BAB 5

Romance Completed 11186

BANGKU kayu yang dicat kuning itu menjadi tempat pertemuan Farida dan Azhar petang itu. Tidak ramai pelajar yang berada di taman mini tersebut. Rata-rata lebih gemar ke pusat sukan untuk beriadah.

Semasa Farida sampai, Azhar sudah duduk menanti di bangku kayu tersebut. Pohon semarak api yang tumbuh berjajar di taman itu sudah mula rekah berbunga. Jingga dan merah warna bunganya. Semilir yang berpuput sedikit pun tidak menghantar tenang dalam hati Farida. Sebentar lagi dia akan mencampakkan diri ke lembah derita. Biarlah, dia rela. Asalkan mereka yang dia sayangi bahagia.

“Assalammualaikum, maaf saya lewat,” sapa Farida lalu duduk di bangku tersebut, sedikit jarak dari Azhar.

“Waalaikummussalam. Tak apa, saya pun baru sampai,” balas Azhar.

Sepi mula mengambil tempat. Masing-masing melayan perasan. Empat hari berlalu sejak Ahad lepas dan sepanjang empat hari itu Farida menjauhkan diri dari Azhar. Walaupun belajar di dalam kelas yang sama, Farida menganggap Azhar bagai orang asing. Ketika sesi latihan pula Farida buat tidak endah sahaja akan kewujudan Azhar. Apatah lagi melihat Felisha yang semakin mesra dengan kekasih hatinya itu.

“Kenapa jauhkan diri?” akhirnya Azhar memecah sunyi.

“Awak ke mana Ahad lepas?” soalan Azhar dijawab dengan soalan oleh Farida.

“Kan saya dah beritahu, saya balik rumah.”

“Buat apa di rumah?”

“Ada hal sikit,” jawab Azhar acuh tak acuh.

“Hal apa?”

“Ida nak tahu ke?”

“Kalau awak tak keberatan nak cerita,” jawab Farida, masih memandang ke hadapan.

Azhar menarik nafas lalu menghembuskannya perlahan-lahan.

“Saya ke rumah Felisha.”

Farida memejamkan mata. Dia perlu kuatkan semangat. Segala-galanya perlu ditamatkan.

“Kenapa tak cakap yang sebelum ni awak pernah ke rumah Felisha?” tanya Farida.

“Jadi, Felisha dah ceritakan semuanya?”

“Felisha bakal menantu yang baik. Mama awak sukakan dia,” ujar Farida.

“Tapi saya cintakan Ida.”

“Belum tentu keluarga awak terima saya. Keluarga awak dan Felisha dah kenal antara satu sama lain. Tentu mereka mahu hubungan persahabatan itu jadi lebih erat. Lagipun, awak berdua memang sepadan. Masing-masing dari golongan korporat. Saya ni hanya pipit sahaja. Yang menumpang kasih dengan enggang,” jelas Farida.

“Ida, kenapa cakap macam tu? Saya yakin keluarga saya tak anggap macam tu. Mereka beri kebebasan pada saya untuk pilih suri hidup saya sendiri. Saya dah pilih Ida. Hanya Ida,” tegas Azhar.

“Cukuplah Azhar. Anggaplah kita tiada jodoh. Felisha adalah pilihan yang baik. Saya tahu dia sayangkan awak. Dia mampu bahagiakan awak.”

“Jangan merepek Ida. Saya sayangkan Felisha sebagai seorang kawan. Tak lebih dari tu. Kenapa Ida nak undur diri pula?”

“Saya tak nak kehilangan Felisha. Dia kawan baik saya. Kawan yang sentiasa berada di sisi saya semasa susah mahupun senang,” terang Farida.

“Jadi awak sanggup kehilangan saya? Rupanya saya tak penting pada awak...” lemah suara Azhar.

Farida bungkam. Azhar silap. Lelaki itu sangat penting padanya. Lebih penting dari nyawanya sendiri. Apakah Azhar tidak tahu menilai kasih sayangnya pada lelaki itu selama ini?

“Maafkan saya. Walau apapun, kita tetap kawan, kan?” pinta Farida.

Azhar diam. Tidak sedikit pun memandang ke wajah gadis yang selalu menemani lenanya itu. Hatinya tercalar. Farida begitu mudah mengalah sebelum berlawan.

“Saya tahu saya dah lukakan hati awak. Saya juga terluka. Tapi percayalah, ini yang terbaik untuk kita. Saya sayangkan Felisha. Saya juga sayangkan awak. Namun untuk menyintai awak, saya rasa Felisha lebih layak. Maafkan saya...” ujar Farida, sayu.

Bunyi ranting kayu yang dipijak menarik perhatian Azhar dan Farida. Kedua-duanya lantas berpaling ke arah batang pokok semarak api itu. Azhar bangun begitu juga dengan Farida. Dapat dilihat seorang gadis sedang berlari meninggalkan kawasan taman mini itu. Mata mereka bertentangan. Azhar mengangguk. Farida terjelepok ke atas rumput yang menghijau. Mereka kenal benar gadis itu walau dipandang dari belakang. Habislah, Felisha sudah dengar semuanya...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience