Bab 1

Romance Series 6138

?BAB 1

PROLOG
BAK kata pujangga, “Cinta itu mampu melunakkan besi, menghancurkan batu, membangkitkan hati yang mati dan meniupkan segala-galanya terlihat indah.

” Seuntai aksara dari madah pujangga pula ada mengatakan, “Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghina diri, tetapi menghembuskan kegagalan. Cinta bukan membawa kita kepada kedukaan, tetapi menitipkan kebahagiaan.” Cinta itu indah persis mutiara yang menyalurkan cahaya yang cerah ke ruang rindu hati kita.
Ya… Cinta itu sememangnya indah.

Keindahannya tidak terucap dengan kata-kata. Cinta itu amat mahal takrifnya, itulah yang difitrah oleh Allah SWT kepada hambanya.

Cinta itu sukar dilihat pada zahirnya kerana ia adalah suatu anugerah teragung dari Ilahi. Nikmat cinta itu adalah suatu tanggungjawab di mana wujudnya kesetiaan dan kejujuran di dalamnya.

Kita perlu ingat pada yang satu,
Jujur pada yang setia,

Setia pada yang kasih,

Kasih pada yang rindu,

Rindu pada yang cinta,

Cintalah yang menyayangi diri kita…

Aku tersenyum sendirian. Sesekali berbicara tentang hal yang satu ini sememangnya menyeronokkan. Ya, kerana aku juga pernah merasainya. Hati mawarku ini pernah dihinggapi oleh sang kumbang.

Taman jiwaku ini pernah diwarnai dengan bunga-bunga cinta. Ladang naluriku pernah disirami dengan air-air kasih yang suci.
Aku menghela nafas panjang. Aku duduk memeluk lutut di bawah pohon kemboja yang terletak di tepi tasik di Taman Saujana.

Pandangan mataku terus merenung jauh. Sesekali kuntuman-kuntuman bunga kemboja yang berguguran menampias wajahku. Pawana yang bergemersik damai acap kali menyelimuti tubuhku di rembang petang ini.

Jilbabku terkisar liar disentuh desiran bayu yang menguja sukma. Kadang kala, kuntuman kemboja dan dedaun kering turut berlagu diseret bayu semilir.

Kicauan permai sekawan burung yang berterbangan kian mengalun merdu dan tidak segan silu memecahkan kesunyian yang melingkari diri ini. Mataku melingas memandang sekeliling. Tidak ramai pengunjung yang bertandang ke taman rekreasi ini lantaran hari ini bukan hari minggu.

Tetapi, bagiku tidak kira hari minggu atau tidak, saban petang aku sering ke sini. Menikmati keindahan karya Agung Maha Pencipta. Merenung hutan semula jadi di sekelilingnya. Memerhati kocakkan air di tasik nan indah. Menghayati kedamaian sukma dan atma dengan melungguh di bawah pohon kemboja.

Sekuntum mawar merah yang baru kupetik di tepi sebuah bangku kayu itu, kuhidu perlahan-lahan. Sememangnya ia harum, tetapi ia tidak seharum bunga mawar merah yang ditanam di sekolahku. Bunga itu bukanlah bunga mawar yang lazimnya subur ditanam di Tanah Tinggi Cameron. Sebaliknya, ia hanyalah mawar biasa yang bersaiz kecil.

Aku jadi sebak tiba-tiba. Sejenak, tanpa disedari manik-manik putih suci menampias pipi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience