Completed
7465
Diperhatikannya deretan bunga-bunga yang pelbagai warna dengan hanya berkain pelekat tanpa memakai baju. Susuk tubuhnya jelas memperlihatkan usianya. Rusuknya jelas kelihatan timbul disebalik lapisan kulit yang menipis dan berkedut. Boleh di hitung.
Di capainya baldi air berhampiran tangga lalu di siramnya bunga-bunga tersebut bermula dari pasu di sebelah hujung. Disiramnya perlahan pada bahagian akar menggunakan penyeduk air yang dibuat daripada botol plastik yang dibelah dua.
Jika disiram di bahagian batang dan juga daun akan menyebabkan kelembapan seterusnya memudahkan jangkitan penyakit seperti kulapuk dan kulat pada pokok.
Tiap-tiap pasu diteliti dengan bersungguh persis seorang doktor merawat pesakit. Dibeleknya daun, batang dan kuntum mawar kalau-kalau ada yang rosak.
Daun yang kerinting dicantas dan dibuang terus ke jauh. Itu tandanya pokok tidak sihat kerana dijangkiti penyakit Thrip iaitu sejenis kutu yang menghisap nutrien pokok. Akibatnya pokok kekeringan nutrien dan akan mati.
Rumput kecil yang menumpang di dalam pas uterus dicabut dan dibuang. Mana mungkin dia mahu membiarkan nutrien untuk mawarnya dikongsi bersama si rumput yang hanya tahu menumpang sahaja.
Wak Saman amat menitik beratkan hal ini. Tiap kuntuman dijaga dan diperiksa rapi. Deretan mawar ini adalah jiwanya yang hilang suatu ketika dahulu.
Kehilangan sekali lagi akan menjadi malapetaka. Dia pasti rebah tanpa berbangkit. Masa lalu telah mengajarnya.
Tiba di pasu yang terakhir dia berhenti sejenak. Direnungnya dengan mendalam. Di dalamnya terdapat sepohon mawar yang mempunyai sekuntum mawar Biru yang mekar. Yang dijaga dan dibaja dengan baik dan penuh kasih sayang.
Lagaknya umpama membelai sang kekasih. Baja taik ayam menjadi pilihan terbaik agar pokok tumbuh subur dan gemuk.
Seperti manusia juga, tumbuhan juga perlukan nutrien tambahan seperti kulit buah pisang, kulit telur, dan air basuhan ikan. Wak Saman peka.
Wak Saman membelek kuntuman mawar yang tergolong dalam kumpulan angiosperm ini yang telah wujud sejak zaman cretaceous lagi serta menjadi hiasan laman yang paling menenangkan dirinya.
Sepadan dengan jiwa melayu nya seperti di kisahkan di dalam Hikayat Bayan Budiman betapa terkenalnya mawar sebagai tanaman hiasan dalam kehidupan. Di belainya mawar Biru lembut.
Hidungnya dirapatkan kepada kuntuman mawar Biru lalu menarik nafas dalam-dalam dengan mata terpejam. Menikmati keharuman mawar Biru. Aroma yang menyegarkan lagi mendamaikan persis haruman si gadis Andaman.
Share this novel