Bab 4

Romance Series 6138

BAB 4

Aku tersenyum sinis. Sejak bila pula dia pandai menulis puisi? Malah, markah Bahasa Melayunya sahaja tidak pernah mendapat A. Di suruh oleh guru untuk membuat ayat pemahaman yang ringkas sahaja sekalipun dia masih terkial-kial.

Apatah lagi ingin menghasilkan puisi yang sememangnya memerlukan pemikiran yang kreatif, bahasa yang halus dan indah. Aku hampir tergelak. Namun sempat kutahan di dalam hati.

Lantas aku mengangguk. Aku terus memerhatikannya. Merenung gerak bibirnya yang perlahan-lahan terluah…

Apa yang kucintai
Laksana seorang pria sejati
Yang tulus mencintai kekasihku
Kini, tak henti-hentinya
Aku mencintai…

Apa yang kucintai kini
Akan kucintai hingga akhir hidupku
Kerana cinta dan kasih yang terukir antara kita
Adalah sebutir mutiara suci
Yang paling terindah sekali
Dalam hidupku…

Dia berjeda sejenak. Perlahan nafasnya disalurkan. Matanya yang kukira agak bercahaya itu masih setia merenung anak mataku. Menjamah wajahku. Dan dia kembali menyambung berpuisi tanpa melihat bait-bait puisi di kertas. Aku agak terkesima juga terkedu apabila inderaku ini terus terbuai dengan aksara demi aksara yang terbersit dari luahan bibirnya. Juga dari luahan hatinya mungkin.

Tidak ada sesiapa pun yang akan memisahkan
Dan menghalangi diriku daripadanya
Sesungguhnya aku mencintaimu
Sepertimana sucinya cintaku yang sejati,
Sempurna dan hakiki kepada-Nya…

Sedari tadi aku jadi tertegun, lantas kehilangan diksi. Sukar untuk mempercayai apa yang baru terluah dari ulas bibirnya. Aku akui, indera dengarku tidak pernah dijengah dengan aturan indah kalimah-kalimah yang terangkum di dalam puisi yang telah dibacakan oleh sang pria.

Malah, aku juga agak tergamam. Tidak pernah aku melihat dia pandai bermadah juga berinderaloka seperti itu.

Bagaimana hati dan fikiran sang lelaki yang sememangnya keras dan teguh bak tembok besar China itu menjadi lembut dan bisa tercetus pemikiran yang agak puitis dan halus?

Aku cuba mengingati kembali bait-bait stanza puisi itu. Menghayati keseluruhan puisi yang dicipta olehnya secara sedalamnya. Ya… kini aku mengerti. Ceritera dan tema utama yang tersisip di landasan puisi itu adalah tentang cinta! Aku memahami akan kepastian makna yang cuba disampaikannya. Ternyata, rupanya dia sedang tersadai di belantara cinta. Hatinya dibawa berterbangan oleh merpati kasih. Sukmanya dititis oleh gerimis rindu. Atmanya sedang ditabur oleh kuntum-kuntum bahagia. Hidupnya kini terlindung di bawah bumantara dan langit gembira!

“Wa… Wawa?”

Hatiku berbicara lagi. Sememangnya, sang pria jika jatuh cinta hatinya akan berubah menjadi lembut dan suci bak salju. Itulah penangan cinta! Cinta secara semula jadi akan menitipkan ilham kretaif di benak sang lelaki. Justeru, tidak hairanlah dia kini tanpa diduga berupaya mencipta diksi demi diksi yang indah. Lalu, benarlah telahanku yang dia kini sedang disinari oleh cahaya mentari cinta! Hatiku tersenyum.

“Hawa!”

Suara yang agak meninggi itu ternyata berjaya menghalangi puput-puput semilir lamunanku dari terus berkelana jauh. Pantas aku memandangnya. Dia mengukir senyuman yang sukar untuk ditafsirkan. Aku diserbu malu lantaran dia mampu menangkap aku sedang mengelamun.

“Mengelamun, eh?” Dia tersenyum meleret. “Hmm… tahulah puisi aku tu sedap sangat”, dia berkata perlahan sambil tertawa.

Aku menjuihkan bibir. “Perasan! Siapa kata puisi kau tu sedap sangat?” aku memulangkan paku buah keras.

Perlahan, keningnya terangkat sebelah.”Eh, kan aku yang cakap tadi? Ada orang lain ke kat sini?” Pandangan matanya dihala ke kiri dan ke kanan. Kemudian, sekali lagi dia memandangku. “Tak ada, kan?” Dia tersenyum.
Aku mencemik. Sambil itu, mata ini sempat meliar memandang ke sekeliling. Mana tahu ada teman-teman sekelas yang sedari tadi memerhatikan kami. Aku berpaling ke belakang, Alya masih bersama Annis dan Safiya. Entah berdiskusi tentang apa. Aku menarik nafas panjang.

Mujurlah saat-saat ini teman-teman sekelasku sibuk dengan diri masing-masing dan langsung tidak mengendahkan kami yang kelihatan berdua tika ini. Sementelah pula suasana agak bingit kerana guru tidak masuk ke kelas.

Aku kembali memerhatikan Adam yang masih setia berdiri di hadapanku. “Aku tengok sekarang, kau macam angau aje. Lepas tu, pandai mencipta dan mendeklamasi puisi pulak tu.

Kau tengah jatuh cinta, eh?” Soalku sambil tersenyum nakal ke arahnya.
Desahan nafasnya jelas kedengaran.

Tangan kananya tiba-tiba dibawa menari-nari di pentas pipinya. Perlakuan spontan yang lazimnya dilakukan olehnya tika memikirkan sesuatu. Pandangan matanya dibiarkan menjangkau jauh ke hadapan.

Aku menongkat dagu di atas meja. Namun, mata ini masih lagi memerhatikannya sambil menunggu butir bicara selanjutnya. Tiba-tiba, dia memandangku kembali. Ada senyuman manis yang terlorek dibibirnya.
“Aku jatuh cinta pada Hawa,” perlahan dia meluahkan aksara.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience