Rate

PROLOG

Romance Completed 86843

TALIYA FARIHA capai telefon bimbit yang diletakkan dalam mod senyap dengan raut wajah penuh ceria. Dia bahagia, zaman diplomanya sudah berakhir dengan terjawabnya kertas terakhir sebentar tadi. Dia sudah bebas! Lepas ni bolehlah dia qada' tidur yang selama ini tidak pernah cukup.

Wajah yang tadinya ceria mula berkerut apabila melihat betapa banyaknya panggilan tidak berjawab daripada abah dan adiknya.

"Apahal ni?"

Laju jemari runcing itu mendail kembali nombor abah. Beg diambil sebelum dia bergerak ke arah Pusat Islam universiti. Taliya berdecit perlahan apabila panggilannya tidak berjawab.

"Orang dah call balik, tak angkat pula." Sekali lagi nombor adiknya didail.

"Ha angah, apa hal call sampai nak meletup phone aku tadi?" tanya Taliya lalu terus duduk bersandar di tiang Pusat Islam itu. Belakang leher yang lenguh dipicit perlahan.

"Along, mak dah bersalin."

"Betul ke? Alhamdulillah, baby boy ke girl?" soal Taliya dengan nada teruja. Adik bongsu yang dinantikan oleh mereka sekeluarga akhirnya sudah menjengah ke dunia.

"Lelaki," balas Talita sepatah dengan suara yang sengau macam baru lepas menangis.

"Ngah, mak okey tak?" Soalan itu hanya dijawab dengan keluhan berat. Taliya menegakkan badan. Hati mula berasa tidak enak.

"Long, kau dah beli tiket balik ke?" Soalan dibalas dengan soalan.

"Belum, aku baru habis final ni. Kenapa?" Sungguh, hatinya berasa sangat tidak sedap pada ketika itu.

"Kau kena beli tiket sekarang, long. Kau kena balik hari ni juga."

"Kenapa? Aku tak kemas lagi barang di rumah sewa. Kau kenapa baru bagi-"

"Mak dah tak ada, along! Mak dah meninggal." Talita terus memotong bicara kakak sulungnya yang sudah naik angin. Taliya kejung tanpa bicara. Matanya langsung tidak berkelip. Dia cuba menghadam ayat adiknya itu tadi.

"Apa kau cakap ni, Talita?" Perlahan dia tanya sebelum tergelak kecil.

"Kau kalau nak bergurau, jangan main mak bapak, Talita."

"Aku tak bergurau, mak meninggal masa bersalin. Baliklah sini cepat, long. Aku tak mampu nak kawal keadaan sekarang ni." Kedengaran suara Talita mula teresak-esak kecil.

Minda Taliya seakan kosong. Otaknya tidak dapat memproses apa yang telah disampaikan oleh angah. Lama dia berdiam diri sebelum sedar dengan fakta itu.

Mak dah tak ada.

Mak dah meninggal.

"Tunggu aku balik, ngah." Panggilan dimatikan sebelum Taliya tersandar di tiang Pusat Islam. Air mata mula berjuraian jatuh. Seluruh tubuh badan terasa sangat lemah.

"Allahuakbar. Ya Allah, mak. Kenapa cepat sangat mak tinggalkan along."

"YA ALLAH, ribut!" Jeritan rakan sekerjanya membuatkan jantung Ezrul Istafa berdegup kencang. Mereka mula menggelabah dek terperangkap di compression platform dalam keadaan ribut yang sangat kuat.

"Tunggu sini, aku nak pergi tengok keadaan luar," kata Ezrul.

"Hati-hati Ez, kuat ni angin." Ezrul hanya mengangguk kepala.

Jujurnya, dia turut berasa risau tapi dia perlu beranikan diri. Kalau tiada siapa yang memulakan langkah, mereka semua akan terperangkap di situ lama. Angin bertiup kuat dan ombak bergelora hebat seperti menanti mangsa. Hujan lebat mula turun. Air laut menghempas kuat kawasan pelantar.

Ezrul menjenguk ke bawah. Muka yang basah disimbah air hujan diraup berkali-kali. Tali topi keselamatan diketatkan sebelum dia laju berlari turun ke bawah. Dia bergerak ke serata tempat mencari jalan yang selamat.

Laluan belakang yang masih terhindar dari hempasan kuat air laut mendapat perhatian Ezrul. Pantas dia kembali ke tingkat tiga untuk memanggil rakan-rakan sekerjanya untuk turun dan kembali ke kuarters masing-masing.

"Laluan belakang masih selamat and I want you guys to keep your safety first. Ketatkan tali topi keselamatan dan turun ke bawah dengan segera dan selamat. Jangan melencong, terus balik ke bilik masing-masing. Faham?" kata Ezrul tegas dengan suara yang kuat untuk melawan bunyi angin dan ombak.

Semua pekerja di platform itu hari ini di bawah pengawasannya. Jadi, dia yang perlu bertanggungjawab jika berlaku sebarang kejadian.

"Faham!" jawab mereka serentak.

"Okay, go!"

Ezrul hanya memerhati semua anak buahnya turun sebelum dia turut mengikuti jejak mereka. Sampai saja di laluan belakang, matanya tertancap pada seseorang yang berpeluk tubuh menahan kesejukan. Ezrul mendekati lelaki itu.

"Jay, kau buat apa kat sini? Aku dah suruh masuk kuarters kan?"

"Aku tunggu kau, Ez."

"Aku tak keluarkan arahan untuk kau tunggu aku, Jay. Bahayalah!" Ezrul mengetap gigi tanda geram.

"Sorry, Ez," kata Jayden dengan rasa bersalah.

"Dah, go. Lagi cepat gerak, lagi cepat kita sampai bilik." Ezrul terus menolak belakang lelaki itu untuk melintasi titian besi yang bersambung dengan platform-platform di pelantar untuk ke kuarters mereka.

Baru saja kaki Ezrul memijak jambatan penghubung, platform itu terasa bergegar hebat. Dia menoleh ke belakang sebelum matanya membulat besar. Tanpa sempat mengelak, besi-besi yang berada di tingkat tiga platform itu jatuh menghempap Ezrul.

"Ezrul!" jerit Jayden kuat. Lemah lututnya menyaksikan kejadian itu di depan matanya.

Leher Ezrul sudah tercucuk dengan besi halus menyebabkan kepalanya menggeletar hebat. Darah membuak-buak keluar dari leher dan mulutnya tanpa ada tanda untuk berhenti. Dada Ezrul beralun hebat.

Matanya hanya nampak kelibat Jayden yang berlari ke arahnya semula. Menitis air matanya menahan kesakitan yang tak terperi itu.

Sakit, Ya Allah...

Ezrul-Taliya back with new version!

Share this novel

MissNaraa
2023-12-01 11:54:14 

best lah cerita ni


NovelPlus Premium

The best ads free experience