BAB 11

Romance Completed 9175

Pagi raya.

Aku tak dapat menahan air mata dari menitis apabila aku lihat nenda bersungguh-sungguh menyiram pusara arwah ayahku. Nenda tak pernah benci ayahku cuma ketika ayahku meninggal, nenda terlalu terkejut sehingga menyebabkan tekanan darah nenda naik mendadak.

Nenda sendiri kesal kerana tak dapat menghadiri majlis pengkebumian ayahku. Saat bonda memimpin nenda untuk ke pondok yang berdekatan, aku duduk di pusara ayahku. Tanpa dapat ditahan, air mataku menitis laju.

"Abang, jangan menangis macam ni. Juwa tak suka tengok abang menangis," Juwa memeluk bahuku sebelum menggosok lembut bahuku, "Yang dah pergi, akan tetap pergi. Kita kena teruskan hidup. Lagipun tak baik meratap macam ni."

Aku tunduk, menyorokkan air mata yang mengalir di pipi, "Ab... abang rindu..."

Juwa kulihat mengetap bibir, menahan sebak lalu dia peluk bahuku lebih erat, "Juwa tahu. Juwa tahu..."

Aku pegang batu nisan milik ayahku lalu aku gosok permukaan batu nisan itu, perlahan-lahan sambil bibir perlahan membaca surah al-Fatihah. Walaupun sudah hampir lapan tahun ayah pergi, perasaan sayu dan sedih itu pasti akan datang menjengah tanpa mengira waktu dan ketika.

"Dahlah tu, abang! Nenda dah tunggu. Jom," Juwa hulurkan tangannya padaku. Bibirku menguntum senyum lalu huluran tangan Juwa aku capai.

Saat aku berdiri setentang dengannya, Juwa mengesat sisa air mata yang ada di mata dan pipiku sebelum dia tersengih nakal, matanya yang sepet semakin sepet, "Tak hero langsung menangis!"

Aku ketawa sebelum pipi Juwa aku tarik, "Jomlah!"

Sesampai saja kami di pondok tempat nenda berehat tadi, nenda menguntum senyum lalu dia capai tangan Juwa.

"Aik? Tangan Juwa aje nenda tarik?"

Nenda mencebikkan bibirnya, "Kamu pergi manja-manja dengan bonda kamu, Juwa nenda kamu jangan kacau."

Ceh, nenda ni! Juwa nenda konon! Ni Juwa Farislah, nenda! Namun dalam aku merungut dalam hati, bibirku tetap terukir senyum.

"Faris nak balik ke kampung Juwa bila?" Nenda tiba-tiba bertanya.

"Esok petang, insyaAllah. Kenapa nenda?"

Nenda senyum lalu dia pandang Juwa sebelum kembali memandang aku,

"Nenda teringin sangat nak beraya di rumah Ayah Long kamu. Boleh kamu bawa nenda ke rumah Ayah Long kamu? Nenda nak berkenalan juga dengan cucu menantu nenda yang sana. Mana tahu boleh buat geng macam Juwa."

Juwa ketawa, "Nenda nak pergi bila?"

"Petang ni, boleh?" Nenda pandang aku penuh berharap, "Lagipun nenda dah telefon Ayah Long kamu."

Juwa pandang aku meminta jawapan. Aku menganggukkan kepala, "Boleh, nenda. Nak bertolak sekarang pun, boleh."

Nenda ketawa lalu dia bertanya, "Boleh ke?"

Bonda tiba-tiba buat muka,"Tak boleh! Kita balik rumah dulu. Rehat-rehat dulu, bonda tu baru nak sihat. Jangan nak aktif sangat."

Aku dan Juwa ketawa, "Jomlah, kita balik rumah dulu."

Bonda perlahan-lahan memimpin nenda keluar dari perkarangan kubur. Aku dan Juwa jalan beriringan di belakang nenda dan bonda tapi Juwa tiba-tiba pegang tangan aku.

"Kenapa?"

"Allah dah kabulkan doa Juwa."

Aku pandang Juwa, "Apa doa Juwa?"

"Juwa berdoa supaya Allah buka hati nenda untuk Juwa," dia senyum.

Aku membalas senyumannya lalu aku genggam erat tangannya, "Allah juga dah makbulkan doa abang."

"Apa doa abang?" Juwa pandang aku.

Aku tarik tangannya supaya berjalan bersama denganku sebelum aku memeluk bahunya, "Abang berdoa Allah bukakan hati nenda untuk terima hubungan kita, untuk terima Juwa dan..."

"Dan...?"

"Dan semoga Juwa terus tersenyum macam sekarang."

Juwa ketawa, gembiira, "InsyaAllah, senyuman ini akan terus mekar bila Juwa dengan abang. Abang kan pengukir senyuman Juwa."

Senyuman aku melebar. Kalau abang ini pengukir senyuman Juwa, Juwa adalah bahagia abang. Abang cuma akan bahagia bila abang dengan Juwa dan keluarga kita. Terima kasih Juwa kerana buka hati Juwa untuk abang, terima kasih juga kerana masih mahu maafkan segala kesalahan abang pada Juwa, I love you, Juwa... to the infinity and beyond dan terima kasih kerana sudi menemani abang sepanjang perjalanan di dunia ini InshaAllah, semoga berkekalan hingga ke akhirat dengan izin dan redha Allah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience