BAB 2

Romance Completed 878

“Tok, jom la kita solat terawih kat masjid lama tu, kesian masjid
tu, tak ramai orang. Lagipun dah lama tok tak solat kat masjid kan,
asyik solat kat surau je.” Ajakan Fateha itu hanay dibalas dengan
senyuman dari datuknya, dapat merasakan ada sesuatu di sebalik ajakan itu.

“Atok dah biasa solat kat surau ni je, senang, dekat je dari
rumah, masjid tu jauh, tak sanggup atok nak jalan kaki pergi sana.”

“Ish atok ni, Ain bukan suruh atok jalan kaki, naik kereta Ain
la... boleh la tok,” pujuk Fateha lagi. Dia sendiri tidak mengerti
mengapa hatinya ingin sekali menjejakkan kaki ke masjid itu semula.
Seperti ada sesuatu yang menantinya di situ.

“A’ah, yelah, yelah, nanti malam kita solat terawih kat situ.
Tapi atok pelik ni, kenapa Ain beria sangat nak ke masjid tu?”

Ain tersengih mendengar soalan datuknya, bahunya diangkat tanda
tidak tahu. Hatinya sendiri belum mengerti kenapa dia ingin sekali ke
masjid itu semula.

Beberapa bungkusan makanan yang di bawa dari rumah segera
Fateha aturkan di atas meja di luar masjid itu, memang niatnya mahu
sedekahkan makanan tersebut sebagai moreh.

“Bawak apa tu nak?” soal seorang wanita dalam lingkungan 50-an
tapi masih kelihatan cantik berseri.

“Owh, saya bawak bihun goreng dan puding buah, makcik. Nanti
lepas terawih jemputlah makan.”

“Wah bagusnya. Anak masak sendiri ke?”

Fateha tersenyum. Memang sejak petang tadi dia berusaha
menyiapkan juadah tersebut untuk santapan moreh di masjid itu.

“Pandailah anak memasak ya. Susah nak jumpa perempuan pandai
masak zaman sekarang ni.”

“Tak adalah makcik, sikit-sikit tu bolehlah.”

“Anak ni dari mana?”

“Saya dari Kuala Lumpur makcik, datang sini nak jenguk datuk
saya kat Kampung Rumbia tu, nak rasa sambut awal Ramadhan di kampung.”

“Oh orang Kuala Lumpur rupanya, tapi gaya tak macam orang Kuala
Lumpur pun, sopan je, lemah lembut.” Pujian itu buat Fateha tersipu
malu.

“Anak makcik pun kerja kat Kuala Lumpur, tapi balik kejap bercuti
di kampung. Dia bekerja sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Agama
Islam. Anak kerja apa pula?”

“Saya seorang cikgu, makcik.”

“Oh, patutlah anak ni nampak lain, tak macam orang-orang Kuala
Lumpur yang biasa makcik jumpa.”

“Makcik duduk Kuala Lumpur jugak ke?”

“Ya, makcik duduk dengan anak bujang makcik tu la. Suami makcik
dah tak ada, anak makcik pun seorang saja, makcik balik kampung pun
sebab anak makcik nak jenguk masjid ni, dulu suami makcik ialah imam
masjid ni, jadi anak makcik selalu nak singgah masjid ni , sebab masjid
ni mengingatkan dia pada ayahnya.”

Fateha mengangguk perlahan. Azan Isyak berkumandang saat itu,
membuatkan perbualan itu terhenti setakat itu, Fateha segera
mengambil langkah ke ruang solat untuk menunaikan solat Isyak dan
seterusnya solat Terawih dan Witir.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience