Rate

BAB 2

Romance Completed 86843

"KAU balik bila?" soal Jayden kepada Ezrul yang semeja dengannya. Keadaan di situ kelihatan lengang kerana mereka lewat sampai. Semuanya kerana Ezrul dan Jayden ditugaskan untuk menyelam ke dasar laut untuk mengimpal dan membaiki paip-paip di bawah platform. Begitulah hidup sebagai welder.

"Lusa," balas Ezrul menggunakan bahasa isyarat.

Ya, dia bisu disebabkan kejadian lima tahun lepas. Cacat kekal yang pada awalnya sukar untuk diterima. Namun Ezrul memilih untuk berdamai dengan takdir walaupun memakan masa. Siapa saja yang boleh terus terima kenyataan apabila kehidupan normal berubah secara drastik kepada OKU?

Jayden hanya mengangguk faham sebelum meneruskan aktiviti makannya. Sesekali mata itu terpandang parut panjang pada leher Ezrul.

"Ez."

Ezrul memanggungkan kepalanya daripada terus tunduk menikmati makanan. Kening dijungkitkan sebelah bagai menyoal rakannya itu.

"Aku minta maaf pasal kejadian dulu." Rasa bersalah mula menghurung diri itu kembali.

Ezrul mengeluh kuat sebelum meletakkan sudu di tepi pinggan. Badan disandarkan di kerusi dan matanya tajam menatap Jayden.

"Kau buat salah apa dengan aku?" Ezrul bertanya kembali dengan bahasa isyarat. Sejak Ezrul disahkan bisu, Jayden memilih untuk mempelajari bahasa itu untuk memudahkan komunikasi dengan lelaki itu.

"Aku... Kalau aku ikut arahan kau dulu, kau tak bisu macam ni, Ez." Kepala semakin tunduk memandang pinggan.

Ezrul mengetuk meja sehingga Jayden kembali melihat wajah itu.

"Peraturan hidup yang pertama, jangan sesekali berbincang tentang perkara yang boleh menimbulkan kemarahan atau kesedihan yang melampau ketika makan. It's rude." Ezrul masih duduk dengan santai walaupun muka Jayden sudah berubah dengan tegurannya.

"Dan kau dah buat aku marah, Jayden."

Jayden hanya mampu menelan liurnya sendiri apabila melihat wajah beku Ezrul. Tiada reaksi mahupun senyuman.

"Tolong ingat ni, Jay. Kalau kau tak ada di situ lima tahun yang lalu, aku tetap akan dihempap dengan besi itu. Sebab takdir aku dah tertulis begitu." Ezrul berhenti sebentar.

"Jadi, tak ada sebab untuk aku maafkan kau. Kau tak buat salah dengan aku pun." Usai itu, Ezrul terus sambung menyuap makanan yang masih bersisa di dalam pinggan.

"Ez."

Ezrul terus menaikkan tapak tangannya di hadapan muka Jayden sehingga lelaki itu berhenti berbicara.

"Kau masih rasa bersalah?" soal Ezrul dengan kening yang hampir bertaut.

"Ya, aku rasa bersalah sangat dengan kau," jawab Jayden sambil menggigit dalam pipinya.

"Okey, kalau macam tu kau kena tolong promote kafe aku sampailah rasa bersalah kau hilang. Amacam?" Kening dijungkitkan berkali-kali sambil menyedut minumannya.

"Okey, aku setuju." Jayden mula tersenyum. Setakat nak mempromosikan kafe itu, apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan apa yang Ezrul telah hadapi.

"Ez, kau tak nak cari pengganti ke?" Soalan yang tiba-tiba itu menyebabkan Ezrul tersembur air teh aisnya di hadapan wajah Jayden.

Jayden yang tidak sempat mengelak hanya mampu menutup mata dan meraup muka yang sudah basah dengan air manis. Bibir dikemam rapat menahan perasaan.

"Maaf." Ezrul menggenggam tangan kanannya lalu dipusing secara bulatan di dada berkali-kali dek rasa bersalah.

"Haih kau ni, aku baru je sudah mandi tahu tak," kata Jayden sambil mengelap wajah menggunakan tisu.

Ezrul hanya tersenyum senget.

"Ulang suara, bila kau nak cari pengganti Mia?" Jayden memang tidak kenal perkataan putus asa.

"Tak akan ada." Pendek dan padat jawapan Ezrul.

"Kau sayang dia lagi? Dia tinggalkan kau masa kau sakit, bro. Kau suka dia lagi ke?" Jayden mula berdecit perlahan dengan jawapan sahabatnya itu. Jika betul apa yang dia teka, memang dia nak tolak Ezrul ke dalam laut.

"Aku dah tak ada apa-apa perasaan pada dialah. Aku tak akan lupa rasa sakit ditinggalkan hanya kerana aku cacat," balas Ezrul lalu mengalihkan pandangan ke luar kantin.

"Dah tu? Apa yang tak akan ada?" soal Jayden sekali lagi sambil bersandar ke kerusi. Perutnya ditepuk perlahan, kenyang.

"Sebab memang tak akan ada orang yang nakkan suami bisu macam aku ni, Jay. Perempuan hanya nakkan kesempurnaan. Aku? Jauh dari sempurna. Aku cacat, Jay."

Sejak insiden itu, Ezrul sentiasa berasa rendah diri disebabkan kekurangan yang dia ada. Dia mengaku dia insecure dengan lelaki lain yang sempurna. Tidak seperti dirinya. Cacat.

"Ada."

Ezrul terus memandang wajah Jayden, pelik.

"Nanti akan ada yang sukakan kau, yang cintakan kau lebih daripada rasa cinta kau pada Mia dulu, Ez. Percayalah cakap aku," kata Jayden sambil menganggukkan kepalanya.

Ezrul hanya menjongketkan bahu tanda malas mahu ambil tahu.

"Kau dah 31 tahun, Ez. Dah jadi bujang terlajak."

Ezrul terus menjegilkan matanya ke arah Jayden sebelum membaling ketulan ais yang masih bersisa di dalam gelasnya.

Kurang ajar punya member! Mentang-mentang dia dah ada bini, dikatanya Ezrul bujang terlajak. Hei, ini bujang terlajak kacaklah!

"NAK berapa kak? Dua?" tanya Taliya dengan tangan yang laju memasukkan dua bungkus pulut ke dalam plastik lut sinar. Ayam yang dipilih pelanggan turut disekalikan dalam plastik yang sama.

"Okey, pulut ayam siap kak. RM12 semuanya. Plastik itu dihulurkan pada pelanggannya dengan senyuman yang tidak pernah luntur di bibir merah merekah itu.

Duit diambil sebelum tangan diseluk masuk ke dalam poket apron untuk mengambil baki.

"Terima kasih, saya jual."

"Saya beli."

Taliya terus duduk di atas kerusi sambil menggeliat kecil. Jam di skrin telefon ditilik lama. 8.05 malam. Hampir menginjak ke waktu isyak, mujur saja Taliya sudah menunaikan solat maghrib sebentar tadi.

Pandangan dihalakan kembali ke arah meja jualannya. Hanya tinggal sedikit sahaja lagi pulut ayam yang berbaki. Selepas itu, dia boleh pulang.

Kaki digoyangkan sambil matanya memerhati orang yang lalu-lalang di pasar malam itu. Ada yang berseorangan, ada yang berpasangan dan ada juga yang bersama keluarga kecil. Comel.

Tiba-tiba Taliya teringatkan adik-adiknya yang lain. Angah iaitu Talita sedang menyambung pengajian di peringkat ijazah di Johor dan acik pula sudah menjadi pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD). Awalnya susah juga untuk abah lepaskan acik pergi namun setelah dipujuk, Thaqif berjaya masuk ke MTD bermula tahun lalu.

Kalau dia pula? Buat masa ni terhenti di peringkat diploma. Berkorban sedikit untuk keluarga sendiri, tak apa kan?

Kejarlah cita-cita kalian, wahai adikku. Biar kakakmu ini yang mencari duit untuk menanggung pengajian kalian. Acewahhh, bermadah pula aku.

"Liya?" Taliya masih tersenyum seorang diri tanpa sedar namanya dipanggil.

"Taliya!"

"Ya!" Terus gadis itu berdiri dek terkejut diseru begitu.

"Eh, cikgu." Dia tersengih.

"Apa yang kamu berangan sampai cikgu panggil langsung tak dengar?" tanya Maryam sambil menggelengkan kepalanya. Taliya dulu adalah pelajarnya di sekolah menengah dan tidak dapat disangkal lagi, sifat kuat berangan gadis itu masih belum luntur.

"Teringatkan adik-adik, cikgu," ujar Taliya sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan bekas cikgu matematiknya.

"Apa khabar adik-adik kamu tu? Lama cikgu tak nampak." Maryam menjenguk ke arah meja jualan Taliya. Dia berharap pulut ayam kegemarannya masih ada.

"Macam gitu jelah cikgu, gaya orang-orang muda."

"Kamu pun bukannya tua, muda lagi tapi gaya cakap dah macam mak-mak." Maryam menggelengkan kepala dan Taliya tersengih macam kerang busuk.

Entahlah, kadang-kadang dia lupa diri. Eh bukan, lupa umur sendiri.

"Dah terbiasa kawan dengan orang tua, cikgu." Taliya terus ketawa perlahan dengan jawapannya.

"Macam-macamlah kamu ni. Eh, pulut ayam ada lagi?" Terus Maryam bertanya, risau pulutnya menjadi milik orang lain. Memang menangis tak berlagu dia nanti.

"Ada lagi tiga, cikgu. Cikgu nak berapa?" soal Taliya sambil melihat muka tenang Cikgu Maryam.

"Saya nak semualah, boleh kamu balik awal malam ni."

"Cantikkk, terbaiklah cikgu sentiasa memahami anak muridnya yang cantik lagi lawa ini." Seloroh Taliya sambil tangan itu laju menyediakan pesanan Maryam tadi.

Maryam terus ketawa mendengarkan jawapan spontan Taliya. Gadis ini tidak berubah, masih sama seperti beberapa tahun yang lalu. Seorang yang ceria dan suka bergurau.

"Liya, saya nak buat tempahan boleh ke?" soal Maryam sambil matanya menatap belakang Taliya yang lincah menyiapkan pesanannya.

"Tempahan apa cikgu? Pulut ayam ke design banner sekolah lagi?" Soalan dibalas soalan. Taliya terus mendekati Maryam yang sudah duduk di tempatnya tadi sambil membawa plastik lut sinar berisikan pulut ayam.

"Pulut ayam. Design banner tu saya mungkin tak dapat tempah kat kamu dah nanti," ujar Maryam sambil tersenyum kecil.

"Alaaa kenapa? Cikgulah pelanggan tetap saya untuk kerja saya yang satu tu." Bibir dijuihkan, mata dikelip berkali-kali.

"Saya nak pencen dah Selasa ni, saya nak tempah design apa pula nanti." Lengan Taliya dipegang.

"Alah cikgu, nanti kalau cikgu nak kahwin baru bolehlah suruh saya design kad kahwin." Taliya berseloroh.

"Eh, suami saya yang sekarang nak letak mana?" Taliya terus menghamburkan tawa apabila lengannya terasa dicubit oleh Maryam. Loyar buruk betul.

"Gurau aje, kalau betul pun apa salahnya, kan?" Sambung Taliya sekali lagi.

"Malaslah saya layan kamu ni. Ha untuk pulut ayam, saya nak tempah satu kilo pulut dan tiga ekor ayam tau. Saya nak Selasa ni, buat majlis sikit sempena dah pencen ni." Maryam terus memberitahu hajatnya itu. Jika bertangguh, dia risau gadis ini makin berseloroh dalam perbualan mereka.

"Hantar kat rumah cikgu, kan?"

"Ya, kamu tahu rumah saya kan?"

"Sudah semestinya! Saya ni kan pelajar kegemaran cikgu."

"Mana ada, kamu tu yang self-claimed."

Taliya mencebik perlahan sambil membuat muka dengan mulutnya yang sengaja dimuncungkan.

"Cikgu ni tak syok ah."

Seusai ayat itu, mereka berdua tertawa besar seperti tiada masalah kehidupan.

Sebab apa saya suruh menabung?

Sebab ada si bisu dan si murai yang hampa kena pinang nanti????

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience