BAB 7

Short Story Completed 324

Senarai nama ahli setiap kelab sudah tertampal di papan kenyataan. Aku berdebar-debar melihat ke senarai ahli di Kelab Sains. Mataku menari-nari membaca satu-persatu nama yang tertera.

“Aufa… Nawal…. Balqis… Iman Kamilah… Muslimah Syamilah… Fatin Nurain… Atiqah Mardhiyah… Nasuha… Hanan Sofiya… Jannah… Nurimanina… Iffah… Intan… Syakira… Summayyah…. Zinnirah… Rafiqah.. Mariyah…” Aku berhenti membaca. Semua nama ahli kelab Sains Tingkatan 3 telah kubaca. Namaku tiada di dalam senarai. Hatiku berasa hampa.

“Ina, ada tak?”Farahani bertanya. Aku menggeleng.Farahani tersenyum gembira. Dia dapat bersama aku tahun ni. Aku pula berasa sedih. Kolam mataku tumpah jua.

“Ina, janganlah macam ni.” Terus mati senyuman di bibir Farahani . Aku tahu dia tak akan gembira melihat kesedihanku. Dia kawan yang memahami.

“Sabarlah…mungkin ada hikmahnya.” Lembut dia memujuk. Aku mengusap air mataku. Bibirku meleretkan senyuman hambar. Tiba-tiba sesuatu melintas di fikiranku.

Ada harapan lagi. Hatiku berbisik.

Aku keluar dari bilik guru dengan mata yang merah. Perasaan malu mencucuk-cucuk hatiku. Rasa mahu disorokkan sahaja muka ini. Malu dengan Ustazah Samerah . Malu dengan Farahani . Malu dengan Ain. Dan yang utamanya malu dengan Allah. Tertamat malu. Bagaimana aku tega bermain dengan cinta dan mengurangkan cinta terhadapNya? Ah, sungguh! Aku berasa sungguh malu.

“Ina, sorry.”Farahani menegurku dengan rasa bersalah. Aku menggeleng. Bukan salahnya.

Tadi, aku memasuki bilik guru dengan satu niat. Memohon kepada Ustazah Samerah selaku guru Matematik agar mengeluarkan namaku dari senarai. Selalunya siapa yang namanya tiada, dia boleh memilih untuk masuk ke mana-mana kelab. Mendengar permintaanku, wajah Ustazah Samerah berubah. Dia tersenyap. Sukar untuk menebak perasaannya. Satu suara pun tidak keluar dari dua bibirnya. Aku mula gelisah.

“Ustazah, tolonglah…” Rayu Farahani . Dia sahabatku yang terbaik. Dia selalu sahaja berada di belakangku menyokong keputusanku. Sayangnya, dia tidak tahu niatku yang sebenar. Ain pula menayangkan muka comelnya dengan mimik yang sedih. Hatiku berdoa…

Ya Allah, tolonglah..

Betapa tidak malunya aku ketika itu. Memohon kepada Allah untuk perkara yang tidak syar’ie. Meminta kepada Allah untuk mencintai selainNya dengan cinta yang tidak halal. Mengharap perkara yang tidak disukaiNya. Kerana niat aku jelas bukan keranaNya. Tetapi kerana seorang lelaki. Shuib .

Ustazah Samerah mengangkat wajah. Redup anak matanya merenung ke dalam anak mataku. Aku serba salah. Wajahku kutundukkan. Serba salah.

“Nursakeena. Kamu marah ustazah? Kamu dah tak nak jadi teman ustazah?” Lembut Ustazah Samerah bertanya. Hatiku bergetar. Pantas aku menggeleng. Kolam mataku hampir pecah. Aku memang tidak tahan dengan soft-spoken macam ni. Terasa ke ustazah yang aku beria-ia nak keluar dari kelab dia?

“Nursakeena, kamu nak keluar ni kerana Allah ke?” Soal guru kesayanganku itu. Aku tersentak. Kepalaku bagai terhentak batu. Aku tersedar. Bukankah selama ini aku ditarbiyah supaya melakukan sesuatu hanya kerana-Nya? Sejak bila aku pandai berbuat sesuatu kerana benda lain?

“Ada cinta yang bertandang dalam hati kamu, Nursakeena.” Bicara Ustazah Samerah membuatkan aku terkejut. Spontan aku mengangkat wajah. Ain danFarahani serentak memandang aku. Wajah mereka penuh tanda tanya. Mungkin pelik aku kalah juga dengan cinta.

“Nursakeena. Dengarlah. Sebaik-baik wanita adalah yang tidak memandang dan tidak dipandang. Hati-hati dik. Pandangan tu zina mata. Allah suruh perempuan beriman menundukkan pandangan dalam surah an-nur ayat 31. Firman Allah s.w.t: Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya…” Ustazah Samerah seperti mengetahui kenakalan mataku. Aku tunduk. Kata-kata Ustazah Samerah benar-benar menyentuh kalbu.

“Siapa lelaki tu?” Ustazah Samerah memandangku.

“Abang Shuib …” Antara dengar dan tidak aku menuturkannya. Ain danFarahani terkejut. Aku terus menunduk malu. Ustazah Samerah tersenyum. Aku tahu Ustazah Samerah kenal. Yalah, ketua pelajar. Siapa tidak kenal. Lagipun, Shuib itu rapat dengan suaminya.

“Dengar sini.” Ustazah Samerah memanggil aku dekat padanya. Aku bersimpuh betul-betul di sebelah kerusinya. Ustazah Samerah turun dari kerusi dan duduk di atas lantai. Aku merasa seperti mahu menangis. Ustazah Samerah sanggup duduk di lantai untuk menasihatiku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience