BAB 2

Romance Completed 11186

FARIDA yang sedang tekun mengelap biolanya terganggu dengan bunyi keriuk pintu ditolak dari luar. Tidak perlu dia berpaling kerana sudah tahu gerangan orangnya. Kawan sebiliknya itu memang tidak tahu mengetuk pintu dahulu sebelum masuk. Farida tidak kisah kerana bilik ini dikongsi bersama. Bukan hak miliknya seorang.

“Ida!” jerit Felisha lalu meluru ke arah kawan baiknya itu lantas memeluknya dari belakang.

“Eh, Isha! Kenapa ni?”

“I’m so happy! Mama Isha baru telefon. Katanya ada special dinner Ahad ni,” jelas Felisha, masih tidak melepaskan pelukannya.

“Wah, special dinner! Untuk apa?”

“Entah, tak ada pula mama beritahu. Tapi, rasanya Isha dah boleh agak.”

“Apa dia?” tanya Farida, penuh teruja.

Felisha meleraikan pelukannya. Kerusi kosong di sebelah Farida ditarik lalu dilabuhkan punggungnya di situ. Farida menatap wajah kawannya yang kelihatan berseri, menanti bicara gadis tersebut.

“Seminggu lepas, mama pernah cakap nak kenalkan anak kawan baik dia pada Isha. A guy. And guess what? Lelaki tu memang Isha suka sangat,” ujar Felisha.

“Iya? Wah, saya tumpang gembira. Jadi, dinner tu untuk kenalkan awak berdualah ya?”

“Tepat sekali! Tak sabarnya nak tunggu Ahad ni...”

Farida mengukir senyum kecil. Sungguh dia gembira kerana kawan baiknya itu akan bertemu dengan kekasih hatinya. Pasti anak orang berada juga. Maklumlah, papa dan mama Felisha dari golongan korporat. Pangkat Tan Sri dan Puan Sri. Sementelah Felisha adalah anak tunggal. Dilayan bagai tuan puteri pula tu. Pasti ibu bapanya mahukan yang terbaik buat anak mereka.

Namun Farida bersyukur kerana Felisha tidak memandang darjat dan pangkat dalam berkawan. Buktinya, gadis itu adalah kawan baiknya. Gadis kampung sepertinya dirasakan amat bertuah mengenali Felisha, seorang yang manja dan cantik.

“Eh, ceritalah sikit tentang lelaki tu. Mesti handsome, kan?” sambung Farida.

“Em nak kata handsome tu bolehlah. Orangnya tinggi. Kulit cerah. Mata sepet macam orang Cina. Dah lama sebenarnya Isha minat kat dia. Mula-mula Isha tak tahu macam mana nak dekat dengan dia sehinggalah satu hari tu mama bawa kawan dia datang makan tengah hari. Tak sangka lelaki tu anak kawan mama. Isha apalagi, terus beritahu mama yang Isha suka lelaki tu.”

Farida tekun mendengar. Kalau sudah namanya jodoh, pasti dipermudahkan Tuhan. Teringat pula kisah cintanya. Pertama kali jatuh cinta, syukurlah ia juga tidak melalui jalan berliku. Ketika dilamar Azhar tiga bulan yang lalu, dia tidak terus menerima. Sebaliknya berfikir dan melakukan solat istikharah. Dan setelah yakin dengan kata hati, barulah huluran kasih Azhar diterima.

Memang dia sudah lama menyimpan rasa pada lelaki itu. Kata orang, cinta pandang pertama. Kali pertama melihat wajah itu, hatinya diterpa debar yang menggila. Jantung berdegup tidak sekata ketika mata mereka bertemu. Apatah lagi melihat senyuman manis yang terukir di bibir mungil Azhar, serasa mahu pengsan kala itu namun cuba dikawal diri.

Ketika Azhar melamarnya untuk menjadi kekasih, sungguh dia terkejut. Terasa seperti berada di awang-awangan sewaktu lelaki itu melafaz kata cinta. Tidak percaya lelaki itu turut menyimpan rasa yang sama dengannya. Dan kini, dua hari lagi, genaplah hubungan meraka tiga bulan. Kata Azhar, selepas tamat belajar semester depan, lelaki itu akan menghantar rombongan merisik dan seterusnya mereka akan bertunang.

“Ida! Ida! Farida!”

Panggilan Felisha menyentak lamunan Farida. Ah, bila teringatkan Azhar, bagai berada dalam dunia sendiri. Sebuah senyum kecil menguntum di bibirnya. Tumpuan kembali ke arah gadis berbaju T-shirt lengan panjang yang bercorak bunga kecil di depannya. Felisha mencebikkan bibir. Senyum Farida melebar.

“Orang tengah bercakap pun sempat dia mengelamun ya,” rajuk Felisha disambut dengan ketawa kecil Farida.

“Maaf, tak sengaja. Apa yang awak cakap tadi?”

“Tentang lelaki yang Isha suka tu. Farida kenal tau!”

Serentak, degupan jantung Farida terasa berhenti seketika. Kata-kata Felisha menerbitkan gusar. Dia kenal lelaki itu? Siapakah?

“Sa... Saya kenal?” soal Farida, gugup.

Anggukan Felisha semakin mendebarkan hati. Ligat fikirannya berputar. Mencari wajah-wajah kawan lelaki yang dia kenali. Tetapi hanya satu wajah sahaja yang muncul. Tuhan, janganlah lelaki itu...

“Si... siapa?”

“Adalah. Nanti kalau dah confirm, Isha beritahu ya. Okeylah, nak pergi washroom kejap,” ujar Felisha lalu bingkas bangun, meninggalkan Farida dengan rawan di hati.

Farida segera mencampakkan kain pengelap yang sejak tadi dipegang. Dia segera meluru ke arah katil, mencapai telefon bimbitnya. Keraguan yang bermaharajalela dalam jiwa perlu segera diusir pergi. Jika tidak, hatinya tidak akan tenang.

Pantas jari-jemarinya mendail lalu menanti penuh debar. Beberapa saat kemudian, panggilannya dijawab.

“Assalammualaikum,” ucap pemanggil di talian sebelah sana.

“Waalaikummussalam,” mendengar suara itu, ada ketenangan yang menjalar ke kalbu.

“Ada apa Ida?”

“Em... Err... Em...” lidahnya kehilangan kata.

“Kenapa ni?” tanya pemanggil itu lagi.

“Azhar...”

“Ya?” sahut Azhar.

“Azhar ada pergi mana-mana tak Ahad ni?”

“Hmm... Rasanya tak ada. Kenapa? Hah, nak sambut anniversary tiga bulan ke?” tanya Azhar dalam gelak.

Farida meletakkan tangan kiri ke dada. Seperti batu berat yang menghempap dadanya diangkat pergi. Lega. Dalam masa yang sama, jiwanya dibuai indah. Lelaki itu mengingati tarikh hubungan istimewa mereka terjalin.

“Awak ni... Baru tiga bulan nak anniversary apanya? Tak adalah, ingat nak ajak keluar makan,” dalih Farida.

“Boleh aje. Nanti Ida confirm nak makan kat mana ya. Okeylah, saya ada group discussion ni. Sleep tight. Good night!” ucap Azhar lalu mematikan panggilan.

Farida menghamburkan keluhan. Rawan yang menyelubungi kalbu sirna. Fikirannya mula diterpa sesuatu. Siapa agaknya lelaki yang disebutkan Felisha tadi?

Jam berbentuk segi empat yang dipaku pada dinding dikerling. Sudah menjangkau pukul 9.30 malam. Biola yang dipinjam dari fakulti untuk latihan sempena karnival muzik nanti dimasukkan semula ke dalam sarung. Entah bila dia dapat memiliki biola seperti ini. Keluarganya bukan orang senang. Dapat melanjutkan pengajian ke menara gading ini pun sudah cukup bermakna padanya.

Lebih-lebih lagi sebagai anak sulung, tanggungjawabnya besar dalam membantu meringankan beban keluarga. Adik-adiknya seramai dua orang itu masih perlu meneruskan pelajaran. Ayahnya sudah semakin lanjut usia. Setahun lagi akan bersara. Emak pula sudah tiga tahun menemui Ilahi kerana kanser rahim.

Farida membuang pandang ke luar. Langit malam hitam pekat. Tiada kerdipan bintang mahupun sinaran rembulan. Baru sahaja dia hendak bangkit, telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Melihat nama yang tertera di skrin, Farida tersenyum. Namun senyumannya mati tiba-tiba apabila mendengar bait-bait kata si pemanggil. Tanpa sedar, telefon bimbit terlepas dari pegangan.

“Maaf, mama saya baru call. Ahad ni saya kena balik rumah. Ada hal penting kata mama.”

Itulah kata-kata akhir yang sempat ditangkap telinganya. Serta-merta tubuh Farida menggigil. Tuhan...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience