BAB 8
“Cantik tasik itu, kan?” Dia membuang pandangannya ke arah tasik yang terdampar luas.
Aku angguk.
Ada senyuman terukir dibibirku. “Sebab itulah aku suka datang sini. Bila aku gembira aku datang ke mari. Begitu juga bila aku aku sedih,” ujarku gembira.
“Bila aku duduk di bawah pokok ini sambil merenung tasik, spontan semua kesedihan aku akan hilang dan aku berasa tenang dan damai.”
“Di sinilah syurga buatku, Adam. Tempat yang paling istimewa. Di sinilah tempat sumber ilhamku. Aku tenang dan damai di sini.
Kau tahu, tempat ini menyumbangkan keindahan dan kedamaian kepada sesiapa sahaja yang berlindung di bawah naungannya. Keindahan yang sukar ada di tempat lain,” ucapku meluahkan rasa kekaguman.
Sejenak, aku terdiam seraya menghela nafas panjang. Sesekali aku membetulkan jilbabku yang sebentar terkisar liar dikacau desiran semilir yang damai. Aku kalih pandangan ke sisi. Melihat Adam.
Dia masih seperti tadi. Masih duduk memeluk lutut sambil pandangan matanya tidak lepas dari memerhatikan sang rerama berwarna-warni yang menari rinag dan segar berlegar di pohon bunga di hadapan kami.
Sekilas dia melihatku. “Cantik, kan?” Dia tersenyum.
“Hmm…” gumamku perlahan.
Adam tiba-tiba bertanya, “Wa… apa pendapat kau tentang cinta?” Tunak anak matanya merenungku. Kini, dia santai bersandar di perdu pohon kemboja.
Aku menyepi sebentar. Aku jarang memikirkan tentang hal yang satu itu. Bagiku, ia tidak penting untukku buat ketika ini.
Aku mahu menumpukan pada pelajaran yang menjadi perkara utama di waktu bergelar pelajar ini. Berada di alam remaja semestinya hati ini mahu merasa ingin mencintai dan dicintai. Itu sudah lumrah.
Namun, selagi bergelar pelajar yang ada segelintirnya bercinta, kita perlu bijak mengatur diri ini dalam menyeimbangkan antara pelajaran dan cinta. Barulah hidup kita tidak tersasar ke persimpangan yang salah. Bukankah begitu?
Aku menarik nafas perlahan. Leka mataku memerhati dan mengamati dua ekor rama-rama yang masih berlegar-legar di pepohon bunga itu. Benakku kian memikirkan tentang persoalan yang diajukan oleh Adam sebentar tadi. Aku cuba menggali dan mencerakin makna cinta yang sebenarnya. Erti kasih yang sebetulnya. Juga maksud rindu yang sedalamnya.
Sekilas, aku kalih pandangan ke sisi.
Dia setia merenungku. Sepasang matanya yang redup seolah-olah tulus dan ihklas memandangku. Aku jadi tidak keruan bila melihat senyumannya. Pantas aku mengalihkan pandangan.
Tiba-tiba, dia mengambil sekuntum bunga kemboja lalu dicampaknya ke arahku. Sama seperti yang dilakukan tadi.
“Kau ni memang kuat beranganlah!” Dia tertawa.
Tanpa membalas usikannya, aku menjelingnya geram.
Apabila melihat aku yang diam tanpa reaksi, dia mengulangi lagi pertanyaannya.
“Wawa… aku tanya ni, apa yang boleh kau bagi tahu aku tentang cinta?” Beria-ia dia bertanya. Lukisan wajahnya terpamer warna-warna pengharapan.
Aku menghela nafas panjang. Benakku ligat memikirkan.
“Cuba kau tengok rama-rama yang berwarna-warni itu,” kataku seraya terus merenung rerama yang masih setia menari-nari di bunga yang mengorak kelopak.
Pandangan matanya terus dihalakan ke arah rerama itu. Kemudian, dia memandangku lagi. “Kenapa dengan rama-rama?” Soalnya hairan.
Keningnya terangkat.
Aku tersenyum.
“Bagi aku, cinta itu laksana rama-rama,” ujarku perlahan. Aku membetulkan posisiku. “Selalu berterbangan tatkala kita cuba mengejarnya. Tetapi, jika kita tidak mengejarnya dan hanya membiarkan sahaja, rama-rama itu pasti akan bebas berterbangan dan menghinggapi pada mana-mana bunga yang disukainya.” Laju sahaja madah yang kucipta sendiri itu meluncur dibibirku.
Dahinya berkerut memandangku. “Maksudnya?” Sudah kuduga soalannya itu.
Share this novel