BAB 1

Drama Completed 296

SAMPAI saja di bilik, Syakira terus merebahkan badan di atas katil. Penat
terasa di seluruh tubuh. Kepala yang terasa berat diletakkan di atas
bantal. Sekejap saja, dia sudah terlelap. Namun lenanya yang indah itu
terganggu dengan bunyi deringan telefon bimbit. Menggagau tangannya
mencapai telefon bimbit yang masih berada di dalam beg. Dengan mata yang
separuh pejam, dia membaca nama di skrin. Spontan, keluhan kasar
terlepas dari mulutnya.
“Ish… tak tahu ke sekarang ni masa orang nak rehat?! Ugrh!”
jerit Syakira kuat. Seakan-akan melepaskan rasa geram yang terbuku di hati
kepada si pemanggil itu. Tanpa menjawab panggilan itu, dia segera
menekan butang merah. Telefon bimbit itu dimatikan terus lalu terus
memejam mata rapat-rapat.
Bunyi kuakan pintu dari arah belakang langsung tidak
mengganggu tidur Syakira . Thaleya yang baru menapak masuk, tergeleng-geleng
melihat Syakira yang terbongkang tidur. Dia menapak mendekati gadis itu.
“Syakira ! Bangunlah, Abang Ferhad tunggu kau kat bawah,” ujarnya. Bahu Syakira
digoncang-goncang lembut.
“Alaaa… nak apa pulak mamat tu? Ish…” Syakira menggeliat
malas. Dalam hati bergunung-gunung sumpah seranah ditujukan buat Ferhad .
Lelaki itu suka sangat mengganggunya. Semua hal yang dia buat mahu
diambil tahu sampaikan dia terasa rimas yang amat sangat.
“Aku tak tahu, tapi dia cakap nak jumpa kau. Pergilah turun.
Dah dekat sejam dia tunggu kau kat bawah tu,” ujar Thaleya lagi sambil
bergerak menghampiri katilnya. Tudung di kepala ditanggalkan dan
disangkut pada belakang kerusi.
Syakira menggerutu dalam hati. Pun begitu, dia tetap turun
dari katil. Setelah mengemaskan rambut yang kusut-masai itu, barulah dia
menapak keluar dari bilik menuju ke tingkat bawah. Nun di luar kawasan
asrama, Ferhad sedang menunggu di sebelah motosikalnya. Syakira
menghampiri dengan gaya malas.
“Hah, nak apa?” Syakira berpeluk tubuh tanpa memandang Ferhad .
“Syakira … sihat?” tanya Ferhad dengan nada lembut.
“Kalau datang sini semata-mata nak tanya saya sihat ke tak,
baik tak payah! Awak tahu tak yang awak dah mengganggu masa rehat saya?”
jawab Syakira kasar. Rambut panjangnya ditepis kasar. Angkuh sungguh
kelihatannya.
Ferhad tersenyum nipis. “Abang cuma nak jumpa Syakira . Syakira …
abang rindukan Syakira …” ucapnya perlahan. Walaupun Syakira tidak pernah
membalas perasaannya, dan sering menganggap semua itu hanya layak
dijadikan bahan mainan, dia tetap tidak putus asa mengejar cinta gadis itu.
Syakira mengeluh bosan. Riak mukanya jelas menunjukkan yang
dia tidak suka. Meluat pun ada mendengar ucapan lelaki yang sangat
dibenci itu. “Tak payah nak rindu-rindulah. Geli tau tak?” Syakira
menjeling tajam. Keluhan kasar keluar dari mulutnya. Beberapa pasang
mata yang lalu-lalang di situ tertoleh-toleh ke arah mereka berdua. Rasa
macam nak tengking aje sorang-sorang tu. Ingat aku ni wayang ke apa nak
tengok-tengok?
“Ni… abang ada belikan nasi untuk Syakira . Syakira makanlah…” Ferhad
menghulurkan plastik di tangannya kepada Syakira . Biar seteruk mana pun
layanan gadis itu padanya, dia tetap tidak kisah. Cinta yang sekian lama
tersemai di hati seolah-olah telah menutup matanya untuk melihat
keburukan Syakira .
Syakira mengerling sekilas nasi yang dihulurkan. “Saya dah
kenyanglah!” Kasar dia menjawab. Tidak sudi menerima pemberian Ferhad itu.
“Simpanlah dulu… mana tahu malam sikit Syakira lapar balik.
Lagipun ni nasi goreng, boleh tahan lagi sampai malam nanti…” Ferhad
cuba memujuk Syakira . Wajah masam gadis itu direnung lembut.
Syakira merengus. “Yalah!” Plastik di tangan Ferhad dirampas
kasar. Tanpa mengucapkan apa-apa, dia segera berpaling dan berlalu masuk
ke asrama semula. Panggilan Ferhad tidak dihiraukan lagi. Dia rimas
berlama-lama dengan lelaki itu. Menyesakkan jiwa dan raga!
Masuk ke bilik, Dami mencampak bungkusan nasi goreng ke atas
meja studi sebelum kembali baring di atas katil. Thaleya yang baru usai
solat Asar terkejut dengan tingkah Syakira itu. Tergeleng-geleng
kepalanya. “Syakira , Syakira … tak baiklah kau ni. Tu kan rezeki, tak baik campak
macam tu,” tegurnya.
Syakira mengangkat muka memandang Thaleya . “Kau kalau nak
berceramah, tak payah nak ceramah kat sini. Bingit tau tak!” Angkuh
sekali dia membalas.
Thaleya menghembus nafas. Kesal dengan sikap Syakira itu. “Tu
Abang Ferhad yang bagi ke?” soalnya. Biar seteruk mana pun perangai Syakira ,
dia tetap menganggap gadis itu rakan baiknya.
“Hmm…” balas Syakira acuh tak acuh. Dia kembali berbaring dan
memejam mata. Mahu menyambung tidur yang terbantut tadi.
Thaleya duduk di birai katanya sambil tangan melipat telekung.
“Aku tak tahulah apa lagi yang kau nak, Syakira . Abang Ferhad tu dah cukup
baik dah untuk kau. Tak boleh ke kau bagi peluang kat dia?” soalnya
dengan nada perlahan, sarat dengan rasa simpati terhadap Ferhad . Ferhad
sebenarnya merupakan abang angkat Syakira yang dibela oleh ibu bapa Syakira
semenjak lelaki itu berumur 13 tahun. Tetapi sayang, Syakira tidak pernah
menganggap lelaki itu sebagai abang. Bencinya dia pada Ferhad sudah
tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Bagi Syakira , Ferhad hanyalah
perampas kasih sayang ibu bapanya. Lebih parah, bila Ferhad jatuh cinta
pada Syakira . Walaupun layanan Syakira pada Ferhad sangat teruk, tetapi
dengan izin Allah, cinta itu tetap tumbuh di hati Ferhad . Thaleya mengeluh
lagi mengenangkan semua itu.
“Kalau kau kesian sangat, kau ajelah yang terima dia!”
Thaleya tersentak mendengar kata-kata Syakira itu. Terdiam dia
seketika.
“Aku tak pedulilah dia tu baik macam mana sekali pun. Kalau
dah hati aku kata tak suka, maknanya aku tak suka. Kau tak payah nak
paksa-paksa aku pulak. Rimas!” Separuh terjerit Syakira menuturkan
kata-kata itu. Dia berpaling membelakangi Thaleya . Tanda tidak mahu
sebarang perbualan lagi. Malas mahu memikirkan lelaki yang baginya
langsung tiada kepentingan di dalam hidupnya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience