BAB 6

Romance Completed 353

Haeyra menghubungi semua rakan-rakanku dengan tangisan yang
dibuat-buat. Sambil mukanya mencemik memandangku sepanjang perbualan
telefon itu berlangsung. Kadang-kadang lidahnya dijelir kepadaku.Haeyra
kemudiannya memandikan ‘jenazahku’ bersendirian.

Ketika itulah dia membocorkan satu demi satu rahsianya. Aku berdoa,
menyumpah, merayu dan menangis silih berganti di dalam dadaku cuma. Aku
berdoa diberikan semula kekuatan tubuhku, dan supaya tidak akan
diperlakukan dengan lebih dahsyat, menyumpah dan merayu kepada Haeyra
dalam diam, dan menangis mengenangkan ketakutan yang bakal kutempuhi.

“Ya, abang tahu apa yang ingin saya buat sekarang? Tanam abang
hidup-hidup.”Sungguh, tiada apa yang dapat menandingi kegentaran
perasaannya bila merasa tubuh dikafankan, dijiruskan air mawar dan
dititipkan kapur barus. Dan apabila aku disolatkan, sungguh aku merasa
gentar sampai menusuk ke ulu hati. Apabila ‘jenazahku’ diusung ke
kuburan di dalam keranda, cuma Tuhan yang dapat memahami perasaan itu.
Dan bila saatnya aku diusung ke dalam liang lahad, ketika itulah
kegentaran paling dahsyat pernah kualami.

Jika alam ini mampu mendengar jeritan batinku, nescaya akan bergegar
seluruh pelusuk bumi. Akan bergoncang gunung ganang. Akan bergelora
tujuh lautan. Waktu inilah aku terasa bagai hendak gila menjerit di
dalam hati supaya diselamatkan. Dan bersumpah dengan namaku bahawa
Haeyra tidak akan selamat di dunia dan akhirat kerana menkhianatiku.
Sewaktu mereka menurunkanku ke dalam lahad, dapat kudengar esakan
Haeyra yang sengaja dikuatkan.

Mereka membaringkan ku di dalam lahad, menghadapkan mukaku ke arah
kiblat. Lelaki terakhir di dalam kubur membuka ikatan benang di tujuh
sendi badanku, dan menutup tubuhku yang terkujur dengan papan lahad.
Perlahan-lahan mereka mencampakkan tanah, sedikit demi sedikit.
Perlahan-lahan juga cahaya yang kulihat beransur suram, dan suara-suara
yang kudengari menjadi halus, sehingga akhirnya bunyi berdesing yang
tajam menikam gegendang telingaku. Setiap kali dikambus tanah, setiap
kali itulah aku melihat cebisan demi cebisan harapanku turut terkubur
sekali.

Gelap. Gelap yang mencengkam akhirnya telah tiba. Aku telah ditanam
hidup-hidup. Di dalam ruang yang sempit. Ajal bakal menjemputku. Munkar
dan Nakir bakal datang. Persetan, aku malah belum sempat mendengar
talkin yang dibacakan imam. Dan aku sempat berfikir, dalam 6 kaki di
perut bumi, bolehkah lagi aku mendengar bacaan talkin?

Dan buat beberapa lama, aku diserang panik. Tapi sungguh aku tidak
berdaya berbuat apa-apa.Mataku masih melihat kegelapan, kulitku masih
merasa kain kapan. Dan entah semena-mena, aku dapat merasakan kekuatan
menjalar ke dalam badanku. Aku dapat merasa tenaga mengalir dalam
darahku, menuju ke setiap otot dan tulang.

Kakiku menendang-nendang, tanganku menggelepar cuba membebaskan diri
daripada belitan kafan. Aku menjerit sekuat hatiku walau terasa
gelombang bunyi jeritanku diserap tanah. Dan ketika itulah papan lahad
patah, lalu tanah setebal 6 kaki mula menujah turun. Terasa di mukaku
serpihan kayu menoreh luka, meninggalkan selumbar ke dalam kulitku, dan
butir-butir halus tanah menceroboh liang hidung, mulut lalu ke kerongkongku.

Ah sialan. Aku teringat kisah pembunuhan wanita di Amerika Syarikat yang
dirogol dan ditanam hidup-hidup di gurun. Ketika mayatnya dijumpai,
mereka menjumpai butiran pasir di dalam paru-parunya, tanda dia masih
bernafas ketika dikebumikan. Dan aku memikirkan nasibku sendiri. Adakah
ada orang yang akan menggali kuburku dan sekurang-kurangnya mengetahui
bahawa aku sebenarnya dikebumikan hidup-hidup ? Mungkin sekali tidak.

Dan aku teringat anak lelakiku yang mati di dalam rahim Haeyra . Dan
Munkar Nakir. Dan ular sebesar 2 pemeluk. Mati, seribu kali lebih indah
daripada terkurung di tempat sempit dan ditanam hidup-hidup.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience