Bab 11

Romance Series 6138

BAB 11

KICAUAN permai sekawan merpati yang indah berterbangan di langit biru mencantas lamunanku. Serta-merta bayangan kenangan bersama Adam hilang dari tubir mata.

Aku menyeka lagi air mata yang semakin deras mengalir. Teringat tentang Adam membuatkan aku acap kali dilanda kesedihan. Jika boleh, aku ingin sekali kembali semula pada kenangan-kenangan terindah itu. Kenangan indah yang selama ini aku anggap tidak ada apa-apa makna buatku.

Kenangan manis yang Allah bingkiskan kepadaku agar aku menghargai si dia yang tulus mencintaiku. Tetapi… aku tidak pernah ingin mencari kepastian makna akan semua itu. Tidak pernah!

Aku tidak pernah ingin mengambil tahu mengapa dia acap kali mendekatiku. Di mana ada aku, di situ ada dia. Aku tidak pernah mencuba untuk mengerti mengapa ketika itu dia sering kali bersikap aneh terhadapku.

Aku tidak pernah menyelami hatiku dengan sedalamnya mengapa ada sesuatu perasaan aneh dan halus yang lazimnya menyelinap perlahan-lahan tika aku dekat padanya. Malah, aku beria-ia membuang perasaan itu jauh-jauh meskipun ia tetap terpahat di hati. Betapa bodohnya aku!

Aku kembali menebarkan pandangan ke arah tasik yang berkocak tenang. Sekali-sekala aku merenung dua ekor rama-rama yang masih setia menari-nari di bunga itu. Terpandangkan itu, aku jadi teringat kenangan dulu, kenangan di mana aku dan Adam melungguh di bawah pohon ini sambil bersandar menghayati panorama indah. Itulah pertemuan pertamaku dengannya.

Malangnya, aku tidak sedikit pun menghargai kehadirannya yang acap kali mewarnai hidupku.

Satu keluhan berat terlontar dari bibirku. Haru hatiku begitu memuncak di dada. Aku bersandar lagi di perdu pohon kemboja.

Desiran pawana yang damai tidak pernah jemu bertandang menyelimuti diri yang kian dihimpit tembok kesedihan ini. Aku membiarkan lagi kenangan pahit bak hempedu itu menerpa. Kenangan pahit yang aku cetuskan sendiri!

Air mata mengalir lagi ke pipi…

KENANGAN TERAKHIR – Bunga-bunga cinta layu berguguran

PETANG itu aku duduk bersendirian di tepi tasik Taman Saujana. Sambil itu aku menelaah seketika untuk subjek terakhirku untuk peperiksaan SPM pada hari esok. Kemudian, aku akan bebas berterbangan seperti burung-burung itu! Aku tersenyum sendirian.

“Hai…” satu suara yang agak garau kedengaran.

Pantas aku menoleh. Adam tersenyum nipis memandangku.
Aku terkedu. Dia lagi!

Aku mengeluh perlahan. Sememangnya aku tidak senang dengan kehadirannya. Sementelah aku ingin mengulang kaji, maka aku lebih tenang jika bersendirian. Tambahan lagi, sejak akhir-akhir ini dia agak terlalu dekat denganku. Aku ke sini, dia juga ikut ke sini. Di kelas apatah lagi. Perbualan teman-teman sekolah antara aku dan Adam menerbitkan rasa tidak senang di hati. Sebolehnya, aku tidak mahu dikaitkan dengannya. Apatah lagi jika dikatakan aku dan dia mempunyai hubungan yang istimewa. Sampai bila-bila pun, aku tetap menganggapnya sebagai teman sahaja dan tidak lebih dari itu. Noktah!

“Wa!”

Aku tersentak. Segera lamunanku terhenti. Aku pandang wajahnya.
Dia tersenyum meleret. “Kau ni tak habis-habis nak berangan!” ujarnya sambil menghampiriku. Perlahan-lahan dia duduk agak menjauh sedikit denganku.

“Study ke?”

Aku menjelingnya sekilas. “Taklah. Kan aku tengah basuh baju ni. Tak nampak ke?” selamba aku berkata. Geram aku dengan dirinya. Apakah dia tidak melihat apa yang sedang kulakukan ketika ini? Butakah dia?

Adam tertawa kecil. Dia menggeleng-geleng.
Diam.

Suasana tiba-tiba sepi.

Kemudian, “Esok last exam, kan?” Dia bertanya agak perlahan.
“A’ah,” balasku ringkas.

Satu keluhan kecil tiba-tiba kedengaran. “Selepas ini kita semua pasti akan berpisah, kan? Semua membawa haluan masing-masing.” Suaranya kedengaran agak sayu.

“Ya. Tapi kita akan berjumpa lagi masa nak ambil result nanti,” ujarku tanpa memandang ke arahnya. Pandanganku masih terus meneliti buku rujukan ini.

“Wa…” Dia memanggilku.

Aku melihat dia dari ekor mataku. “Kenapa?”

Dia menyepi seketika. “Hmm… aku ada sesuatu nak bagi kat kau ni,” dia bagaikan teragak-agak menuturkan diksi itu.

Aku pantas menoleh. Dahiku berkerut memandangnya. “Bagi apa?”
Potret wajahnya jelas tertera kebimbangan. Aku memerhati gerak-gerinya. Dia tiba-tiba mengambil sesuatu di belakangnya. Perlahan-lahan dia menyuakan sesuatu kepadaku.

Aku terpana. Tiga kuntum mawar merah!

Redup dia memandangku sambil berkata, “Just for you with… love. Err… Aku mencintaimu, Wa.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience