BAB 3

Drama Completed 296

DARI jauh Thaleya sudah nampak kelibat Ferhad sedang menunggu sendiri di
dalam restoran. Dia mempercepatkan langkah. Hujan rintik-rintik sudah
mula jatuh membasahi bumi. Mujur dia sempat masuk ke dalam restoran
sebelum basah disimbah air hujan itu. Langkah diatur menghampiri Ferhad .
“Abang Ferhad …” tegur Thaleya . Dia memanggil lelaki itu dengan
gelaran abang kerana perbezaan umur antara mereka. Walaupun cuma tiga
tahun, Ferhad sendiri selesa menggelarkan dirinya sebagai abang. Thaleya
duduk di depan Ferhad .
“Eh, Thaleya … Syakira mana?” Ferhad melilaukan mata ke sekitar
restoran, mencari-cari Syakira . Walaupun hatinya sudah dapat mengagak,
matanya terus tetap mencari Syakira . Seakan-akan mata dan hati tidak mahu
berkerjasama untuk menerima kenyataan yang sedang terbentang di depan mata.
Sebak hati Thaleya melihat tingkah Ferhad itu. Tidak sampai
hati dia mahu menceritakan hal yang sebenarnya, biarpun yakin Ferhad
sudah dapat mengagak apa yang telah berlaku. “Syakira ada hal malam ni, tak
dapat nak elak. Biar Thaleya teman abang ye? Emm…” Thaleya menggit-gigit
bibirnya, cuba berlagak setenang yang mungkin. “… abang dah order?”
Ferhad menunduk. Melihat reaksi lelaki itu, rasa sayu
menjengah hati Thaleya . Kasihan sungguh lelaki ini. Mengharap pada yang
tak sudi. Tetapi, dia tidak mampu melakukan apa-apa andai cinta lelaki
itu sudah tersemat kukuh untuk Syakira .
“Thaleya tolong orderkan, ye?” Thaleya bersuara lagi. Tidak mahu
rasa sedih membelit suasana antara mereka. Belum sempat dia menggamit
seorang pelayan, suara Ferhad sudah mengalih tumpuannya.
“Itu bukan Syakira ke?”
“Ha?” Thaleya berpaling ke arah yang ditunjukkan. Berderau
darahnya melihat Syakira keluar dari sebuah kereta dengan seorang lelaki.
Siap berpelukan lagi tu! Dalam keadaan hujan dengan payung di tangan,
kedua-duanya tidak segan silu menayangkan aksi-aksi yang ‘menjijikkan’
mata itu.
Ferhad tiba-tiba bangun. Thaleya yang terkejut tidak sempat
menghalang. “Abang!” panggilnya namun Ferhad tidak peduli. Terus
melangkah laju keluar dari restoran itu. Thaleya pula mengikut di
belakang. Sampai di luar restoran, langkahnya terhenti. Namun Ferhad
tetap juga berjalan mendapatkan Syakira , tidak peduli dengan hujan yang
lebat menggila. Thaleya memandang dengan sepasang mata yang berkaca.
“Syakira …” panggil Ferhad . Hampir longlai langkah kakinya
melihat Syakira dan lelaki yang tak dikenali itu saling berpelukan dan
bercumbuan. Dalam hujan pula tu!
Syakira berpaling pada Ferhad . Bulat matanya seketika, tetapi
cepat saja dia mengawalnya.
“Siapa ni, sayang?” tanya Alex, mengeratkan pelukan pada
tubuh Syakira . Tidak peduli apa saja kata orang.
Syakira kembali berpaling pada Alex. “Entahlah, sayang. I tak
kenal…” jawabnya dengan suara yang manja sekali.
“Syakira … sampai hati Syakira . Syakira dah janji nak jumpa abang malam
ni, kan? Tapi kenapa Syakira …”
“Eh, tolong sikit ye? Kau tu siapa nak keluar dengan aku?
Aku tak pandanglah orang macam kau ni!” Angkuh sekali Syakira bersuara.
Ferhad terdiam. Tergores hatinya mendengar kata-kata Syakira
itu. Hina sangatkah dia di mata Syakira ? “Syakira , abang…”
Syakira mengangkat tangan, mengisyaratkan supaya Ferhad diam.
“I have nothing to do with this…” Mukanya jelas menunjukkan riak jijik.
Dia kembali berpaling pada Alex dengan senyuman menggoda. “Jom, honey. I
malaslah nak layan orang macam ni…” Lantas, tangan Alex ditarik supaya
mengikut langkahnya.
Alex yang masih memegang payung di tangan kirinya hanya
mengikut langkah Syakira meninggalkan Ferhad di situ.
Ferhad terduduk di tepi jalan dengan kepala menunduk. Hujan
yang lebat mencurah-curah membasahi dirinya langsung tidak dihiraukan.
Hatinya terluka. Pedih sekali rasanya. Kalau selama ini, dia masih boleh
bertahan sekiranya Syakira menolak dan mempelekehkan dirinya. Tetapi
setelah melihat sendiri apa yang terjadi tadi, luka di hatinya bagai
bertambah-tambah. Kecewa usah dikata. Terasa seperti ada seseorang duduk
di sebelahnya, dia berpaling. Thaleya sedang merenungnya dengan mata yang
berkaca.
“Abang…” panggil Thaleya perlahan. Dia juga tidak peduli jika
basah kuyup sekali pun. Runtun hatinya melihat keadaan Ferhad . Dia boleh
nampak kelukaan melalui sepasang mata lelaki itu.
“Bodoh kan abang? Abang dah tahu Syakira bencikan abang, tapi
abang tetap mengharap jugak. Memang patut pun Syakira benci abang. Siapalah
abang ni, kan?”
Sungguh… hati Thaleya bagai tersayat mendengar kata-kata
Ferhad itu. Kalaulah boleh, dia ingin sekali menjadi penawar pada duka
hati hati Ferhad . Tetapi, dia tahu semua itu mustahil. “Abang jangan
cakap macam tu. Thaleya tak pernah pandang hina pada abang. Cuma Syakira tu
yang buta. Abang…” Rasa sebak yang bertandang menyukarkan Thaleya untuk
bersuara.
Ferhad tersenyum pedih. Rasa hatinya, hanya dia yang tahu.
Penghinaan Syakira tadi bagaikan masih-masih terngiang-ngiang di
telinganya. Dia sedar siapa dirinya. Tidak layak untuk berdampingan
dengan Syakira . Sedalam mana pun cintanya buat gadis itu, dia tahu mereka
tidak mungkin akan bersama. “Tak apalah, Thaleya … abang faham. Abang sedar
siapa diri abang. Abang bukan siapa-siapa di mata Syakira . Thaleya baliklah,
tinggalkan abang kat sini,” pintanya. Kepala ditundukkan.
Thaleya menggeleng-geleng. Tidak sampai hati mahu meninggalkan
Ferhad di situ. “Abang pun baliklah. Kalau abang tak nak balik, biar
Thaleya teman abang kat sini ye? Thaleya tak kisah…” Hampir-hampir tidak
terkeluar ayatnya yang terakhir itu. Allah… kuatkanlah aku, bisik
hatinya penuh syahdu.
Ferhad tersenyum nipis memandang Thaleya . Kemudian, dia
kembali menunduk. “Thaleya aje yang sudi kawan dengan abang…”
Makin tersayat hati Thaleya mendengar sebaris ayat itu. Lebih
teruk, bila dia dapat melihat ada air yang menitis di pipi Ferhad .
Walaupun dalam keadaan hujan, dia masih boleh nampak air itu. Air yang
pastinya jatuh kerana kecewanya sang hati. Dan Thaleya , tidak dapat
menahan diri daripada terus menangis.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience