“AWAK jangan fikir yang bukan-bukan. Mungkin kerja musang kot,” duga Pak Lebai Kumis yang sungguh bersikap optimis. Tidak mudah buruk sangka biarpun bernasib malang. Baginya semua ini ketentuan ILAHI.
Hajah Siti mula buat muka. Agak kurang senang dengan jawapan yang diberikan oleh suaminya berkenaan hal yang berlaku pada pagi tadi. Dia sengaja membatukkan dirinya sebelum menghidangkan nasi buat santapan si suami. Tiba-tiba terdengar pula orang beri salam sambil mengetuk pintu rumahnya.
Hajah Siti baru sahaja hendak mengisi perut bersama suami tersayang yang balik dari surau. Dengan susah payah Hajah Siti bangun dari tempat duduknya terus meluru ke pintu. Pak Lebai Kumis memerhati dengan ekor matanya sambil terangkat kening.
Sebaik sahaja pintu dikuak, serta-merta Hajah Siti berjegil mata. Terkejut melihat ada seorang lagi Pak Lebai Kumis berdiri di muka pintu.
“Kau ni kenapa Siti? Terbeliak biji mata macam nampak hantu saja,” tegur Pak Lebai Kumis.
Hajah Siti kehilangan kata-kata. Nafasnya turun naik dengan tiba-tiba. Siapa pula yang duduk bersila di depannya tadi? Berani-berani sungguh hendak tumpang makan di rumah Hajah Siti. Mentang-mentang Hajah Siti masak lauk yang sedap hari ini. Masak lemak cili api.
Share this novel