Hati Lan mulai berdebar melihat kesan-kesan darah yang kelihatan pada lantai dan dinding. Bulu roma di belakang tengkuknya mulai meremang. Dicapainya kayu besbol yang disangku di dinding sebagai senjata. Dibimbanginya kalau-kalau ada penceroboh yang tidak diundang.
Mula-mula dijejakinya kawasan dapur. Tempat dimana punca bau yang tidak disenanginya datang.
“Huh! Apa yang berlaku ni?” jeritnya sebaik melihat sesusuk tubuh wanita membongkok dengan bahagian badan menempek diatas dapur. Bahagian pipi kanannya tertekap pada tempat memasak. Mukanya dan rambutnya separuh rentung hingga menampakkan tengkorak. Bola mata kanannya pecah dan cairan berwarna kekuningan membeku diatas dapur dan lantai. Bahagian otak tersembul keluar melalui rongga mata. Darah beku yang ada di bahagian mata menjadi kehitaman. Mungkin kerana kepala tersebut terlalu lama terpanggang. Bau daging hangit memenuhi seluruh ruangan dapur. Tidak tahu berapa lama mayat tersebut telah terbakar mukanya.
Lan menutup hidung untuk memeriksa kawasan sekitar. Peluh jantan mulai menitis pada dahinya. Dia merasa ada kelibat ghaib yang mengekori belakangnya dari tadi. Tidak nampak pada masa kasar. Sesekali dia melaung nama-nama yang dikenalinya. Ilham dan Yakob. Kalau hendak melarikan diri pun, biarlah dia bersama rakan-rakannya itu. Dia tidak menyangka yang Alex akan bertindak sekejam itu.
Titisan darah sepanjang laluan ke ruang tamu membawa Lan ke bilik mandi berhampiran dapur. Kesan darah membanjiri lantai dan sinki. Sebaik menyelak langsir plastik yang menutup bahagian ‘bathtub’, sekujur tubuh wanita dengan mata terbeliak dan leher dikelar terbaring digenangi air berdarah. Seolah-olah dia sedang mandi dengan darahnya sendiri. Tangan kanan mayat tersebut longlai dan berpaut pada tepian ‘bathtub’. Bau hanyir darah membuatkan Lan hampir-hampir muntah. “Musibah apa ni?” Soalnya sendirian.
Ketakutan yang dirasakan sekarang bukan lagi biasa-biasa. Seumur hidupnya belum pernah dia setakut ini. Hampir-hampir juga dia terkencing tadi sebaik dia mendengar bunyi air menderum. Rupa-rupanya dia tertekan punat “flush”pada tandas. Lan mulai berlari mencari kawan-kawannya yang masih hilang.
Share this novel