BAB 3

Romance Completed 833

Puan Kalsom menjadi suri rumah sepenuh masa manakala abah Ameera, Encik
Harun hanya bekerja sebagai seorang tukang kebun di sebuah sekolah
rendah di kampung itu. Disebabkan itulah, Ameera membantu keluarganya
dengan mencari rezeki di sebuah kilang roti sejak dia berumur 20 tahun
lagi kerana pekerjaan di kampung memang terhad. Dia fikir, ini sahaja
caranya untuk membalas budi kedua-dua ibu bapanya.

“Ameera…” Teguran seorang lelaki kedengaran dari belakang Ameera. Tidak
semena-mena lamunannya tadi berkecai. Suara yang didengarinya itu mampu
membuatkan seluruh wanita cair. Tiba-tiba sahaja bulu roma Ameera
menegak. Entah mengapa dia rasakan sebegitu. Suara garau itu betul-betul
membuatkan dia cair.

Segera dia memalingkan tubuhnya ke belakang. Seorang lelaki tinggi
lampai dan berwajah putih melepak berdiri di situ. Lengan kemeja putih
yang dipakainya dilipat hingga ke paras siku. Sangat tampan!

“Ya, saya. Ada apa boleh saya bantu encik?” Tergagap-gagap Ameera bertanya.

Berkerut dahi lelaki itu. “Meera, ni aku. Hafiz!”

Kali ini dahi Ameera pula yang berlipat-lipat. Dia berfikir sejenak.
‘Hafiz? Hafiz mana pulak ni? Hafiz, Hafiz… Oh, Hafiz kawan aku!’

“Hafiz?!” Terbuntang biji mata Ameera apabila otaknya dapat menangkap
siapakah lelaki yang berdiri tegak di hadapannya itu.

“Ya. Aku Hafiz! Kau ni agak-agaklah. Takkan tak kenal kut siapa aku.
Lain sangat ke muka aku sekarang dengan muka aku masa kali terakhir kau
jumpa aku dulu?” kata lelaki yang menggelarkan dirinya Hafiz itu lalu
duduk di sebelah Ameera.

“Hafiz, muka kau betul-betul berbeza! Kacak betul kau sekarang, ya? Apa
kes balik tiba-tiba aje ni?” puji Ameera beserta soalan sambil merenung
sahabat lamanya itu. Rasa rindu pula yang terbit di benaknya. Kalau
boleh, mahu saja dia memeluk Hafiz.

“Kenapa? Kau tak suka aku balik? Kalau tak suka tak apa, aku boleh balik
Perak semula.” Hafiz menarik muncungnya sedepa lalu bangun dari duduknya
dan ingin meninggalkan pondok itu. Pura-pura merajuk dengan kata-kata
Ameera.

“Eh, sabar! Mana ada aku tak suka. Aku suka sangat bila kau balik,” ujar
Ameera sambil menarik lengan Hafiz tanda menyuruh lelaki yang memakai
seluar slek itu untuk duduk semula.

“Betullah sangat tu. Aku balik ada hal tau. Dua minggu sahaja aku balik,
lepas tu tak nak datang dah sini,” rajuk Hafiz sambil duduk kembali di
tempatnya tadi. Sengaja dia menekankan perkataan sahaja di dalam ayatnya.

“Alah… Janganlah merajuk. Sumpah! Aku happy bila tahu kau balik ni,
tahu tak?” pujuk Ameera tanpa mengulangi persoalannya tadi. Jika Hafiz
merajuk lagi bagaimana? Malas sudah dia ingin memujuk. Muka, suara,
fizikal sudah matang tapi perangai keanak-anakan. Masih lagi kuat
merajuk sama seperti kali terakhir mereka bertemu dahulu.

“Okey, okey. Kau macam mana sekarang?” tanya Hafiz pula. Dia membetulkan
duduknya dan menghadap Ameera.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience