Completed
7465
Mentari pagi mula menginjak tinggi di sebalik perbukitan yang tersergam indah di perkampungan Andaman . Cahayanya memancar tajam menerangi seluruh pelusuk desa Andaman.
Sinar matahari pagi menerobos masuk ke dalam bilik Wak Saman melalui daun tingkap yang tidak bertutup rapat. Terkenyit-kenyit Wak Waman bangun sambil memisat-misat biji matanya. Matanya digosok berkali- kali. Ternyata hari sudah siang benar. Matahari sudah terpacak tinggi.
Tiba-tiba Wak Saman bingkas bangun menuju ke tingkap lalu di kuaknya daun tingkap kiri dan kanan sehingga terbuka luas. Tumpuannya terarah kepada deretan pasu bunga di halaman rumahnya. Bagaikan sebuah taman mini dengan pelbagai jenis tumbuhan berbunga.
‘’Ah, lambat pula aku bangun hari ni. Pasti Biru sudah kehausan.’’ Keluh Wak Saman. Kain pelekat yang dipakainya digulung kemas. Semakin digulung semakin senteng jadinya hampir menonjolkan kepala lutut.
Perlahan-lahan langkahnya diatur menuruni anak tangga. Kudratnya kian dimamah usia. Jika dahulu, dengan pantas sahaja dia dapat menuruni tangga.
Dari anak tangga paling atas terus sahaja dia melompat ke tanah. Itu belum dikira lagi kegagahannya mendaki perbukitan Andaman saban petang. Kelincahan, ketangkasan, kepantasan dan kegagahannya tiada tandingan di perkampungan Andaman.
Lantas dia digelar jaguh yang menjadi tumpuan anak gadis di desa Andaman.
Tiap kali beradu tenaga, dia belum pernah tewas. Belum ada yang mampu menewaskannya walau sekali. Dia terlalu ampuh untuk ditewaskan.
Namun, telah muncul satu kuasa yang sakti. Kuasa yang mampu mencairkan besi padu, meratakan gunung – ganang dan mengeringkan selautan ego sang lelaki.
Kuasa itu digelar cinta. Kuasa inilah yang telah membawa dia kepada kehidupannya kini. Keperkasaanya ditewaskan dengan kuasa yang namanya cinta. Sukar untuk dipercayai tetapi harus diakui.
Share this novel