BAB 3

Short Story Completed 195

“Janganlah menutup pintu hati itu. Husni , kita ini hanya hamba. Pengetahuan kita terbatas. Ibarat setitis air di lautan nan luas. Kita tidak tahu apa yang terbaik buat kita. Kadang-kadang kita rasa inilah yang terbaik, tetapi hakikatnya tidak. Tetapi Allah pencipta kita. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Allah berfirman, : ‘Boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagi kamu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.’”

Hatinya sedikit tersentuh.

“Memang kita tidak boleh mengubah apa yang berlaku tapi kita boleh ubah pandangan kita atas apa yang berlaku. Dan itu yang memberi kesan kepada kita. Kita perlu fikirkan berjuta-juta rahmat Allah di sebalik musibah itu. Rasulullah ada bersabda, ‘tidaklah seorang mukmin itu ditimpa musibah tertusuk duri atau lebih dari itu, kecuali dengannya terhapus sebahagian dosanya.’ Rugi orang yang mempersoalkan takdir Allah. JIwanya akan lebih sakit. Cuba Husni fikirkan dari sudut positif. Mungkin Allah nak mempermudahkan Husni ke syurga-Nya. Seorang isteri kepada seorang ulama’ besar pernah cedera pada jarinya hingga terkopek kukunya. Tapi, yang menakjubkan, dia sedikit pun tidak mengaduh malah dia tertawa. Apabila ditanya, dia menjawab dia ketawa kerana terfikirkan pahala yang diganjari Allah kepadanya.” Sambung suara itu lagi dengan lembut.

Dia memegang kepalanya yang mulai pening. Otaknya sedang cuba mencerna bait-bait perkataan yang didengarinya.

“Kadang-kadang, Husni .” Suara itu menambah. “Allah timpakan kita musibah untuk mendekatkan diri kita kepadaNya. Allah rindu tangisan kita, rintihan kita kepadaNya. Kalau Allah tak timpakan kita musibah ini, mungkin kita akan menjadi seorang yang lupa diri, lemas dalam lautan nafsu, tenggelam dalam dunia yang mempesona. Allah berfirman: Dan kami uji mereka dengan nikmat baik-baik dan bencana yang buruk-buruk, agar mereka kembali kepada kebenaran.(Al-A’raf: 168) Dan ingatlah, Husni . Allah ada bersama kita setiap masa. Allah ada. Ingat, Allah itu ada. Tak pernah meninggalkan kita. Allah ada bersama kita.”

Allah ada.

Kata-kata itu menjentikhatinya. Dia tak yakinkah Allah itu ada?

“Ingatlah, ketika ditimpakan musibah ke atas Saidina Abu Bakar ketika berada di dalam gua, iaitu rasa takut kerana diburu Kafir Quraisy, nabi kita memujuk, ‘LA TAHZAN, INNALLAHA MA’ANA.’ Adakah musibah kita, lebih besar dari nikmat Allah bersama kita? Allah bersama kita, Husni ! Walau sebesar manapun musibah yang menimpa kita!”

Dia dapat merasakan getaran pada suara itu. Hatinya semakin tersentuh. Perlahan, di dalam kotak itu, tangannya bergerak menyentuh dada. Allah bersamaku?

“Bukti Allah bersama Husni sudah jelas. Ketika Husni ditimpa musibah, dalam masa yang sama, Allah sedang memberi Husni berjuta-juta nikmat. Nafas yang tak terhitung banyaknya, tidur, penglihatan, pendengaran, bercakap, berjalan, bergerak dan macam-macam lagi. Dan Allah masih lagi beri Husni nikmat, yang tak semua orang dapat. Nikmat Islam, Husni . Islam. Adakah Husni tidak bersyukur dengan nikmat Islam yang Allah beri?”

Ya Allah… Kali ini, dia benar-benar terasa. Air mata mula bergenang di tubir matanya. Menunggu masa untuk melimpah keluar.

Dia tidak sedar selama ini, ketika bibirnya tidak henti mempersoalkan takdir Allah, ketika hatinya bergelumang dengan bermacam-macam sangkaan buruk pada-Nya, namun, Dia masih tetap memberinya nikmat yang tak terhitung banyaknya. Dan dia lupa untuk bersyukur dengan nikmat yang banyak itu. Dia hanya nampak sedikit nikmat yang hilang daripadanya.

“Nabi Ayub a.s, ketika isterinya memintanya untuk memohon pada Allah supaya menyembuhkannya, baginda enggan kerana baginda segan dengan Allah kerana Allah sudah bertahun-tahun memberinya nikmat. Allahu Akbar!”

Kali ini, dia merasakan setitis cecair hangat menyentuh belakang badannya yang hanya disarungi singlet nipis.

Bukan setitis. Setelah setitis itu, jatuh lagi bertitis-titis cecair hangat di atas badannya.

Dan sendu pun kedengaran.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience