BAB 3

Romance Completed 11186

DEBARAN dalam hati usah diteka. Setiap saat matanya tidak lepas dari melihat jam di dinding. Menanti dengan penuh gementar. Beberapa minit menunggu, pintu bilik akhirnya ditolak. Pantas Farida bangun. Wajah ceria Felisha menyapa pandangan, membuatkan hati tambah berdebar.

“Hello!” sapa Felisha lalu duduk di atas katilnya sambil membuka kasut tumit tinggi yang dipakai.

“Macam mana dengan makan malam tadi?” Farida terus ke persoalan utama, tidak ada masa mahu berbasa-basi.

“Not bad.”

“Ceritalah, siapa lelaki tu?” tanya Farida lagi.

“Kalau Isha beritahu jangan terkejut ya,” ujar Felisha dalam senyuman.

“Siapa?” Farida menggesa walaupun dia seakan tahu nama yang bakal meniti keluar dari mulut gadis yang berblaus hijau ditaburi bunga putih itu.

“Azhar.”

Dup! Farida cuba mengawal tubuhnya dari terjelepok. Benarlah. Benarlah apa yang berlegar dalam fikirannya sejak Jumaat lepas. Tuhan, mengapa begini hebat dugaan yang diberikan padanya?

“Ida! Hello! Are you okay?”

“Ah, maaf. Awak serius Isha?” soal Farida, cuba mencari ketenangan.

“Hah, terkejut, kan? Isha pun tak sangka mulanya Azhar tu anak kawan mama Isha. Tadi masa makan malam, mama Azhar ada usik Isha. Katanya, bertuah dapat bakal menantu macam Isha,” terang Felisha.

Bakal menantu? Oh, kali ini Farida rasakan dia benar-benar mahu rebah namun segera dia duduk di kerusi belajar. Tidak, hal ini tak boleh dibiarkan. Azhar miliknya! Tapi... Bukankah Felisha adalah teman baiknya? Argh! Kusut!

Bunyi deringan telefon bimbit menarik perhatian kedua-dua gadis itu. Farida hanya membiarkan telefon bimbitnya menjerit nyaring dan akhirnya berhenti sendiri. Dia tahu benar siapa yang menelefon. Lagu “No Air” dari drama Inggeris ‘Glee’ itu merupakan kesukaan Azhar. Dia masih belum bersedia untuk bersemuka dengan lelaki itu. Telefon bimbitnya sekali lagi berbunyi.

“Kenapa tak angkat?” tegur Felisha.

“Orang tak kenal. Dari tadi asyik kacau. Malas nak layan,” bohong Farida.

“Hmm... Isha nak salin baju dululah. Lepas tu nak tidur terus. Penat drive,” ujar Felisha lalu melangkah ke almari pakaiannya.

Farida merenung telefon bimbit di atas meja. Fikirannya celaru. Antara kekasih hati dan sahabat baik, yang mana satu perlu menjadi korban?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience