BAB 3

Family Completed 1749

Di situlah dia dan Masiron, seorang anak keturunan jawa pernah berlanyau lumpur ketika musim mengeringkan sawah, ketika kelongsong padi muda sudah kencang berisi susu.

Mereka berdua tidak mahu melepaskan peluang menggagau sepat, haruan dan puyu. Mereka berdua akan merendamkan diri menyusuri alur tali air dengan hanya kelihatan kepala dan bahu.

Mereka kelihatan seperti sepasang memerang yang sedang meranduk di celahan rumpun padi sambil menghirup wanginya aroma rerumpun padi yang tumbuh segar merimbun.

Batang dan tangkai padi yang sudah mula melentuk melindungi tubuh mereka dari panahan cahaya matahari.

Di sawah itu juga tempatnya bersama Masiron, Demak dan beberapa orang kanak-kanak lagi pernah menangkap katak di tepian batas sawah untuk mengunjun induk haruan.

Bila tiba musim menuai dia dan Rahmat serta Demak akan menyerbu lopak-lopak air sawah untuk menangkap keli dan haruan yang bersaiz L dan XL.

Mereka bertiga akan bertempiaran lari bila salah seorang dari mereka menjerit bila terpegang ular air.

Di waktu malam, jika mandi tidak bersih ditenyeh sabun, tubuh mereka akan berbau hapak lumpur.

Kini semuanya tinggal kenangan. Rahmat dan adiknya Demak sudah berhijrah ke Kuala Lumpur, meninggalkan kampung halaman dan rakan-rakan yang setia meneruskan kelangsungan hidup.

Seperti pemuda pemudi yang lain mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk bekerja di kota raya.

Malah Mesir juga pernah meninggalkan kampung untuk sama-sama merasai nikmat hidup di kota.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience