

Horror & Thriller Completed 4322

DI warung Walid-Walid kepunyaan Deraman dikerumuni orang. Ingat ada ada mesyuarat tergempar tetapi hakikatnya ada seorang yang mengamuk tidak puas hati. Panas hatinya pada Pak Jemat yang baru berpindah ke kampung ini duduk sendiri di lereng bukit.

Penghulu kampung ini murah hati bagi tanah untuk dijaga oleh Pak Jemat. Kebun pisang milik tok ketua kampung diuruskan oleh Pak Jemat. Memang Pak Jemat menjadi orang kesayangan tok ketua.

Deris memang panas hati. Semenjak Pak Jemat si tua kerepot itu masuk kampung ini, macam-macam hal berlaku. Keamanan kampung ini sudah tergugat gara-gara selalu kedengaran bunyi orang menangis dalam semak.

Kadangkala dengar orang gelak disusuli pula dengan suara orang berlari-lari tengah malam. Hinggakan budak-budak hendak pergi mengaji pun takut dan lari litang pukang macam lipas kudung terus menyorok di balik selimut. Tidak kurang hebatnya ada yang terperap bawah katil takut diganggu. Anak-anak yang soleh terus sahaja menonong masuk celah ketiak mak.

Pian dan Ropi berpandangan semasa sendiri. Lagut mendengar Deris membuat spekulasi sambil melambai-lambai bersama sebilah kapak. Kapak itu digunakan semasa memotong kayu untuk dijadikan arang. Kalau silap lambai boleh tekena kepala mereka.

mereka sibuk memperkatakan tentang kaki Pak Jemat. Orang tua itu kelihatan terhincut-hincut sahaja sejak kebelakangan ini. Pian kata, kaki Pak Jemat kena paku masa baiki rumah Pak Lebai Kumis dan Ropi pula kata Pak Jemat tersadung batu depan rumah Si Senah masa tengah syok tengok Senah bergelek sambil sidai kain di jemuran.

"Aku dah kata! toyol tu memang suka isap darah dari ibu jari kaki! kau tak nampak ibu jari kaki Pak Jemat tu? Berparut! tak perasan ke?" ujar Deris dengan bersungguh menyatakan Pak Jemat bela toyol.

"Benarkah dia bela toyol? aku rasa dia bela hantu raya.." Pian menafikannya.

Biar apa pun andai mereka, Pak Jemat memang bela semua tu. Hantu raya, toyol dan bermacam jenis hantu dia bela. Yang Musykilnya, dari mana dia dapat semua hantu itu?

"Aku kena siasat kes kehilangan barang! dan aku pun tahu macam mana rumah pak lebai yang kena ribut tu boleh diperbaiki oleh Pak Jebat dalam masa yang singkat sahaja," Deris kekal menaruh curiga.

Lelaki yang berbaju melayu dan bersongkok ini segera bercekak pingang. Nampak gelisah sahaja. Dia memang kurang gemar kalau ada orang buat benda yang tidak elok di kampung ini. Tambah lagi Pak Jemat itu bukan penduduk asal kampung ini.

"Kalau kau nak siasat kau siasatlah, aku tak nak masuk campur," Pian tidak mahu ikut menyiasat kerana sebelum ini dia telah diganggu kuntilanak menumpang motornya mahu balik ke kuburan.

Kebiaasaannya kalau sudah diganggu makhluk tersebut selalu sangat mahu berhenti di kubur. Tiada tempat lain hendak berhenti. Berhentilah ke Shoping complex ke atau di mana-mana tempat yang seronok.

Orang-orang Kampung Pasir Secotek mula berasa bimbang. Bimbang tatkala banyak binatang ternakan kurus kering jadinya. Seperti kejadian lepas. Lembu Kazam segar gebu malah berseri-seri lagi. Tapi dilihat pada keesokan harinya di dalam kadang, didapati semua lemak lembu habis disedut. Menatang (binatang) apalah yang meminum darah dan lemak lembu-lembunya itu.

Selain itu tanaman-tanaman Pak Murad seperti kangkung, kobis, patola dan bermacam-macam lagi lesap. Tidak lupa juga baja tahi ayam yang digunakan untuk menyuburkan tanaman turut lesap.Hairan sungguh!

"Apa yang berlaku di kampung ni memang kerja Pak Jemat tu! sah! tiada orang lain lagi!" Deris suka memaku deras apa yang muncul di benaknya.

Pian kadang-kadang jenuh dengar Deris sibuk provokasi di warung Walid-Walid ini. Dia hendak minum pun tidak senang. Sekejap lagi dia mahu balik makan tengah hari di rumah. Rindu masakan isterinya. Sungguh sedap ikan tawar dicicah dengan sambal belacan.

"Woi! kau dengar tak aku cakap dengan kau ni!" marah Deris bila tengok mulut Pian terlopong sambil meleleh air liur.

Ropi pula seperti biasa menongkat dagunya mendengar dengan penuh teliti. Bukan pada ucapan Deris tapi pada lagu yang terpasang di warung itu. Lagu Ramlah Ram katanya. Sedap sungguh dia mendengar lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu.

Masing-masing buat tidak tahu dengan ucapan Deris lagi. Bosan agaknya. Bukan mereka tidak tahu sikap Deris. Suka perbesarkan hal yang remeh. Ropi dengan semangatnya ikut-ikut nyanyi. Pakcik yang duduk sebelah Ropi pun suka lagu itu. Bergerak-gerak bibir pak cik berkopiah putih menghafal lagu itu.

Ada di antara mereka meneruskan aktiviti mengisi waktu yang bersisa dengan main dam haji. Deris tarik muka bila tengok masing-masing buat tidak tahu. Cepat-cepat dia atur langkah pergi dari situ. 'Ooo korang tak percaya cakap aku ya, nanti kalau korang kena baru tahu. Aku cerita benda betul korang ingat aku main-main ya,' gerutu Deris dalam hati lantas mencapai basikal tuanya terus berlalu dari situ dengan perasaan geram bercampur kecewa.

Alahai kau Deris, susahnya orang hendak percayakan cakap si penipu yang pernah menipu orang. Dulu kain pelikat Pak Lebai Kumis kau curi buat pergi sembahyang Jumaat. Naif sungguh kau Deris. Tidak cukup dengan itu selepas berjanji dengan Tuhan untuk berbuat amal dengan mudah dilupakannya pula. Turun saja di kaki masjid, selipar orang lain yang dikebasnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience