Malam itu, suasana agak riuh rendah dengan kedatangan budak-budak dirumah pak Man, ayah Syafiqah. Pak Man bercadang ingin mengajar mengaji secara percuma demi mengisi masa lapang yang terluang.
Tak disangka, begitu ramai sekali yang datang mengaji sehingga pak Man tak mampu untuk mengajar seorang diri lalu dibantu oleh Syafiqah. Tanpa disedari, ada sepasang mata yang memerhatikan Syafiqah. Ternyata kedatangan mak Jah pada malam itu bukan sekadar untuk menghantar cucunya mengaji, namun ingin menatap Syafiqah juga.
Bukanlah kekurangan yang ada pada Syafiqah menarik perhatiannya melainkan penampilan Syafiqah yang mencuri tumpuannya. Terlintas difikirannya ingin menjodohkan Syafiqah dengan anak terunanya yang jauh lebih berusia.
Anak terunanya seorang penagih. Mungkin dengan kehadiran Syafiqah sebagai isteri kepada anaknya mampu merubah sikap anak lelakinya itu. Mak Jah melihat Syafiqah seorang yang lemah lembut, pandai mengaji, dan sentiasa berbaju kurung seperti gadis melayu terakhir. Mak Jah berkenan dengan Syafiqah.
Sejak melihat Syafiqah, mak Jah sering ke rumah pak Man untuk memberi buah-buahan atau lauk-pauk sebagai tanda untuk merisik Syafiqah. Tanpa mengesyaki apa-apa, ibu Syafiqah menerima sahaja segala pemberian yang diberi oleh mak Jah dengan senang hati.
Namun segala apa yang terbuku dihati mak Jah sudah tidak dapat dipendam lagi. Dia harus menyuarakan niat dihatinya itu. "Ita, mak Jah berkenan betul dengan anak dara kau Syafiqah tu, sudi tak mak Jah nak bermenantukan dia untuk anak mak Jah si Sudin tu?,"
Terkejut mak Ita dengan permintaan mak Jah. "Ya Allah mak Jah, anak saya tu kecik lagi," Tidak tergamak mak Ita memenuhi hasrat mak Jah. Membayangkan Syafiqah baru sahaja berusia lima belas tahun. "Anak perempuan mak Jah umur enam belas dah kahwin, lagipun tak susah nak jaga Sudin tu, jaga makan minum dia je, lebihnya mak Jah boleh uruskan,"
Bersungguh-sungguh mak Jah memujuk mak Ita. Sekali lagi mak Ita menggelengkan kepala. Sangat mustahil! Perkahwinan tidak akan berlaku ketika anaknya masih diusia remaja. Syafiqah masih terlalu mentah untuk mengerti alam perkahwinan. Bagaimana sanggup mak Ita ingin menyerah bulat begitu sahaja anak perempuannya kepada orang lain. Mak Ita tidak sanggup.
Apatah lagi hendak bermenantukan Sudin. Beza usia pun sudah hampir dua puluh tahun dan semua orang kenal Sudin seorang penagih dadah. Apa kerana Syafiqah ini kurang upaya, melayakkan si Sudin itu memperisterikan Syafiqah, begitu? "minta maaflah mak Jah, anak saya ni masak pun tak berapa pandai lagi mak Jah. Dia kecik lagi mak Jah," sekali lagi mak Ita menolak.
Petang itu mak Jah pulang dengan hampa. Sejak dari kejadian itu, mak Jah tidak pernah lagi memberi apa-apa kepada keluarga pak Man. Perkara tersebut diceritakan kepada Syafiqah. Teringat kejadian tahun lepas, Syafiqah pernah dirisik oleh jirannya sendiri. Ianya berlaku lagi tahun ini. Semuanya ditolak begitu sahaja oleh ibu bapa Syafiqah.
Salam, kebanyakan kisah ini adalah kisah benar dan ada sedikit yang iqa tambah adalah dari imaginasi iqa sendiri. Selamat membaca. Harap korang enjoy dengan penulisan iqa. Jangan lupa support untuk iqa teruskan lebih banyak cerita yang menarik. Terima kasih.
Share this novel