PERASAAN geram sahaja terbuku di relung hatinya. Benci! menyampah! Semua ada. Tidak cukup dengan itu dia ludah air liur ke sisi. Tidak henti-henti dia memaki hamun makhluk yang ada di depannya. Sudah pandai bergaya nampaknya. Sudahlah hanya tinggal bajunya sehelai itu sahaja untuk dipakainya esok hari pergi kenduri rumah orang kahwin. Tapi Si Jetam ni pula sudah pakai baju Melayunya. Kurang asam.
Sekiranya baju yang dipakai itu adalah untuk melepak sambil baca buku pasti Jemat tidak kisah. Yang buat Pak Jemat naik angin, baju tersebtu dipakai buat berkebun.
"Hoi Jetam!" pekik Pak Jemat.
"Opocot!" melatah pula si Jetam dan terus menoleh. Kemudian dengan selambanya menyambung kerja. Buat 'derk' saja.
"Kau tak habis buat perangai! apa yang kau angin sangat dengan aku ni sampai baju aku pun kau kebas?" marah Jemat sambil ekor matanya merenung tajam ke arah hantu raya belaannya yang diberi nama Jetam kerana berbulu hitam, 'Je' pada pangkal namanya merujuk pada dirinya sebagai pemilik yang sah pada makhluk itu.
Jetam dengan wajah tidak bersalah masih menerus aktiviti yang berfaedah itu dengan mencangkul tanah. Malas hendak melayan tuannya yang seperti mengabaikan dirinya. Apa salahnya dia pakai baju Melayu, barulah nampak kacak.
Jemat melangkah menghampiri Jetam setelah paus berkecak pinggang sambil membebel. Di tengah kebun pisang itu memerhatikan Jetam yang kononnya rajin bekerja.
Jemat berkopiah putih dan serebannya disangkut pada bahu itu lagak seperti seorang haji. Ilmu agama tidak kuat sampai sanggup bela menatang itu. Bagus sangatlah itu bela binatang yang ditegah. Tapi Jemat apa kisah asalkan kerjanya dapat dibereskan secepat mungkin.
Jetam berhempas pulas bekerja keras agar tuannya memberikannya makan secukupnya. Sudah lama dia mengidam Kentucky Frick Chicken Hot Spicy. Harap-harap dapatlah dia merasa. Selalu benar lihat iklan di Televisyen dekat warung Walid-Walid itu. Meleleh air liur dibuatnya.
Kali ini Jemat mengeluh panjang sebab melihat Jetam buat muka kasihan. Muka sponsen katanya. Namun itu tidak dapat meredakan amarahnya. Jemat mahu marah lagi. Marah sebab dia dapat tahu bahawa Jetam sudah pandai skodeng orang yang dia minat. Siapa lagi kalau bukan Si Senah janda anak lapan.
“Jetam! Kau mari sini!” panggil Jemat sambil melambai deras.
Jetam yang buat-buat sibuk terus melepaskan cangkulnya. Dengan pasrah dia melangkah.
“Apa hal kau skodeng makwe aku? Kau nampak ni?” Jemat menunjukkan buku limanya ke arah muka Jetam yang baru tiba di hadapannya.
“Salah ke?”
“Sudah tentulah salah! Dia tu bakal bini aku!” kata Jemat sambil membetulkan kain pelikatnya yang terasa sedikit terlondeh.
Hari ini dia malas buat kerja. Mahu rehat di rumah sahaja sambil kunyah kerepek pisang. Selepas itu mahu tidur puas-puas sebab malam tadi tidak lena tidurnya. Asyik mimpikan si Jetam mengorat pujaan hatinya.
Jetam tunduk-tunduk. Tidak mampu bertentang mata dengan Jemat yang sedang marah-marah. Dia tahu, kalau dia ingkar pada arahan Jemat, dirinya akan terasa terbakar sahaja. Dia tidak mahu kepanasan. Biarlah dirinya terasa dingin membeku seperti salju yang turun di Korea Selatan.
Apalah daya Jetam seekor hantu raya yang kurang diberi perhatian. Jika dulu, waktu isteri Jemat masih hidup. Dia begitu bahagia sekali. Kini Halimah sudah tidak ada. Dia mula kerinduan dan dahagakan kasih sayang.
“Apa yang kau fikirkan? Kau jangan nak buat fasal! Satu lagi aku nak ingatkan! Aku tak sukalah kau asyik menyamar jadi aku aje. Kau pun tahu aku ni tak handsome. Kau menyamarlah jadi Brad pitt ke, Aaron Aziz ke, Leonardo DeCaprio ke…
barulah ada awek syok kat kau. Kenapa muka aku jugak yang kau pilih,” gerutu Jemat hampa.
Selalu sangat Jetam menyerupai dirinya. Sudah jenuh dia nasihatkan Jetam supaya menyerupai jadi orang lain pula. Jemat pula sudah puas baca mantera meniup pada sekeping gambar Shah Rukh Khan untuk Jetam. Dia mahu Jetam tiru lagak Shah Rukh Khan sahaja. Tapi tidak menjadi.
“Bos! Aku dah tak laratlah hidup membujang. Bolehkah bos carikan aku awek? Paling tidak pun, kau tolong pinangkan aku pada Siti Nurhaliza. Aku berkenan dekat dia. Suara dia! Fulamak, menusuk kalbu,” repek Jetam.
Semakin menjadi-jadi perangai gila Jetam ini. Dulu elok sahaja. Mungkin Jemat sudah lupa, dia pernah hempap batu atas kepala Jetam suatu ketika dulu. Waktu itu Jetam masih kecil lagi tapi sudah pandai curi duit dia pergi beli nasi kerabu dan makan sendiri. Siapa tidak angin.
Pecah kepala Jetam ketika itu. Tapi mujurlah atas belas kasihan cepat-cepat Jemat rawat semula. Tidak sampai hati rasanya melihat Jetam meronta-ronta kesakitan sampai terkeluar otak. Hantu raya ada otak juga. Otak jahat.
“Kau ni memang dah gila! Mana boleh pinang dia! Dia dah hak orang lain. Kalau si debab anak Mak Leha Capik itu aku boleh pinangkan untuk kau,” ucap Jemat.
“Aku tidak mahu dia! Dia bisu! Macam mana aku hendak dengan dia menyanyi kalau sudah bisu?” Jetam jual mahal. Sudah dibagi peluang tapi ‘demand’ pula.
Jemat tiba-tiba duduk mencangkung. Tidak terlayan kerenah biol di Jetam yang semakin menjadi-jadi. Hendak hantar ke hospital bahagia si Jetam tidak layak berada di situ. Hendak hantar ke kubur dia bukan manusia. Jemat garu kepala dengan deras. Tercampak kupiahnya jatuh ke tanah.
Kemudian dia mendongak ke arah Jetam.
“Aih! Cepat benar kau tukar rupa. Tadi jadi muka aku sekarang jadi muka datuk aku pula?” soal Jemat.
“Tadi bos marah aku jadi muka bos! Biar aku jadi muka bekas majikan aku yang dulu itu. Aku bangga jadi pekerja dia sebab dia selalu beri aku minum darah. Kau ni…jangan harapkan darah, Milo pun kau tak pernah bagi aku minum! Macam mana aku nak cerdas, sihat dan kuat?” Jemat harus menjawab sindirian itu. Jika tidak dia akan terus dibuli dengan kata-kata oleh Si Jetam yang sudah naik kepala.
“Macam nilah, kejap lagi aku bagi kau minum darah angsa. Tadi dapat rasakan angsa Sulaiman mampus kat tepi jalan kena langgar dengan beca. Kau tunggu kejap aku pi ambil,” Jemat memberi harapan pada Jetam.
‘Darah angsa buat apa?! Boring ar!’ rungut Jetam di hati.
Tidak berapa lama kemudian Jemat kembali membawa seokor angsa yang telah mati. Dia beri hantu raya itu minum darah dengan lahap sekalai. Kasihannya dia tengok Jetam macam tidak cukup makan. Tapi memang benar, sudah lama dan terlampau lama Jetam ikat perut. Kadang-kadang terpaksa berpuasa menahan selera.
Share this novel