Bab 10

Romance Series 6138

BAB 10

KENANGAN KEEMPAT – Memori Tercipta

“ALAMAK!” Aku terkejut bila terpandangkan tayar belakang basikalku yang pancit. Spontan, aku terus mencangkung lalu tangan ini cuba memicit-micit tayar basikal itu. Lembik! Aku mendengus kasar sambil bingkas bangun.
Mataku meliar memandang sekeliling. Suasana di Taman Saujana hening lagi sepi. Betapa tidak, ketika ini adalah waktu tengah hari.

Aku sahaja yang beria-ia singgah sebentar ke sini tadi selepas pulang dari sekolah. Tetapi, aku tidak menyangka pula aku akan mendapat dugaan pada hari ini.

Ya… sememangnya dugaan itu selalu datang tanpa kita duga.
Aku menghela nafas panjang. Kedua-dua belah tanganku mencekak pinggang sambil terus mengeluh kasar. Aku menjeliing geram ke arah basikalku itu yang tiba-tiba menimbulkan masalah.

Gerimis peluh mula menghujani tubuhku. Cuaca kala ini begitu panas dan bahangnya seakan-akan hangat membakar diri ini. Antara terpaksa dan tidak, aku terus memimpin basikalku perlahan-lahan di bawah terik matahari.

Terpaksalah aku memimpin basikal sejauh 2 kilometer untuk sampai ke rumah.
Argh! Aku mendengus lagi.

Sampai sahaja di pintu keluar Taman Saujana, aku berhenti seketika. Nafasku tercungap-cungap menahan keletihan. Aku mengelap peluh yang mula bertamu di dahi. Kemudian, aku sempat melihat jam di tangan.

Pukul 2.30 petang.

Aku mengeluh.

Tiba-tiba kornea mataku terlihat kelibat seseorang yang sedang menunggang basikal dari arah yang bertentangan denganku. “Adam!” aku melambai-lambaikan tangan ke arahnya. Dia tersenyum dan segera menghampiriku.

Aku menarik nafas lega.

“Kenapa ni?” Soalnya sambil bersilih ganti memandang aku dan basikalku.

“Tayar bocorlah,” balasku sambil memerhatikannya. “Kau baru balik ke?” Soalku hairan apabila melihatkan dia yang masih berseragam sekolah. Sedangkan jam 1.40 tadi kami sudah pulang dari sekolah.

Dia angguk. “Ada perjumpaan kelab tadi. Kemudian, ada kerja yang perlu aku siapkan.” Jelasnya sambil tersenyum.

“Eh! Yang kau tercegat diam ni, kenapa? Pergi letak basikal itu kat bawah pokok tu,” arahnya padaku.

Aku terkesima. Hairan. “Hah? Buat apa?”

Dia mengeluh. “Letak aje kat situ. Petang nanti aku bawa ke kedai Ah Meng. Jangan risau, takkan hilang.”

Dalam terpinga-pinga, aku memimpin basikal ini lalu meletakkannya di bawah pokok yang berhampiran. Kemudian, aku terus mengambil beg sekolahku yang kuletakkan di bakul basikal. Lalu, aku meletaknya di bahu.

“Okey, jom.” Dan aku terus menapak pergi berjalan perlahan-lahan menuruni jalan di Taman Saujana yang agak berbukit.

Adam tiba-tiba menahanku. “Eh, kau nak ke mana?”

Langkahku terhenti. Aku berpaling ke arahnya sambil berkerut dahi. “Baliklah.”

Dia menggeleng-geleng. “Dah, jangan nak mengada-ngada. Mari sini naik basikal dengan aku,” ujarnya bersahaja. Tunak matanya memandangku.
Aku terkedu. Bulat mataku merenungnya. “Seumur hidup aku, aku tak pernah naik satu basikal dengan orang yang bukan muhrim. Aku lebih rela berjalan dari naik basikal dengan kau tau!” aku tetap dengan pendirianku. Pesanan emak agar menjaga adab susila dan batas pergaulan tetap kuingati.

“Ya, aku tahu. Tapi, kali inikan terpaksa. Sudah, jangan degillah!” Adam terus memaksaku.

Aku menggeleng-geleng. “Tak nak,” aku tetap berkeras.
Dia mengeluh. “Wawa, cuaca tengah panas ni.” Redup dia memerhatikanku. “Kalau kau pengsan tengah jalan macam mana?” sekali lagi dia cuba menjeratku. Dia tersenyum sinis.

Aku jadi serba salah. Ya, benar katanya. Jika aku pengsan bagaimana? Tetapi, aku tidak sanggup menaiki satu basikal dengannya.

Apa pula kata orang-orang di sekeliling? Ahh! Fikiranku kian bercelaru.
“Wawa, aku tak berniat apa pun. Aku cuma nak tolong kau aje. Dahlah tak payah fikir apa-apa lagi. Cepat naik!” Arahnya lagi kepadaku.

Dari sinar matanya jelas terpamer keikhlasan dan pengharapan.
“Cepat!” Adam mendesakku lagi.

Aku jadi kebingungan. Namun, bagai lembu dicucuk hidung, aku terus menghampirinya lalu lambat-lambat aku melabuhkan punggung di belakangnya.

Dia tersenyum meleret. “Pegang akulah. Nanti jatuh aku tak tahu.”
Aku mencemik. “Jangan harap!” kataku bersahaja.

Adam terus tergelak dan perlahan-lahan dia mengayuh basikal meninggalkan Taman Saujana.

Dalam perjalanan, dia tiba-tiba bertanya. “Wa… kau suka lagu apa?”
Hatiku diterpa kehairanan. “Kenapa nak tahu?” Aku menyoalnya kembali.
Adam terdiam sebentar. “Aku nak nyanyi ni. Cepatlah cakap.”

Aku terdiam. Memikirkan sesuatu. “Hmm… lagu Cintamu Mekar di Hati dan Tercipta Untukku.” Ya… sememangnya itulah lagu kegemaranku dari dahulu sehinggi kini. Aku sendiri tidak tahu mengapa aku begitu menyukai lagu tersebut. Teman-temanku acap kali bertanya dan mereka mengatakan kedua-dua lagu tersebut hanya lagu biasa-biasa sahaja.

Entahlah… barangkali lirik lagunya yang indah begitu membuai hati sehingga indera dengarku mudah menerima kemerduan lagu tersebut.

“Kenapa kau suka lagu itu?” persoalannya persis dengan pertanyaan teman-temanku sebelum ini. Adam menoleh sekilas ke belakang.

“Tak tahu.”

Aku sememangnya tidak tahu mengapa aku begitu meminati lagu dari kumpulan May dan Ungu itu. Mungkin kerana melodinya yang berupaya membangkitkan ketenangan di hati. Mungkin juga kerana lagunya sungguh bermakna.

“Aku nyanyi, eh?”

Aku menjuihkan bibir. “Kau jangan nak mengada-ngada. Suara kau tak sedap. Nanti hujan!” Begitu bersahaja aku membalas. Aku menahan tawa di lipatan hati. Sekilas sahaja mengalihkan pandangan ke arahnya.

Dia tergelak. “Kau ni teruklah, Wa. Selamba aje kutuk aku.”

Aku tersenyum. “Lainlah kalau kau nyanyi sambil petik gitar. Hah… barulah sedap sikit,” ujarku lagi.

“Kau suka?” soalnya pula.

“Ya.”

“Kenapa?”

“Tak tahu.”

Perbualan kami terhenti setakat itu sahaja. Sementelah dia hanya menyepi, maka aku juga begitu. Lebih seronak rasanya melayan duniaku sendiri. Perlahan-lahan dia terus mengayuh basikal menuju ke rumahku.

Namun, telahanku salah rupanya. Aku fikir dia akan menoktahkan pertanyaannya, tetapi suaranya tiba-tiba memecah kesunyian. “Wa…” Adam memanggilku.

“Hmm…”

Dia terdiam sejenak. Kemudian, “Satu hari nanti boleh aku nyanyikan lagu itu untuk kau?” Perlahan dan mendatar dia menuturkan aksara.

Aku terkedu. Tiada reaksi yang kuberikan padanya. Aku tidak mengiakan juga tidak menindakkan. Hanya membisu seribu bahasa.

Melihatkan dia agak perlahan mengayuh, aku segera bersuara. “Kau ni perlahan sangat kenapa?

Sampai esok pun tak sampai kalau bawa basikal macam ni.” Sengaja aku menukar topik untuk melepaskan diri dari persoalannya.

Dia tertawa kecil. “Okey… okey. Tapi, kau peganglah. Nanti kau jatuh tergolek-golek, tau!”

Aku menjelingnya geram. “Kau ni tak belajar agama ke? Haram tahu orang bukan muhrim bersentuh-sentuhan.”

Adam tertawa lagi. Kali ini dia tertawa besar. “Wawa… kau ni dah salah fahamlah.” Katanya seraya diiringi gelaknya yang masih bersisa. “Aku tak suruh pun kau pegang aku, peluk aku. Aku hanya suruh kau pegang belakang tempat duduk aku ni aje!”

Aku tertegun. Terkesima. Benarkah begitu? Aku jadi malu sendiri. Mujurlah aku duduk membelakanginya. Jika tidak, sudah tentu dia dapat melihat wajahku merah diserbu malu.

Adam tergelak besar.

Aku ikut tertawa.

Seluruh sejagat raya tika itu pasti melihat tali ukhuwah yang tiba-tiba terjalin antara kami. Keakraban yang tanpa diduga. Kemesraan yang tanpa disangka. Memori indah yang mula tercipta.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience