PERMATA BELLAMY

Fantasy Series 949

(Di satu planet yang tidak diketahui keberadaannya)

Satu alat seperti jam yang berada di pergelangan tangan satu makhluk aneh mengeluarkan suara.

"Komander! Ada pencerobohan! Permata Bellamy telah hilang! Komander!"

Di dalam kapal angkasa yang berada di Bima Sakti kedengaran bunyi siren yang amat nyaring menandakan sesuatu berlaku. Anak kapal semuanya berlari dalam keadaan kelam-kabut. Di dalam ruangan kapal makhluk aneh yang memakai sut perang dan bertopeng sedang ligat mencari punca siren dibunyikan.

Sebahagian dari mereka meneliti satu monitor yang agak besar dan mencari jika ada sesuatu yang aneh di berlaku. Ketua mereka yang sedang duduk di kerusi di tengah-tengah pesawat hanya memandang monitor di hadapannya. Dua titik di skrin monitor membuatkannya bangun.

"Kejar mereka dan rampas semula Permata Bellamy! Musnahkan sesiapa yang menghalang! Perang antara galaksi akan bermula! Grothen akan musnah! Hantar askar terbaik Insecto ke Grothen!"

Komander menjerit nyaring. Kaum Insecto yang berada di dalam kapal menyahut arahan ketua mereka dengan bangga.

Empat makhluk Insecto mengadap komander mereka yang sedang murka. Mereka melutut dan memberi hormat.

"Pergi ke Grothen! Rampas semula Permata Bellamy dari mereka! Jika perlu, bunuh sahaja yang cuba mengingkari arahan kamu! Pergi!"

"Baik!!"

Komander memberi arahan kepada 4 anak buah terhebat mereka. Dari cermin kapal dapat dilihat sebuah planet yang seolah-olah mati sedang terapung-apung di dalam galaksi yang kosong tanpa bintang atau bulan mahupun matahari.

*****************
(Di atas bukit kampung Suguna)

"Aduh.... Sakit kepala aku.. Zeno.. Kau okay tak?"

Rina yang sedang mengosok kepala melihat keadaan sekeliling. Zeno bangun perlahan-lahan dan membetulkan urat belikatnya yang seakan terbelit.

Keadaan kawasan tempat terhempas mereka hancur. Hujung bukit telah runtuh ke dalam laut. Di sekitar mereka rumput dan pokok hilang sama sekali. Hanya kelihatan tanah merah berbatu yang muncul. Sebarang tanda hidup tidak dikesan lagi. Hangus terbakar keseluruhannya.

"Aku okay je. Kau tak apa-apa ke?"

Rina cuba mengingati apa yang berlaku sebentar tadi. Tiba-tiba, matanya terbuntang.

"Argh!!!!!"

Zeno yang baru sahaja bangun segera berpaling membelakangi Rina dengan menjelmakan kuasa lohongnya di tangan. Menanti ketibaan musuh.

"Kenapa? Kenapa?" Zeno masih meneliti kawasan di sekitarnya.

"Permata Bellamy... Permata tu dah tak ada!"

Rina menunjukkan tangannya yang kosong. Zeno mulai mencari permata yang sangat berharga itu.

"Cari cepat! Kalau jatuh ke tangan orang jahat, habislah kita!" Arah Rina cemas.

"Aku tahu! Tapi macammana boleh hilang dalam sekelip mata? Ataupun...."

Zeno berdiri tegak dan berfikir sesuatu. Tangan di dagu. Kedua-dua kening bercantum. Otaknya ligat berpusing memikirkan kejadian ini.

Dia tunduk dan menyapu lembut tanah yang sudah botak kerana hentakan kuasa pelindung Rina yang terhempas tadi. Dia mengesel kedua-dua jarinya dan merenung serbuk halus yang berterbangan.

"Sebelum tu, aku nak tanya. Apa yang kau fikirkan semasa kita hampir terhempas sebentar tadi?"

Pertanyaan dari Zeno membuatkan Rina berkerut. Dia pula meletakkan tangan di dagu dan berfikir.

"Aku rasa aku terfikirkan benda yang boleh menyelamatkan kita jika terhempas. Aku seru kuasa matahari aku supaya hapuskan halangan yang berada di hadapan kita. Itupun secara tidak sedar. Aku tak sengaja. Nanti! Adakah ini...."

Rina seolah-olah sedar sesuatu yang membuatkan dirinya serba salah.

'Ya Rina! Kau dah hancurkan kawasan sekeliling, manusia yang kita langgar dan juga permata Bellamy! Apa yang dah kau buat Rina?"

Zeno menatap tajam wajah kembarnya. Aura kehitaman mengalir keluar dari badan tanpa sekatan. Rina terjelepuk di tanah. Dia tergamam.

Permata Bellamy yang merupakan punca kuasa negara mereka telah hancur. Kini semua manusia di seluruh dunia akan tahu siapa mereka yang sebenarnya. Air mata mulai mengalir.

"Apa yang aku dah buat....? Apa yang aku dah buat...? Mereka akan tahu siapa kita yang sebenarnya..." Esakan kedengaran dari Rina dengan air mata yang hampir meleleh keluar.

Zeno memerhatikan kembarnya dengan teliti. Dia pula berkerut dahi.

"Sekejap! Kalau betul permata Bellamy dah hancur, kenapa kita masih menyerupai manusia? Bukankah kalau permata itu sudah tak berfungsi, kita akan kembali ke jasad asal kita?"

Rina terdiam. Dia meraba sesuatu di kepala dan belakangnya.

"Tak ada ekor dan telinga. Taring pun tak ada."

Senyuman terukir di bibir. Air mata dilap laju. Dia bangun dan memegang kedua-dua lengan Zeno. Dia merenung Zeno dengan mata bulatnya.

"Ini bermakna.... Permata Bellamy masih ada. Tetapi dalam keadaan berbeza. Permata masih ada! Kita kena cari permata tu walaupun ianya sudah berkecai. Aku rasa kita dapat kesan kuasa permata itu jika kita fokus. Kau dah bersedia untuk galas tugas ini Zeno?"

Rina membaca sesuatu dan muncul satu kuasa pengesan di tangannya yang berbentuk bulatan.

"Memang itu tugas kita sejak dulu. Kalau aku cakap aku taknak, kau mesti paksa juga. Nak ke taknak sama je situasinya." Keluh Zeno lemah.

Dia mengekori Rina dari belakang. Mata mereka tertumpu pada kuasa pengesan di tapak tangan Rina. Empat tanda kecil kelihatan walaupun sukar dilihat.

"Permata Bellamy masih ada!"

"Aku cuma kesian pada manusia yang terkorban disebabkan kelalaian kita. Kesian... Kesian.." Luah Zeno sambil berpeluk tubuh. Rina hanya menjeling tajam.

(POV Ian Raykarl)

Aku membuka mata dan melihat sesuatu bergerak di tapak tangan. Aku menghentak tangan di tanah apabila lipan berjalan di tapak tanganku.

Aku cuba bangun dan mengingati apa yang telah berlaku. Suara haiwan kedengaran nyaring di seluruh kawasan. Bukit tinggi yang tidak pernah ku lihat sebelum ini tersergam indah dengan kehijauan yang seperti tidak pernah terusik oleh makhluk luar. Dahi yang luka dilap darahnya.

"Kat mana aku ni? Bukan ke aku dengan kawan-kawan aku tadi? Mana mereka?"

Kali pertama aku dibiarkan sendirian tanpa peneman di dalam dunia asing. Aku meneliti jam di tangan. Jam yang rosak membuatkan aku resah.

Tiba-tiba, satu dentuman di langit mengejutkan aku. Hati tidak tenteram. Aku berlari meninggalkan tempat yang aku berdiri.

Kawasan berbukit itu aku redah dan cuba mencari jejak yang betul. Langkah diperhatikan dan penuh berhati-hati. Gaung dan cerun bukit yang curam mendebarkan hatiku. Tersilap langkah maut menjemput. Aku mesti mencari kawan-kawan aku yang lain.

(POV Kenchi)

"Hutan mana ni? Macammana aku boleh ada kat sini? Bukan ke tadi aku ada atas bukit? Gelapnya..."

Aku sudah berjalan selama sepuluh minit selepas kejadian meteor terhempas. Aku sendiri buntu mencari jalan keluar. Dimana dan bagaimana aku boleh berada disini juga masih menjadi pertanyaan. Yang paling penting, keberadaan Kuga. Kuga mesti selamat.

"Kuga! Kau kat mana?"

Setiap kali aku memanggil nama 'kawan baikku' ada suara lain yang menyahut. Cuba mengalihkan perhatian aku ke arah lain. Seram sejuk mulai menyelubungi diri. Seolah-olah aku diperhatikan oleh sesuatu yang ghaib.

Aku masih berjalan sambil mencari. Aku berharap aku dapat keluar dari hutan tebal ini dengan selamat. Satu dentuman di langit membuatkan kaki aku berlari laju. Mata-mata yang memerhati mengekori pergerakanku dengan kelajuan kilat.

(POV DZOOPY)

"Air! Air! Yeah!!" suasana malam sedikit cerah dek bulan mengambang terang.

Air laut aku siram di badan. Air yang sangat aku rindui. Tiada apa yang dapat menggantikan air laut yang sudah menjadi darah dagingku sendiri. Rumah keduaku. Tetapi bagaimana aku boleh berada disini menjadi persoalan. Yang paling penting sekarang kawan-kawan aku.

"Mana mereka ni? Dah lama aku tunggu kat sini. Mereka tak datang pun. Aku kena tinggal ke? Takkanlah... Mereka tak sudi berkawan dengan aku ke...? Hoi kawan-kawan!! Aku tahu aku pelik! Tapi jangan sebab aku macam ni kau nak pulaukan aku! Hoi geng! Baliklah sini!"

Aku cuba menjerit sekuat hati. Aku berharap mereka mendengarnya. Aku menenggelamkan diri di dalam air laut. Sangat nyaman. Rasa tenang di seluruh badan.

Satu cahaya dan dentuman kuat di langit Grothen mengejutkan hatiku yang ketika itu mendongak ke atas.

"Apa tu? Kilat dan guruh ke? Takkan nak hujan? Bintang ada lagi. Awan gelap tak ada pun."

(POV ISKANDAR)

Sejak tadi aku diekori oleh seekor kala jengking yang sekecil tapak tangan. Kala jengking yang aku tidak kenali.

"Pergi jauh-jauh! Jangan datang dekat. Kalau tak, aku bunuh kau!"

Aku hunuskan pedang pada haiwan kecil itu. Namun, tiada reaksi.

Memang aku sudah menjangka perkara ini. Aku tak sangka aku menjadi sebodoh ini dengan bergaduh dengan kala jengking. Aku mengeluh berat. Kawasan pasir gurun itu seakan-akan lautan berpasir. Tiada satu pun pokok yang kelihatan. Apatah lagi manusia dan bangunan tinggi.

"Aku berada di Arab ke? Tapi tak mungkin. Aku kenal tanah arab. Ini bukan tanah tandus biasa. Seperti ada sesuatu yang menjaga tempat ini. Apa aku nak buat ni? Sejak tadi, tiada seorang manusia pun aku jumpa. Penjaga aku pun hilang entah kemana. Apa aku nak makan ni?"

Kaki yang melangkah masih tiada tanda-tanda untuk berhenti. Aku mesti berjalan untuk menyelamatkan diri. Bagaimana itu aku tidak pasti. Yang pasti jangan berhenti berharap.

Satu pancaran cahaya dan guruh kuat kedengaran di atas kepalaku. Sesuatu sedang menghampiri orbit bumi. Aku dapat rasakan aura membunuh yang lain dari yang lain.

"Aku kena selamatkan diri. Kau pun sama!"

Kala jengking kecil itu ku angkat dan diletakkan di bahu dan berlari pergi.

(Di tempat lain)

"Zeno! Mereka dah sampai! Kita kena cepat! Kalau mereka tahu permata Bellamy dah pecah, mereka mesti mencarinya dahulu."

Rina dan Zeno berlari dengan kelajuan pantas sambil memerhatikan keadaan sekeliling jika terlihat kelibat seseorang yang dicari mereka.

"Permata Bellamy bergerak lagi. Nampaknya sangkaan kita betul. Permata Bellamy masih ada." Zeno meneliti kuasa pengesan Rina.

"Aku harap sangat kita sempat ambil balik permata tu. Kalau tak, negara Grothen akan musnah lagi sekali. Sejarah mungkin berulang kembali." Jawab Rina resah.

Kelajuan bertambah dengan kerisauan di wajah masing-masing.

(Bersambung)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience