BAB 3

Humor Completed 5118

Sarah berlari-lari anak menuruni tangga. Mama yang mahu berlalu ke dapur, melihat tingkah laku Sarah yang kelam kabut itu dengan kerutan di dahi. Sarah membuka almari kasut, dan mula memunggah kasut-kasut yang ada. Mama menggeleng kepala.

“Nak ke mana Sarah. Kelam kabut aje mama tengok.” Sarah memandang Mama sekilas, lalu terus menyarung kasut yang telah dijumpainya.

“Zahir tunggu Sarah dekat Taman Rekreasi depan sana tu.” Jawab Sarah laju.

“Ha kalau pun dia tunggu yang kelam kabut sampai berlari turun tangga kenapa? Kalau jatuh macam mana?” Mama mula menegur, tidak suka apabila ada sahaja hal berkaitan Zahir Sarah mesti lupa perkara lain sampai keselamatan diri tak dijaga.

“Ala mama, adik dah lambat. Adik pergi kejap ye. Bye mama, Assalamualaikukum.” Laung Sarah apabila mula kelam kabut masuk ke dalam kereta dan kemudian terus memecut pergi. Mama hanya mampu tergeleng sendiri. Apalah yang ada pada Zahir sampai ‘angau’ anaknya teruk sangat jadinya? Mama bersoal sendiri.

“Hai Zahir!” Sarah melaung apabila terlihat kelibat Zahir sedang duduk di kerusi taman. Zahir serta merta bangun dan mengalih tubuhnya memandang Sarah yang sedang berlari-lari anak ke arahnya. Zahir melambai-lambaikan tangan.

“A’ah…” Suara Zahir perlahan apabila Sarah sudah terpacak di hadapannya dengan senyuman melebar, namun senyuman itu mati tatkala Sarah terpandang gadis bertubuh genit di sebelah Zahir. Cantik! Getus hati Sarah.

“Siapa ni Zahir?” Soal Sarah, Zahir berubah riak. Resah semacam!

“Er… A’ah… Zahir ada perkara nak bagitau dekat A’ah. Tapi…” Zahir berusaha mencari ayat. Sarah sudah mencerut muka.

“Tapi apa?” Sarah tidak sabar. Hatinya sudah berdetak kuat.

“A’ah… ni Umairah. Tunang Zahir. Kami dah 6 bulan bertunang, dua bulan lagi kami akan bernikah.” Sarah terpana. Jantungnya bagai berhenti berdegup. Kakinya serta merta mengundur ke belakang, setapak demi setapak.

“A’ah… dengar dulu.” Zahir merapatkan kembali kedudukan. Sarah menekup kedua belah telinganya dan menggeleng laju.

“Zahir dah janji dengan A’ah… tapi kenapa?!” Ujar Sarah dengan suara menahan tangis.

“Saya tak boleh terima awak A’ah…” Kata-kata Zahir bagai belati, melibas hati Sarah hingga berdarah.

“Tapi kenapa… kenapa tak cakap dari dulu? Kenapa sekarang… Zahir, jangan buat A’ah macam ni…” Sarah mula merayu-rayu. Umairah hanya memandang dengan sepi, tiada riak tiada emosi.

“A’ah… dulu Zahir main-main aje, A’ah yang ambil serius hal tu.”

“Zahir!” Sarah mula meledak marah. Main-main? Soal kahwin dikatakan main-main. Soal hati perasaan bukan mainan!

“Betul A’ah… Zahir cakap betul. Zahir minta maaf.” Sarah mula berlinang air mata.

“A’ah…” Zahir memanggil lagi.

“Saya akan buat apa saja yang awak nak Zahir, please jangan tinggalkan saya.” Ketika Sarah cuba memaut lengan Zahir, Zahir melarikan tubuhnya. Tangan Umairah dicapai Zahir dan terus mahu berlalu.

“Awak tak mampu untuk memenuhi apa yang saya nak A’ah. Dari dulu saya dah cakap dekat awak tapi awak ingat saya bergurau.” Ujar Zahir senafas lalu terus berlalu meninggalkan Sarah yang sudah lencun wajahnya.

“Zahir…” Suara Sarah dengan lemah beserta tangisan yang kian menjadi-jadi. Terjelepok dia jatuh di hadapan kerusi kayu itu. Ingatannya melayang mengimbas kenangan dia dan Zahir dibangku sekolah.

“A’ah suka Zahir.” Sarah yang bertocang satu menunduk wajah, malu memandang abang sepupunya yang tika itu berada di tingkatan 5 dan dia pula tingkatan 3. Kawan-kawan Zahir sudah ketawa besar.

“A’ah ni… kenapa tiba-tiba cakap macam tu? Kita kan sepupu.” Zahir cuba mengawal keadaan yang mula bising dan Sarah yang mula berwajah merah, malu diketawakan oleh rakan-rakannya.

“Suraya nak confess dekat Zahir petang ni, jadi Sarah nak confess dulu sebelum dia confess dengan Zahir.” Zahir ternganga dengan kejujuran Sarah. Makin kuat ketawa kawan-kawan Zahir dek kata-kata Sarah tadi.

“Wei Sarah. Suraya dengan Zahir memang couple la, nak confess mende!” Mail kawan Zahir menyampuk. Zahir menyiku pinggang Mail sehingga dia mengaduh sakit.

“Betul ke Zahir?” Sarah terus memandang tepat pada wajah Zahir meminta kepastian. Zahir mengeluh dan kemudian mengangguk perlahan. Mata Sarah mula berkaca-kaca, kalau dikerdip pasti mula melimpah.

“Kenapa Suraya?” Sarah menyoal lagi. Zahir mengetap bibir dan hanya menggeleng perlahan. Tidak mahu memberi jawapan.

“Sarah, Sarah… jawapan dia, kau pergi depan cermin dan tengok sendiri.” Lukman pula menyampuk. Sinis sekali kata-kata itu, biarpun mereka ketawa bagaikan ianya satu gurauan.

“Lukman, kau diam lah.” Zahir meninggi suara. Sarah yang mula berjalan ke cermin besar di tepi tangga sekolah diekorinya. Sarah sudah membelek-belek dirinya dihadapan cermin, sesekali tubuhnya dipusing kiri dan kanan.

“A’ah lupa? Masa kita sekolah rendah A’ah pernah confess jugak masa tu, ingat tak?” Zahir mula bersuara setelah beberapa ketika dia membiarkan Sarah membelek dirinya dihadapan cermin.

“Ingat tapi…” Sarah memandang Zahir yang berdiri di sebelahnya sambil memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam poket seluar.

“Masa tu Zahir dah bagitau dekat Sarahkan ciri-ciri gadis idaman Zahir…” Sarah memandang Zahir sambil mencari jawapan, mengingati kembali waktu itu.

“Tinggi dan kurus?” Ujar Sarah apabila dia mula mengingati kata-kata Zahir semasa mereka berada disekolah rendah. Zahir mengangguk perlahan dengan senyuman, diundur langkah dan kemudian mula memanjat tangga. Sarah terkebil-kebil di situ. Pandangannya kembali terarah ke arah cermin. Pipi yang tembam dipegangnya, sesekali digerakkan kepalanya menunduk, terlihatkan lemak dibawah dagunya.

“Gemuk ke aku?” Soal Sarah kepada dirinya sendiri.

Sarah menangis semahu-mahunya. Kakinya ditarik rapat ke dada, kepala disembam ke lutut.

Kenapa dia terlalu bodoh untuk memahami semua itu? Kenapa sekarang baru dia sedar?

Cintanya pada Zahir seawal 10 tahun, gara-gara Zahir menjadi heronya apabila coklat pemberian Along dicuri oleh kawan Zahir sendiri. Sejak hari itu, dia memuja dan mencinta Zahir sepenuh jiwanya.

“A’ah kuruskanlah badan. Nanti Zahir masuk meminang A’ah.” Masih terngiang-ngiang kata-kata itu pada hari lahir Sarah yang ke-23 tiga bulan lalu. Kata-kata itu membuatkan tangisan Sarah kian lebat dan membawa jiwa Sarah terbang jauh entah ke mana. Oh Tuhan, hebat benar ujian hati yang Kau berikan ini….

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience