Rate

BAB 5

Romance Completed 86843

BASIKAL dikayuh dengan kelajuan sederhana sambil matanya memandang jalan yang agak lengang pada petang itu. Taliya cuba menikmati angin petang sambil menenangkan mindanya buat seketika. Sudah hampir seminggu anak-anak abah ada di rumah termasuk Talita dan Thaqif.

Hari ini, dia mahu berasa sedikit penting diri dengan keluar ke pekan seorang diri tanpa membawa angkatan tenteranya yang tiga orang itu. Dia mahukan me time untuk diri sendiri yang tidak pernah dia lakukan sepanjang hidup. Adik-adiknya yang lain diserahkan kepada Talita. Biar dia pula yang serabut, muahahaha.

Taliya sengaja memilih untuk mengayuh basikal. Dia mahu mengurangkan sedikit karat yang makin menebal di rantai itu dan juga lemak yang semakin membiak dalam badannya.

"Liya, pergi mana tu naik basikal?" Teguran daripada Pak Mat di luar kedainya membuatkan Taliya tersengih.

"Nak pergi pekan jap Pak Mat, saja naik basikal. Nak kuatkan otot kaki!" jawab Taliya sedikit kuat lalu meninggalkan Pak Mat yang hanya menggeleng kepala apabila melihat tingkah selamba gadis itu.

Si budak Taliya ni memang gemar buat benda bukan-bukan sejak zaman persekolahan lagi. Orang-orang di kawasan perumahan itu sudah masak dengan perangai tak terjangka gadis itu. Biarkan saja asalkan dia tidak melanggar batas agama.

Bibir merah merekah itu mula menyanyi kecil dek berasa sedikit gembira pada saat itu. Dia tidak mengendahkan orang-orang di tepi jalan yang memandangnya pelik. Kalau ada orang tampar kepalanya pada waktu itu, dia yang akan meminta maaf kerana muncul di hadapan orang itu.

Pelbagai rencana sudah dirangka dalam mindanya demi merealisasikan me time'untuk pertama kalinya. Dia mahu menghabiskan masa di kedai buku saja pada petang itu. Dia mahu membelek buku-buku yang ada sampai skru lututnya tercabut!

Sesudah itu, Taliya mahu singgah di kedai runcit kerana stok kopi kegemaran abah sudah habis. Jadi sebagai anak yang baik dan cantik, dia perlu penuhkan stok itu semula kerana dia juga penyumbang kepada penyusutan stok kopi di rumah mereka.

Basikal diparkir di tempat letak motosikal sebelum Taliya terus melangkah masuk ke kedai buku dengan wajah yang tidak luntur dengan senyuman.

Oh bau buku baru! Sukanya dia!

Ayuh masuk ke dalam lautan dunia fantasi, Taliya! Syurga dunia buat pencinta buku.

TITIS-TITIS hujan mula menimpa wajah Taliya yang masih mengayuh basikal dalam keadaan santai itu. Hatinya bersangka baik, mungkin hujan ini akan turun rintik-rintik saja sehingga dia sampai di rumah.

Kayuhan dilajukan apabila rintik hujan yang pada awalnya lembut menjadi kasar sehingga kulit mukanya terasa pedih. Tanpa Taliya sempat mencari tempat berteduh, hujan turun dengan lebatnya.

"Argh, hujan pulak! Waktu aku bawa basikallah nak hujan pun!" bebelnya perlahan.

Taliya menyepetkan mata kerana air hujan mula masuk ke dalam korneanya. Mata mula melilau mencari tempat terdekat untuk berteduh. Cahaya dari salah satu kedai yang beroperasi itu mendapat perhatian Taliya lalu dia kayu basikal itu dengan laju ke sana.

Dia harap bukunya dapat diselamatkan. Walaupun hanya sebuah novel fiksyen namun bukan senang bagi dia yang mempunyai banyak komitmen untuk membelinya. Tadi pun jenuh minda dan hati berperang untuk membeli novel daripada penulis kegemarannya itu.

Tongkat basikal diturunkan sebelum plastik buku dan dompet diambil. Dia berlari ke depan kedai itu. Bungkusan kopi abahnya ditinggalkan dalam bakul basikal. Takkan orang nak curi kopi, kan?

Mata hazel itu mula melihat ke sekeliling tempat yang baru dia jejaki itu.

"Eh, book cafe? Serene Bookafe. Baru buka ke?" soal Taliya seorang diri apabila dia mula menyedari kewujudan kafe itu. Dia menjenguk kafe itu dari luar. Hiasan dalaman yang sangat cantik dan menenangkan walaupun baru pertama kali dia melihatnya.

Notis yang dilekatkan di pintu kaca itu dibaca dalam hati. Taliya tersenyum lebar dengan ayat-ayat yang terpapar di situ. Pencarian pekerja normal dan OKU sangat digalakkan. Betapa baiknya pemilik kafe ini kerana mahu mengambil golongan istimewa itu bekerja di bawahnya.

"Tapi tulis 'CLOSE'... Mungkin dalam preparation lagi kot, minggu lepas mana ada lagi kedai ni." Terkebil-kebil mata itu memandang kafe buku itu luar dan dalam. Dia langsung tidak perasan gerangan manusia yang ada di dalam kafe itu.

Dari hiasan dalaman dan susun atur kafe itu, dia tahu harga untuk secangkir kopi atau teh setara dengan harga seekor ayam. Itulah pandangan awal seorang yang tidak berkemampuan pada kafe yang cantik itu.

"Isy, lantaklah Taliya. Jangan busybody." Kepala digeleng laju untuk menghilangkan andaiannya pada kafe baru itu. Namun, Taliya suka akan pemilihan nama kafe itu kerana ia seolah-olah selari dengan hiasan dalamannya. Serene. Ketenangan.

Pakaian yang basah lencun itu menyebabkan Taliya berasa sejuk sehingga mencengkam tulang-belulangnya. Dia memeluk erat tubuh kecilnya untuk menyalurkan kehangatan pada badan. Air dari pakaiannya mula menitis membasahi lantai.

"Wahai owner, Taliya minta izin berteduh kejap tau. Sorry, dah basah depan kafe awak," tutur gadis itu perlahan sebelum dia menjatuhkan duduk di tepi pintu utama kafe itu. Plastik buku dan dompet diletakkan berdekatan kaki.

Buku yang masih berbalut plastik itu diperhati lama sebelum Taliya mengeluh kecil. Novel itu sudah basah dan sedikit kembang di hujungnya. Sumpah dia rasa seperti mahu menangis melihatnya tapi Taliya tahan. Anak sulung perempuan mana boleh nangis!

Buku dimasukkan kembali ke dalam plastik. Telefon dicapai dan jam di skrin itu ditilik sekilas.

6.15 petang.

"Alamak, agak-agak boleh sampai rumah sebelum maghrib ke? Dahlah abah balik malam ni." Kepala yang bertudung basah itu digaru lalu telefon disimpan. Dagu disangkutkan pada lutut sambil mata cantiknya itu memandang terus ke jalan raya.

Jalan yang tadinya lengang kini dipenuhi dengan kenderaan yang berbagai jenis. Sesak dan bising dengan deruman enjin serta hon pengguna yang tidak tahu erti sabar.

"Cuba bawa bersabar, tengah hujan ni kan? Semua orang dalam hujan bang, bukan kau seorang. Kena tahu bang, sabar itu separuh dari iman," bebel Taliya perlahan. Cukup untuk pendengarannya seorang diri.

Taliya duduk tegak apabila teringatkan sesuatu. Bibir yang menggeletar sejuk itu mula mengukir senyuman nipis.

Ustazah cakap, hujan turun adalah salah satu waktu yang mustajab untuk berdoa. Daripada Sahl bin Sa'ad RA, bahawa Nabi SAW bersabda: "Dua doa yang tidak akan ditolak ialah doa ketika azan atau selepas daripada azan dan doa ketika turunnya hujan." [Riwayat al-Hakim]

Taliya mula menadahkan tangan separas dada dan kepalanya mendongak memandang langit yang masih menangis. Dia tidak mahu melepaskan peluang yang ada, Taliya juga mahu mengadu pada Tuhannya.

"Bismillahirrahmanirrahim... Ya Allah Yang Maha Pemberi Rahmat, Kau jadikanlah hujan yang Kau turunkan ini sebagai rahmat dan bukannya bala buat kami di sini, Ya Allah. Ya Allah Yang Maha Mendengar, Kau lindungilah abah yang sedang bertolak balik dari tempat kerjanya. Kau lindungilah dia walau di mana pun dia berada, Ya Allah. Hanya kepada-Mu aku titipkan dia agar sentiasa berada dalam lindungan-Mu." Liur ditelan.

"Ya Allah, Kau lindungilah keluargaku daripada segala bala bencana yang berkemungkinan tiba. Lindungilah adik-adikku dari fitnah dan pandangan jahat sesiapa. Kau berikanlah mereka keberkatan ilmu yang bakal menjadi bekalan mereka di dunia dan akhirat, Ya Allah. Kau jadikanlah kami adik-beradik yang saling bergantungan antara satu sama lain dan elakkanlah pergaduhan yang boleh memecah belahkan kami, Ya Allah. Jadikanlah kami anak-anak yang soleh dan solehah. Aku juga memohon kepada-Mu, Ya Allah, Kau selamatkan dan lindungilah adik-adikku walau di mana pun mereka berada." Taliya berhenti seketika dan memejamkan matanya.

"Ya Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Kau berikanlah aku jodoh yang baik, yang sentiasa taat akan segala perintah-Mu dan tidak melakukan segala larangan-Mu. Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku dari sisi-Mu, suami yang juga bakal menjadi sahabatku dalam urusan agama, dunia, dan akhirat. Kau jodohkanlah aku dengan lelaki yang baik, yang kelakar, yang menyayangi diriku dan yang pandai menghormati keluarga aku, Ya Allah. Dan bonus Ya Allah, kau jodohkanlah aku dengan lelaki yang kacak lagi baik, kerana sesungguhnya aku mahukan anak-anak yang kacak dan cantik serta soleh. Berikanlah aku mentua yang baik, yang dapat menerima aku yang banyak cacat-cela ini sebagai wanita yang bakal menjadi suri hidup anaknya, Ya Allah. Hanya kepada-Mu aku memohon dan aku meminta. Amin ya rabbal alamin."

Wajah diraup dan tangan itu ditekup lama pada muka. Dia cuba menyalurkan haba ke pipinya yang sudah sejuk. Hujan masih lebat tanpa ada tanda untuk berhenti dalam jangka masa yang singkat.

Taliya kembali memeluk lututnya kerana rasa sejuk yang semakin mencengkam tulang. Dengan pakaian yang basah ini, konfem boleh masuk angin.

"Cik." Taliya berpaling ke belakang apabila mendengar suara itu. Dia terus berdiri apabila melihat gerangan lelaki muda itu menegurnya.

"Ya?"

"Masuklah dalam, cik dah lencun ni. Nanti sakit pula," kata lelaki itu lagi.

"Nanti bos awak marah pula kalau saya masuk," kata Taliya bersahaja.

"Bos saya yang suruh cik masuk, dia takkan marah. Jadi, cik janganlah risau. Meh masuk." Pintu kaca itu dibuka luas, memberi ruang untuk gadis itu masuk.

"Awak tak berniat nak buat benda yang bukan-bukan kat saya kan?" soal Taliya secara tiba-tiba dengan dahi berkerut. Lelaki itu hanya terhambur tawa sebelum mengemam mulutnya.

"Tak ada maknanya saya nak buat benda tak elok pada cik. Masuklah, saya dan bos tak nak cik mati kesejukan je," kata lelaki itu. Boleh tahan juga ayatnya, boleh bersaing dengan Taliya.

"Okeylah kalau macam tu, terima kasih sebab tak nak saya mati kesejukan," balas Taliya sambil tersengih. Badan dibongkokkan untuk mengambil barangan sebelum dia turut mengikut jejak lelaki itu yang sudah masuk ke dalam kafe.

Indah. Hanya itu yang mampu dia ungkapkan. Dari luar sudah nampak cantik tapi apabila masuk ke dalam, subhanallah... Cantik betul!

Kerusi di tepi tingkap kaca kafe ditarik dan dia melabuhkan duduknya di situ sambil memerhatikan keadaan sekeliling dengan mulut yang sedikit terbuka. Keterujaannya tidak dapat dikawal lagi.

Cantik dan menenangkan. Taliya suka!

"Cik minum hot chocolate?"

Taliya mengangguk.

"Saya tak minum benda haram je awak. Yang lain semua saya telan."

Lelaki itu tergelak kecil dan terus berlalu pergi. Taliya pun tidak tahu ke mana gerangan lelaki itu pergi dan dia juga malas untuk mengambil tahu.

Rak buku yang besar itu mendapat perhatian Taliya. Bibirnya mula melorek senyuman lebar. Satu hari nanti, dia nak ada mini perpustakaan di rumah!

Jeng jeng jeng! Agak-agak siapa bos tu????

Btw, pubslisher dah announce tentang SBPH di ig ya hehe????

Pi follow @feariecreationpub cepat!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience