Rumah Ayub tidak jauh. Hanya setengah kilometer dari tempat tidurnya. Rupa-rupanya, lelaki itu menemuinya ketika sedang bersiar-siar dengan mak ciknya.
“Masuklah.” Mak cik lelaki itu mempersilakan. “Ayub ke mana tadi? Risau mak cik. Tiba-tiba hilang.” Wanita separuh umur itu mendekati Ayub. Ayub tersenyum.
“Minta maaf mak cik. Ayub sembang dengan Husni tu.” Tutur katanya sungguh sopan. Tangan kanannya menunjuk ke arah Mu’az. Mu’az mengangguk sedikit. Segan. Sudahlah badannya berbau hapak. Rambutnya pula kusut-masai tidak bersikat. Wajahnya? Comot dengan kesan tanah dan sisa makanan. Bila agaknya kali terkahir dia ? Tahun lepas? Dia pun dah tak ingat.
“Buatlah macam rumah sendiri, Husni . Saya masuk bilik sekejap. ” Dia menyorong kerusi rodanya ke dalam biliknya di belakang.
“Duduklah dulu, nak.”
Mu’az hanya menganggukkan kepalanya kepada wanita separuh umur itu. Perasaannya sedang bercampur-baur. Kata-kata Ayub. Keadaan Ayub. Semuanya menyentuh hatinya.
Mu’az melabuhkan punggungnya perlahan-lahan di atas kerusi rotan. Tangannya spontan bergerak mencapai buku di bawah meja. Helaian pertama dibuka.
Sekeping gambar terselit di situ. Dia mengambilnya.
Gambar Ayub. Ayub yang sihat. Sempurna. Kalau bukan kerana nama Ayub yang tertulis di situ, mati hidup balik pun dia tak percaya itu ialah Ayub.
Kacaknya dia dalam ni…
Kulitnya putih bersih kemerah-merahan. Matanya biru kelabu. Alisnya lebat keperang-perangan. Hidung mancung. Bibir merah, dengan senyuman yang amat menawan. Rambutnya kemas, ikal berwarna perang.
180 darjah berbeza dari Ayub yang sekarang. Bagai langit dengan bumi. Mata biru kelabunya di kiri sudah hilang sinarnya. Kulit putih kemerah-merahannya kini pucat dan lesu. Bibir merah kelihatan biru. Bibirnya senget, menjadikan senyumannya tidak lagi menarik hati. Rambutnya jarang. Sekejap sahaja nikmat kekacakkan wajahnya ditarik kembali.
Ya Allah, tabahnya dia.
Kalau akulah, mesti aku tidak dapat menerima kenyataan pahit ini. Tapi dia…
Ya Allah…Rupanya ada lagi musibah yang lebih berat dariku. Tiba-tiba dia rasa bersyukur sangat.
Betullah. Kita sepatutnya lihat orang yang lebih susah dari kita. Yang lebih teruk diuji. Barulah kita akan bersyukur. Dan di luar sana, ada beribu-ribu orang yang lebih derita dari Ayub.
Syukur Ya Allah…
Mu’az insaf. Tanpa berlengah lagi, dia terus bangkit menuju ke bilik air.
Aku, bukan lagi seorang yang berputus asa.
Kini aku, seorang yang mengharap rahmat dan kasih sayangNya.
Share this novel