BAB 6

Romance Completed 11186

SABTU tiba jua. Hari ini bermulanya karnival muzik yang setiap tahun diadakan. Karnival selama dua hari ini dianjurkan oleh Fakulti Muzik. Pelbagai aktiviti diadakan seperti pameran, pertandingan nyanyian, garage sale dan sebagainya. Sebentar lagi majlis perasmian akan disempurnakan oleh pengarah kampus bersama-sama dekan fakulti. Usai majlis perasmian, persembahan dari pelajar-pelajar muzik tahun akhir akan diadakan.

Farida tidak punya semangat untuk meneruskan persembahan. Dua hari rakan sebiliknya tidak kelihatan. Felisha tidak pulang ke bilik mahupun menghadiri kuliah. Sesi latihan koir apatah lagi. Tiba-tiba sahaja Puan Najihah mengatakan yang Felisha menarik diri kerana faktor kesihatan.

Dia tahu itu hanya alasan yang direka oleh Felisha. Telefon tidak berangkat, mesej tidak berbalas. Mungkin terlalu dalam luka di hati Felisha sehingga mengambil masa sebegini lama untuk merawatnya. Sungguh Farida risau akan keadaan kawan baiknya itu. Pasti Felisha kecewa. Gadis itu akan menganggap dia sebagai pengkhianat. Dia yakin, persahabatan yang terjalin hampir tiga tahun itu sudah berkubur. Felisha tidak akan mempercayai dirinya lagi.

Farida yang menunduk mengangkat wajah apabila dirasakan ada seseorang berada di hadapannya. Azhar menguntum senyum tawar. Ah, lelaki di hadapannya ini juga tidak dapat diteka perasaannya. Ternyata dia tidak mampu menahan gelora rindu yang bermukim di pantai hati. Dia tidak dapat menipu dirinya, perasaannya, jiwanya bahawa dia sangat merindui Azhar. Lelaki ini terlalu dekat namun sukar untuk digapai.

Tidak, dia tidak boleh lemah. Bukankah dia sudah nekad untuk melepaskan lelaki ini pergi? Tetapi, mengapa semakin jauh dia berlari, bayang-bayang Azhar semakin menghampiri? Ingatan dan kenangan indah bersama-sama lelaki ini kerap kali bertali-arus terlayar di ruang minda. Sekaligus mencarik rakus luka di hati.

“Bersedialah, sebentar lagi giliran kita,” ujar Azhar, mengembalikan Farida ke alam realiti.

“Felisha ada hubungi awak?”

Azhar hanya diam lalu berpaling pergi. Farida dicengkam rasa bersalah yang teramat. Kini dia bukan sahaja kehilangan kekasih hati, malah sahabat baik juga sudah menjauh pergi. Salah diakah kerana tidak pernah memberitahu Felisha akan hakikat hatinya telah dimiliki? Bukan dia tidak mahu menyampaikannya tetapi hubungan cintanya dengan Azhar masih hijau. Cadangnya, sebelum tamat semester, baru dia akan memberitahu Felisha. Tapi, nasi sudah menjadi bubur.

Suara pengerusi majlis kedengaran menjemput tetamu kehormat untuk memulakan majlis perasmian. Farida bangun dengan lemah. Dia menarik nafas panjang. Selepas tamat persembahan, dia nekad untuk mencari Felisha. Pasti gadis itu berada di rumahnya.

“Baiklah, sekarang kita akan disajikan dengan persembahan dari para pelajar tahun akhir yang akan mendendangkan beberapa buah lagu secara medley. Dengan segala hormatnya, dipersembahkan!” ujar pengacara majlis yang segak memakai kot hitam itu.

Semua peserta yang membuat persembahan bersiap-sedia. Farida mengikuti langkah Azhar ke atas pentas. Dewan besar itu kelihatan padat dengan orang ramai. Ada gemuruh yang menjalar dalam hati Farida. Pertama kali dia membuat persembahan di hadapan orang ramai sebegini.

Bagai menyedari gelisah yang melanda Farida, Azhar memetik gitarnya perlahan, membuatkan Farida menoleh ke arahnya. Dikenyitkan sebelah mata pada gadis itu lantas mengangguk. Farida mengukir senyum kecil. Matanya dipejamkan.Dia mula memegang biola di tangan kiri dan memulakan gesekan. Bergema dewan tersebut dengan irama merdu dari gesekan biolanya. Tenang dan mendayu.

Kemudian, diikuti dengan petikan gitar dari Azhar, menghasilkan kombinasi alunan gemersik yang membuai rasa. Perlahan-lahan tirai di belakang diangkat dan para peserta koir mula menyanyi.

Selesai membuat persembahan, Farida segera turun dari pentas. Dia mahu mencari sahabat baiknya. Biola dimasukkan ke dalam sarung lalu dia pantas belari namun terhenti apabila lengannya ditarik. Farida berpaling dan matanya membulat.

“Tunggulah, persembahan masih belum tamat.”

“Sekarang, persembahan istimewa dari Azhar dengan lagunya ‘Irama Hati’. Saksikanlah!” suara pengacara majlis menyapa telinga Farida.

“Lagu ini saya tujukan buat satu-satunya gadis yang saya cintai. Sebuah lagu yang dicipta istimewa untuknya. Kepada Farida, jangan pernah berhenti menyanyi lagu cinta kita,” ujar Azhar membuatkan seisi dewan kecoh.

Petikan gitar mula kedengaran. Farida rasakan jiwanya bergetar hebat. Suara Azhar terasa menusuk kalbu.

Kau bidadari terindah

Yang ku temu dalam lewat hariku

Kau yang satu antara seribu

Kau menawan hatiku

Saat bertentang mata denganmu

Seluruh jiwaku berlagu

Irama hati kucipta buatmu

Agar jadi pengubat rindu

Tiada kata yang mampu ku ucapkan

Untuk aku miliki seluruh isi hatimu

Agar dapat aku khabar pada dunia

Betapa kucinta kamu

Kau tercantik antara yang ada

Kau terhebat di dalam jiwa

Kau sempurna di pandang mata

Aku mahu kamu

Cintaku

Dengarlah lagu kucipta buatmu

Agar kau tahu

Rahsia hati ku

Betapa benar aku cintai kamu…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience