BAB 5

Romance Completed 833

Tiba-tiba, Hafiz menarik tangan Ameera menuju ke arah basikal yang
‘diparkirnya’ tadi. “Jom, aku bawa kau bersiar-siar. Kau duduk belakang,
ya?” pelawa Hafiz.

Ameera hanya menurut. Setelah Hafiz ingin memulakan kayuhan, dia duduk
di bahagian belakang basikalnya. Hafiz pun terus mengayuh.

“Cik adik nak ke mana?” gurau Hafiz.

“Saya nak ke Paris. Boleh awak bawa saya ke sana?” balas Ameera.

“Oh, boleh! Kalau pasal cik adik semuanya saya sanggup lakukan. Tapi,
satu aje yang saya minta. Tolong pegang ketat-ketat. Kalau jatuh, saya
tak ada masa nak bawa ke hospital.” Hafiz meneruskan kayuhannya lagi.
Kali ini, semakin laju.

“Hafiz! Perlahanlah sikit!” Ameera semakin takut. Dibayangnya jikalau
jatuh. Aduh, sakit betul! Dengan terpaksanya dia memeluk pinggang Hafiz.
Dia lebih rela berbuat sedemikian daripada terbaring di hospital selama
beberapa hari.

Hafiz sudah tersenyum sendirian. Terasa bahagia diperlakukan sebegitu
oleh Ameera. “Takpe. Kalau kau jatuh, aku selalu ada untuk kau, Meera.
Aku selalu ada untuk kau!”

Tidak semena-mena, Ameera rasakan jantungnya berdegup laju. Bukan kerana
kelajuan basikal yang dikayuh Hafiz tetapi disebabkan kata-kata Hafiz
itu. Tidak pernah selama ini dia merasakan sebegitu.

*KOTAK*hadiah yang diberikan oleh Hafiz tadi diamatinya dalam-dalam. Dia
tidak mahu untuk membukanya tanpa meneka terdahulu apakah isi kandungan
kotak kecil yang dibalut dengan kertas pembalut berwarna merah jambu dan
diikat dengan reben merah itu.

“Mungkin, gelang kut. Dulu, dia pernah bagi rantai. Aku masih pakai
sampai sekarang. Dia pernah bagi buku, kotak pensel dan selendang. Ermm,
mungkin gelang.” Ameera berbicara sendirian di dalam biliknya itu.

Hafiz pernah menghadiahinya seutas rantai, selendang malah ketika mereka
di sekolah menengah, lelaki itu juga telah memberinya beberapa alat
tulis. Tidak mustahil jika kali ini Hafiz ingin menjadikan gelang
sebagai hadiah untuk Ameera. Tanpa sedar, Ameera sudah mula mengoyak
sedikit demi sedikit balutan kotak itu.

‘Cincin?! Hafiz bagi aku cincin? Untuk apa?’

Ameera menyarungkan cincin belah rotan pemberian Hafiz itu. Cincin yang
diperbuat daripada emas putih itu ditiliknya. Ameera kembali mengorek
isi kotak tadi. Ada sehelai kertas kecil berwarna merah jambu berbentuk
hati di dalam kotak itu. Dia terus mengambil dan membacanya.

Ameera,

Sudikah kau menjadi teman sehidup semati aku? Kalau kau pakai cincin tu
sebelum baca kertas yang cute lagi comel ni, tandanya kau setuju. Kalau
kau baca kertas ni dulu, kau boleh pilih sama ada terima atau tak.

Agak bodohkan syarat aku ni? Tapi, nilah kali pertama aku seserius macam
ni dengan kau. Aku harap kau dapat terima aku, Meera. Aku sayangkan kau…

Hafiz…

Dahi Ameera berkerut seribu. ‘Pelik betul syarat kau, Hafiz. Tapi aku
dah pakai cincin ni sebelum baca surat kau.’ Ameera semakin pelik.
Kenapa secara tiba-tiba sahaja Hafiz memberi cincin ini? Dan adakah ini
satu lamaran atau hanya gurauan?

‘Hafiz! Kau memang gila! Kau suruh aku terima orang yang datang merisik
aku lepas tu kau lamar aku cara ni?’ hati Ameera semakin bingung.

Tangan Ameera segera mencapai telefon bimbitnya di atas katil itu.
Didailnya nombor telefon Hafiz beberapa kali namun tiada sebarang jawapan.

*HAFIZ* sudah sampai di rumah bakal isterinya itu. Dia memarkir kereta
BMW 523i miliknya di hadapan rumah.

“Hafiz, kau tak berdebar ke?” kakak Hafiz, Fatin bertanya.

“Nak berdebar apanya? Santai aje. Aku bukan macam kau. Susah sangat nak
kahwin. Tengok sekarang ni, aku dulu yang kahwin daripada kau. Takpelah,
takde rezeki kan?” balas Hafiz sambil tersenyum sinis memandang kakaknya.

“Eleh… Takde maknanya. Dah jodoh aku belum sampai, nak buat macam mana?
Saiful tu ada. Tunggu nak datang meminang aje. Aku pun dah nak kahwin
jugak ni. Aku tunggu kau kahwin dulu,” ujar Fatin lalu mencebikkan bibirnya.

“Dahlah Hafiz, Fatin! Asyik nak gaduh aje kerja korang ya? Kalau takde
ibu yang hentikan korang, tak nikahlah Hafiz ni jadinya.” Ibu Hafiz
iaitu Puan Fatma mula bersuara.

Melihat Puan Fatma sudah menapakkan kakinya keluar dari perut kereta,
Hafiz dan Fatin juga keluar. Apabila semua rombongan sudah memasuki
rumah itu, Hafiz terkelu. Sebuah pelamin berwarna ungu dan putih
tersergam indah di suatu sudut di dalam rumah itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience