Bab 5: Private Number

Romance Series 25552

Mayra muncul semula di pejabat setelah hampir seminggu berpergian. Walaupun masih kepenatan, adat makan gaji begitulah. Kerja tetap kerja.

Menjelang maghrib, baru Mayra sampai ke rumahnya. Bukan mudah hidup di kota besar Kuala Lumpur yang jalan rayanya sentiasa sesak.

Tanpa berlengah, Mayra terus membersihkan diri dan seterusnya menunaikan tanggungjawabnya terhadap Yang Maha Esa.

Sesudah itu dia ke dapur untuk menyediakan juadah. Sambil memanaskan gulai ikan tenggiri masak lemak bersama rebung, dia menumiskan sekali sayur kailan yang sudah siap dipotong bersama rencahnya.

"Hmm..sedapnya bau.." komen Mariam sebaik saja memasuki ruang dapur. Serkup kepala disangkutkan ke kerusi dan dia mengelus rambutnya sebelum menyepitnya dengan klip rambut.

Dia yang baru sudah mengaji, tergelak melihat Mayra yang kehulu-kehilir bersama shower cap di kepala.

"Tu dah kenapa shower cap tersangkut kat kepala? Lupa la tu?" Tegurnya. Geli hati pula melihat Mayra yang tekun memasak tapi kepala seolah mahu ke bilik air.

Mayra ikut tergelak sambil mencabut shower cap dari kepalanya.

"Akak saja pakai la mak, taknak rambut bau ikan goreng..hehe.." beritahunya.

Baru saja mereka hendak menjamah makanan, sayup-sayup kedengaran deruman enjin kenderaan dan laungan Salam membuatkan Mariam kalut mencapai serkup kepala lalu bergegas ke depan.

"Nampak gaya macam Hadi tu mak!" Sahut Mayra teruja.
Mariam bergegas ke pintu.

Daun pintu dikuaknya lebar lalu terus keluar. Mayra menguak sedikit langsir ke tepi. Dia melihat emak bersalam dan bercakap-cakap dengan seseorang yang duduk di sebelah pemandu.

Mereka kemudiannya berbalas lambaian dan kereta itu beredar.

"Hadi!! Kenapa balik tak bagitahu?!" Tanya Mayra dalam nada gembira apabila Hadi sudah berada di muka pintu.

Menggebu rasa rindunya sejak adiknya itu duduk berjauhan.

Hadi yang dari awal tadi memeluk si emak, siap diciumnya lagi pipi tua itu penuh kasih.

Mariam menampar lembut lengan Hadi dan serta merta pelukannya terungkai. "Dah, dah..meh kita ke dapur. Langkah kanan Hadi sebab mak dengan kakak baru saja nak makan. Patutlah mak tergerak hati nak masak nasi lebih tadi. Sajalah ingatkan esok nak buat nasi goreng."

Sampai saja di dapur, kembang-kempis hidung Hadi menikmati aroma lazat itu sambil mengusap perutnya yang makin rancak memainkan lagu.

Mayra menceduk nasi siap-siap dalam pinggan dan tuang air minuman ke dalam gelas. Sebaik saja semua sudah duduk di meja makan, tanpa lengah Hadi terus angkat tangan baca doa makan. Selesai membacakan doa, Hadi terus capai sudu yang terletak di dalam mangkuk gulai yang nampak begitu menggoda selera.

"Amboi..tak menyempat-nyempat. Dah tua-tua pun gelojoh," usik Mayra melihatkan tangan Hadi yang tidak berhenti bergerak dari satu lauk ke lauk lain.

"Lama kak tak rasa masakan mak." Balasnya dengan mulut penuh.

Sedang sedap mereka menjamu selera, telefon bimbit Mayra berbunyi. Berlari Mayra sebentar mengambil telefon bimbit di ruang tamu.

"Private number?" Siapa pulak ni?" tanyanya pada diri sendiri. Namun butang hijau ditekannya juga. Kedengaran suara seorang lelaki memberi salam.

"Nak bercakap dengan siapa ya?" tanya Mayra cuak setelah salam lelaki itu disambutnya.

"Kalau nak promote apa-apa pakej atau percutian saya tak minatlah," beritahunya awal-awal lagi supaya tidak membuang masa.

"Oh..I tak promote semua tu. I cuma promote diri I je.." Ada nada ketawa di hujung kata-katanya.

"Gatal, miang, mengada-ngada.." kutuk Mayra lalu memutuskan talian. 'Nak promote diri sendiri konon. Hisy, tak kuasa betul! Mengganggu orang nak makan je!' gerutunya lalu kembali ke meja makan bersama telefon bimbitnya.

Selang beberapa minit, telefon bimbitnya berbunyi lagi, dia sudah hilang sabar lalu menekan butang hijau. "Hei, awak ni tak ada kerja ke? Pergilah kira bulu kucing ke atau cat langit ke..jangan ganggu orang, boleh tak?! Marah Mayra berang.

"Mayra.. Mayra..nanti dulu.."

Mayra tidak jadi mematikan talian apabila terdengar suara memanggil namanya. Dengan reaksi wajah terkejut, telefon bimbit didekatkan semula ke telinganya. "Siapa ni?" tanyanya garang.

Siaplah siapa yang hendak mempermainkannya, akan ditembaknya sedas, dua.

"Wah, garangnya you! Ni, I..Luqman. Ingat lagi tak?" tanya Luqman, cepat-cepat memperkenalkan diri bimbang talian diputuskan lagi.

Mayra tarik nafas terkejut. Biji matanya sudag membulat. Mulut ikut terlopong sama.

Hadi dan Mariam saling berbalas pandangan. Hadi angkat bahu, emaknya juga angkat bahu. Jarang-jarang sekali Mayra bereaksi begitu.

"Err..mana awak dapat nombor telefon saya?"

"Eh, you lupa ke? Kan ke you yang bagi hari tu?" Dakwa Luqman. Pantas saja tangan kirinya menekup mulut menahan gelak.

Senak perutnya membayangkan wajah terkejut Mayra di sana. Hah, ingat dia je tahu kenakan orang!

Tiba-tiba Mayra rasa kulit mukanya berpijar. "Er..er.. ada apa awak telefon ni?" Mayra yang sudah termalu buat-buat tanya.

Malulah dia hendak mengaku yang dia kelentong saja nombor yang diberi itu. Meraban saja dia menyebut angka-angka yang terlintas di fikirannya kala Luqman meminta nombor telefonnya.

"Err..esok tengahari you free ke? I nak ajak you lunch. Sementara I ada di Malaysia, sebab lusa I nak ke Dubai. Cakap je kat mana, i datang ambil you." Pelawa Luqman sambil mengetuk-ngetuk jari ke pehanya. Untung saja adik angkatnya tu rapat sekali dengan Mayra setelah bercuti tempoh hari. Dapatlah dia mengorek sedikit sebanyak maklumat dari adik angkatnya itu.

"Esok?" Mayra buat-buat tanya. Biarpun hatinya cair terhadap Luqman, tetapi akal masih mampu menguasai hati.

"Oh..Terima kasihlah, tapi saya sibuk sangat esok kat ofis. Maklumlah dah dekat seminggu tak masuk ofis." Mayra beralasan.

"Oh.. yeke? Hmm..tak apalah, mungkin lain kali." Luqman menyebunyikan rasa hampanya. Memanglah dia berharap dapat jumpa dengan Mayra tapi tidak ingin dilihat terlalu mendesak.

Dia sudah masak sangat dengan taktik perempuan yang adakalanya suka jual mahal. Kenalah bersabar. Haih.

Mayra mengangkat tangan kanan dan kiri ke dahinya seolah-olah sedang mengesat peluh yang banyak berjejeran di situ sebaik saja menamatkan perbualan.

'Cis! Ini mesti kerja Amir. Pandai-pandai ya bagi nombor orang. Yang Luqman ni pun, dah kenapa gigih sangat? Seramlah macam ni. Dahtu, mesti dia fikir aku kaki kelentong. Bagi nombor entah sapa-sapa entah. Ah pedulik lah!

"Ehem!"

Mayra menoleh..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience