BAB 3

Romance Completed 353

Dan bayangkan perasaannya bila kau terjaga dan terasa seperti tubuh
dihempap. Kau cuba melawan tindihan, meronta-ronta; cuba menjerit
sekuatnya. Tetapi tidak langsung terkeluar suara. Itu, itulah
perasaannya yang aku rasai ketika isteriku berbisik pengakuannya. Hatiku
dengan penuh amarah memaksa tanganku naik untuk menampar isteriku
seperti yang biasa aku perlakukan.

Tetapi persetan! Kali ini aku langsung tidak mampu mengawal anggota
tubuhku. Semuanya ingkar. Menjerit apatah lagi.

“Abang dengarkan cerita saya. Biarlah abang tahu semuanya sebelum
ditanam hidup-hidup.” Aku terasa menggeletar mendengar ayat itu sampai
di hujung telingaku.

Saya punya keluarga yang bahagia. Ketika abang mencelakakan hidup abang
Naziman, keluarga kami sempurna, kaya raya. Kami dua beradik dengan ibu
dan ayah; rumah banglo di tengah kampung. Semuanya jasa abang Naziman.
Dia kerja keras; menggembleng tenaga, mengerah tulang empat kerat siang
dan malam untuk memberi kemewahan kepada kami. Saya masih di sekolah
menengah ketika pada suatu hari abang Husaini pulang ke rumah dengan
pakaian yang kusam.

Seminggu dibuang kerja. Katanya seorang juruaudit muda menuduhnya
menyelewengkan duit syarikat. Kami terkejut besar.

“Penipu Naziman! Dasar manusia sial pemakan duit haram!” – protesku
dalam hati. Aku hanya berusia 23 tahun ketika diambil bekerja di Bank
Binari selepas tamat pengajian di Australia. Aku seorang juruaudit,
lepasan graduan perakaunan. Naziman, 10 tahun lebih tua daripadaku.
Pengarah urusan cawangan Bank Binari. Beberapa bulan sahaja mengaudit
akaun Bank Binari, aku sudah dapat menghidu aliran kewangan yang aneh
yang setiap daripadanya menuding ke arah Naziman.

Atas dasar integriti, aku membogelkan kegiatan Husaini yang memberikan
pinjaman tanpa syarat kepada beberapa penghutang prolifik sehingga
mengakibatkan kerugian berjuta ringgit kepada pihak bank. Di hadapan
lembaga pengarah, aku dengan tenang berdiri, dan menghuraikan fakta kes
beserta bukti bernombor daripada akaun-akaun yang kuaudit.

Aku menyebut jumlah-jumlah hutang yang diluluskan oleh Naziman, beserta
dengan kontrak yang ditandatanganinya bersama penghutang yang kelihatan
tidak konsisten dengan polisi kontrak bank. Pinjaman yang dilakukan juga
tidak mempunyai kaedah dan jumlah pembayaran balik yang jelas.
Husaini dipanggil masuk, tanpa berjaya mempertahankan dirinya, dia
dipecat. Dengan cara yang paling hina. Aku dinaikkan pangkat, gajiku
diganda dua. Aku tersenyum puas tatkala Husaini memandangku pahit ketika
diusir keluar. Dengan wajahnya yang terpancar kebencian mutlak. Hakiki.

Aku bertemu isteriku, Haeyra beberapa bulan kemudian. Dia melanggar
keretaku dari arah belakang dengan motosikal ketika aku keluar daripada
parkir bank sewaktu habis bekerja.

“Setelah abang Husaini dipecat, hidup kami porak-peranda. Jiran-jiran,
orang kampung mengetahui tentang kesnya dari akhbar. Kami sendiri tidak
percaya sebegitu sekali abang Husaini difitnah.”
Rumah kami dibaling batu, sehingga tingkap pecah. Masjid memberi amaran
melalui khutbah dan ceramah agama jangan berurusniaga dengan keluarga
kami kerana duit kami dari sumber haram.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience