BAB 5

Drama Completed 296

PADANG luas yang terletak di hujung kolej menjadi tempat pertemuan
Ferhad dan Thaleya petang itu. Sebaik tiba, Thaleya sudah dapat melihat
Ferhad sedang duduk di hujung padang, menyandar pada pagar. Thaleya
menarik nafas dalam-dalam, mengingat kembali ayat-ayat yang telah
tersusun cantik di kepalanya. Kemudian, barulah dia bergerak menghampiri
Ferhad .
“Assalamualaikum, abang,” ucap Thaleya dengan suara yang
sengaja diceriakan. Dia mengambil tempat di sebelah Ferhad .
“Waalaikumussalam,” jawab Ferhad . Nadanya lemah, langsung
tiada semangat.
“Lama ke abang tunggu? Sorry kalau Thaleya lambat,” ucap Thaleya .
Melihat raut keruh Ferhad , hatinya jadi sayu tiba-tiba. Ya Allah,
kuatkanlah aku untuk berdepan dengan kenyataan menyakitkan hati. Doa itu
dibisikkan berulang-ulang kali di dalam hati.
“Tak adalah.” Ferhad tersenyum nipis. Hambar. “Ada hal apa
Thaleya nak jumpa abang ni?” Tak tergamak rasanya mahu menyebut nama Syakira
walhal dia sudah sedia maklum tujuan Thaleya mahu menemuinya adalah kerana
Syakira .
Thaleya mengambil masa beberapa saat sebelum memulakan. “Kalau
Thaleya bagitahu, abang janji jangan bagitahu siapa-siapa tau?” pintanya.
Cuba tersenyum walau hati sudah tersayat pilu mengenang nasib sendiri
selepas ini.
Ferhad sekadar mengangguk. Sedaya upaya menghalang agar
seraut wajah Syakira tidak menjengah fikirannya ketika ini.
“Emm….” Thaleya menenangkan hati dan perasaan sendiri sebelum
menyambung, “… Syakira mengandung, abang…”
Ferhad tergamam. Spontan kepalanya tertoleh ke arah Thaleya .
Tidak berkelip matanya merenung gadis itu, berharap berita itu hanya
gurauan semata-mata. Tetapi mana mungkin Thaleya bergurau dengan perkara
serius sebegitu. Melihat wajah Thaleya yang penuh kesuraman itu, sebuah
keluhan terlepas dari mulutnya. Kepalanya tersandar di pagar besi dengan
mata terpejam.
“Syakira merana sangat sekarang ni. Thaleya tak sanggup tengok dia
macam tu…” tambah Thaleya dengan suara perlahan.
“Anak siapa?” tanya Ferhad dengan suara lirih.
Thaleya menggeleng-geleng perlahan. “Thaleya tak tahu. Syakira
sendiri pun tak pasti.” Itulah kenyataan yang sangat pahit sekali. Kalau
Syakira sendiri tidak tahu, itu bererti bukan cuma seorang lelaki yang
telah menidurinya. Thaleya menggeleng kesal mengenangkan hakikat itu.
Betapa Syakira sudah terpesong jauh dari landasan yang sepatutnya.
“Apa Thaleya nak abang buat?” tanya Ferhad tanpa memandang Thaleya .
Thaleya merenung wajah Ferhad yang sudah menunduk. Berat hati
untuk meminta, tetapi akal tetap memujuk supaya meneruskan saja.
“Abang…. Kahwin dengan Syakira ?” Sejurus ayat itu terlafaz, Thaleya terus
mengetap bibir. Pedihnya hati….
Ferhad merenung Thaleya dengan rasa tidak percaya. Benarkah
apa yang dia dengar?
“Abang cintakan Syakira , kan? Ibu dan ayah Syakira pun dah anggap
abang macam anak kandung diorang. Dan diorang pun tahu perasaan abang
pada Syakira . Kalau abang bagitahu diorang yang abang nak kahwin dengan Syakira ,
tentu diorang takkan syak apa-apa. Kan?” Thaleya memaksa bibir mengukir
senyum. Namun, hanya Allah yang mengerti apa yang sedang berladung di
hatinya saat ini. Kolam mata yang sudah penuh dengan air ditahan agar
tidak pecah. Tidak di depan Ferhad .
Ferhad diam merenung Thaleya . Lama dia begitu sebelum keluhan
terlepas lagi dari mulutnya. “Boleh ke Syakira terima abang?”
“Thaleya dah cakap hal ni dengan dia. Dia cakap dia setuju.
Hanya abang yang boleh tolong dia sekarang,” ujar Thaleya . Akal mengharap,
hati menolak. Tetapi, akal tetap memujuk agar hati bersetuju.
“Betul ke?” Lirih sekali kedengaran suara Ferhad itu.
Thaleya mengangguk.
“Abang dah kecewa sangat dengan Syakira , Thaleya . Tak tahulah masih
ada lagi atau tak cinta abang pada dia…”
“Abang…” Thaleya pantas menghalang Ferhad terus berkata-kata.
“Thaleya merayu dengan abang, terima Syakira ya? Thaleya tahu Syakira dah kecewakan
abang. Tapi tolonglah… kasihankanlah dia. Thaleya tak sanggup tengok dia
macam tu. Thaleya merayu dengan abang…” Tidak dapat menahan, menitis juga
air mata Thaleya .
Tersentuh hati Ferhad melihat air mata di pipi Thaleya . Thaleya
gadis yang terlalu baik. Tidak sanggup pula rasanya menghampakan gadis
itu. Tetapi, kenapa dia bagai dapat merasakan ada satu maksud yang
tersirat di sebalik titis jernih yang jatuh itu?
“Abang kahwin dengan Syakira . Boleh, kan?” Thaleya bertanya lagi
dengan nada perlahan, hampir-hampir tidak kedengaran.
Lama Ferhad diam merenung sepasang anak mata Thaleya . Sebuah
keikhlasan terpancar di situ. Hatinya jadi sayu tiba-tiba. Lantas, dia
mengangguk perlahan.
Thaleya tersenyum. Memaksa bibir untuk mengukir senyuman
manis, namun yang kelihatan hanyalah hambarnya senyuman itu. “Terima
kasih, abang…” Air mata di pipi disapu. Kemudian, dia berpura-pura
memandang jam tangan. “Thaleya dah lewat ni, nak kena balik dulu. Nanti
Thaleya bagitahu Syakira . Mesti dia happy.” Thaleya bangun. Setelah mengucapkan
terima kasih dan salam sekali lagi, dia segera berpaling dan mengatur
langkah. Laju langkahnya hingga tidak sedar sebuah buku dari tangannya
terjatuh ke atas padang.
“Thaleya !” Ferhad cuba memanggil, tetapi kelibat Thaleya sudah
semakin menjauh membuatkan gadis itu tidak mendengar panggilannya. Dia
menunduk, mencapai buku berkulit hitam itu. Tiada apa-apa yang tertulis
di atas kulitnya. Namun, hati Ferhad bagai meronta-ronta untuk
mengetahui apa isi di dalamnya. Lantas, dengan tangan yang sedikit
ketar, dia menyelak helaian yang pertama.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience