BAB 1

Romance Completed 11186

Alunan gesekan biola dan petikan gitar berpadu, menghasilkan alunan harmoni dalam bilik muzik berkeluasan sederhana itu. Masing-masing yang berada di dalam bilik tersebut ikut sama terbuai dalam pesona indah alunan yang dimainkan oleh seorang pemuda berkemeja kotak dan gadis yang mengenakan blaus lengan panjang rona biru itu. Usai muzik berhenti, tepukan gemuruh mula menggamatkan bilik tersebut.

“Bravo! Saya yakin persembahan kita semasa karnival muzik minggu depan pasti dapat sambutan hangat. Azhar, Farida, kamu berdua sememangnya pasangan yang ideal!” ujar Puan Najihah, pensyarah muzik bagi kelas tersebut.

Kata-kata Puan Najihah mendapat tepukan daripada para pelajarnya. Ada juga yang bersiul dan menjerit memanggil nama Azhar dan Farida, membuatkan kedua-duanya tersipu malu.

“Baiklah, semua boleh bersurai. Jangan lupa minggu depan kita akan mulakan latihan koir pula. Jumpa lagi,” ucap Puan Najihah lalu melangkah keluar, meninggalkan bilik muzik itu.

“Isha dah agak you all berdua mesti boleh punya. Best student katakan,” ujar seorang gadis berambut pendek separas bahu pada Farida yang sedang memasukkan biolanya ke dalam sarung.

“Awak pun apa kurangnya Felisha... Tak ada siapa di fakulti ni yang boleh menandingi awak bila bermain piano,” balas Farida dalam senyum kecil.

“Iyalah tu. Jom, pergi minum. Hauslah...” ajak gadis yang dipanggil Felisha itu.

“Jom, saya belanja,” celah Azhar yang sejak tadi mendiamkan diri.

“Yes!” jerit Felisha lalu mula berjalan meninggalkan kedua-dua rakannya itu.

Azhar menoleh ke arah Farida. Mata mereka bertentangan. Dikenyitkan mata kanannya. Pantas, Farida berpaling, malu. Sarung biola di tangan digenggam erat. Mereka mula berjalan beriringan, meninggalkan bilik muzik itu.

“Dengarnya awak tengah cipta lagu?” tanya Farida.

“Mana tahu?”

“Isha yang cakap. Dia nampak awak tulis lirik masa kat dalam kelas hari tu,” terang Farida.

Azhar mengangguk.

“Lagu apa?”

“Lagu cinta.”

“Iya? Apa tajuknya?” soal Farida lagi.

“Tajuk tak pasti lagi. Tapi kali ni lagu yang saya cipta tu special sikit,” ujar Azhar.

“Special? Kenapa? Untuk siapa?” bertalu-talu Farida bertanya.

“Adalah. Rahsia!” usik Azhar.

“Ala...” Farida sudah tarik muka, pura-pura merajuk.

“Sampai masanya, awak akan tahu juga. Awak akan jadi orang pertama yang tahu. Janji!”

“Janji?” Farida meminta kepastian.

Azhar mengangguk sambil mengangkat telapak tangan seperti sedang berikrar.

“Hei, lambatnya you all berdua ni jalan! Macam siput! Cepatlah, Isha dah haus ni!” jerit Felisha yang sudah jauh ke hadapan.

Farida menggeleng sementara Azhar ketawa kecil. Mereka mempercepatkan langkah. Tidak mahu Felisha yang dianggap tuan puteri dalam kelas itu merungut lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience