BAB 3

Romance Completed 9175

"Faris, nanti temankan bonda ke pasar ya? Petang ni bonda nak buat nasi kerabu."

Aku mengangguk lalu aku pandang bonda yang sedang menyusun bunga di dalam pasu, "Bonda..."

"Ya?"

"Apa yang Faris patut buat supaya nenda boleh terima Juwa?"

Bonda tersenyum tawar, "Hati nenda tu keras. Kalau hubungan bonda dan ayah kamu pun masih dia persoalkan sampai sekarang, inikan pula hubungan kamu. Ayah Faris pernah nak ceraikan bonda kerana dia tak nak nenda terus menekan bonda tentang hubungan kami tapi dia tak lakukan kerana kasih sayang kami kuat. Bonda tak tahu nak nasihat Faris macam mana sebab hubungan bonda dan ayah juga masih tidak mendapat restu nenda. Bonda cuma boleh pesan kepada kamu untuk tidak berputus asa. Walau apa pun jadi, jangan pernah lepaskan Juwa dan teruskan berdoa kepada Tuhan supaya hubungan kamu direstui nenda nanti."

"Nenda tak suka ayah?" Spontan aku bertanya pada bonda.

"Entahlah, Faris. Bonda pun tak tahu."

Aku mengeluh. Mungkin nenda memang tak suka pada ayah. Kalau tidak, masakan ketika ayahku meninggal, nenda tak hadir. Kerasnya hati seorang Tengku Mustika rupanya...

"Bonda, nanti beli ikan siakap tu ya? Faris teringin nak makan masak tiga rasa," aku tersenyum bila bonda menggeleng.

"Semuanya Faris teringin. Faris mengandung ke apa?" Bonda melangkah meninggalkan aku.

Aku pula terkaku. Keras di tempatku berdiri. Mengandung? Takkanlah Juwa... Tak sempat aku nak habiskan ayat di dalam mindaku, telefon bimbitku berlagu di dalam poket seluar jeans. Saat aku melihat skrin telefon bimbitku, bibirku menguntum senyum. Juwa! Panjang umur!

"Hello? Assalamualaikum!" Aku hulurkan salam dengan nada paling ceria yang aku pernah bagi.

"Abang!" Suara Juwa yang kuat mengejutkan aku. Aik, bagi suara ceria pun kena marah ke?

"Abang...! Abang kat mana?! Nenda, bang... Nenda! Tolong!" Suara Juwa yang resah, kelam-kabut dan aku dapat dengar esakkan Juwa.

"Kenapa ni? Nenda halau Juwa keluar rumah ke?" Aku bersuara, serius! Kalau betul nenda buat macam tu, memang melampau!

"Bu.. bukan... nenda tak halau Juwa."

"Dah, kenapa menangis ni?"

"Nenda... nenda jatuh tangga. Darah banyak. Juwa takut!" Ya Allah! Nenda! "Juwa kat mana ni?"

"Dekat hospital. Juwa telefon ambulans. Abang... datang sini, Juwa takut..." dan esakan Juwa makin kuat.

"Tunggu situ! I'll be there!"

Ketika aku sampai, semua orang sudah ada di situ. Bonda bingkas mendapatkan nenda yang kepalanya berbalut. Macam mana nenda boleh jatuh ni?

"Faris, aku nak cakap dengan kau!" Luqman, membuat isyarat mata kepada pintu bilik nenda.

"Jomlah!" Aku melangkah mendahuluinya keluar dari bilik nenda.

Kami mengambil tempat di bangku di luar bilik nenda, "Kenapa?"

"Macam ni... bukan niat aku nak menuduh tapi semua orang pun berpendapat yang sama."

"Apa kau cuba cakap ni?" Aku jungkit kening.

"Tadi waktu kau pergi pasar dengan bonda kau, siapa yang tinggal kat rumah? Aku tahu orang lain dah keluar. Jadi siapa yang tinggal?"

"Nenda dengan Juwa dan bibik. Apa kau nak sampaikan dekat aku ni?"

Luqman ku lihat hela nafas panjang sebelum menepuk bahuku, "Aku dengan yang lain bukan nak tuduh tapi kami syak Juwa tolak nenda. Tak mungkin nenda boleh terjatuh tangga, Faris. Nenda tu manusia paling kuat dalam keluarga kita."

Aku tersentak, "Kau jangan cakap bukan-bukan. Setiap apa kau cakap tu, kalau salah dah jadi fitnah, Luqman."

Luqman hela nafas, "Betul tapi kau fikir sendirilah. Tak mungkin nenda boleh jatuh dengan kuat, melainkan ada yang menolak."

Aku tersandar di kerusi. Luqman mencekak bahu aku, kejap sebelum bangun meninggalkan aku. Tak mungkin Juwa buat macam tu. Tapi... ada kemungkinan juga Juwa yang buat tapi kenapa? Takkan sebab tak tahan dibebel nenda? Ya Allah, Faris! Jangan mudah terpengaruh dengan cakap-cakap orang!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience