BAB 1

Horror & Thriller Completed 995

Langit makin gelap. Awan hitam sudah berkumpul. Sesekali, angin petang bertiup kencang. Sebentar lagi pasti hujan akan turun membasahi bumi. Ismail mempercepatkan langkah menuju ke arah kubur Pak Daud. Di tangannya ada sebuah cangkul. Dia tidak mahu melengah-lengahkan masa.

Baru dua hari Pak Daud dikebumikan. Pak Daud merupakan seorang dukun yang terkenal di Kampung Teluk Empang. Dia mati akibat sakit tua. Menurut cerita orang-orang lama, Pak Daud ada membela hantu raya.

Entah benar entah tidak, Ismail tidak pasti. Apa yang dia tahu, Pak Daud ada memiliki kuasa kebal. Dan menurut cerita orang-orang kampung, semasa Pak Daud meninggal dunia, cincin pusaka yang dipakai di jari manisnya tidak boleh ditanggalkan.

Sudah banyak kali mereka mencuba, tetapi tetap tidak berjaya. Kerana cincin pusaka itulah Ismail berada di tanah perkuburan itu. Dia menginginkan cincin itu supaya badannya menjadi kebal dan kuat.

Ismail mendongak ke atas langit. Langit semakin hitam pekat. Ismail tidak mengendahkan semua itu. Dia pantas mencapai cangkul lalu menggali kubur Pak Daud dengan laju. Sesekali, matanya melingas ke kiri dan ke kanan. Bimbang juga andai ada orang yang datang ke situ.

Tanah perkuburan itu terletak agak jauh di hujung kampung. Jadi, tidak mungkin ada yang berani datang jika tidak ada urusan melibatkan kematian.

Setelah hampir sepertiga tanah digali, tiba-tiba dia terdengar suara seseorang. Cepat-cepat dia menoleh ke belakang. Namun tiada sesiapa di situ.

"Ismail...tolong aku Ismail! Lepaskan aku Ismail!" Suara itu berbisik halus di telinganya. Tiba-tiba bulu romanya meremang. Seram sejuk tubuhnya saat itu.

Ismail meneruskan kerjanya. Apabila cangkulnya sudah mengenai papan keranda, dia berhenti sekejap. Hampir separuh mati dia menggali kubur yang sedalam tujuh kaki itu seorang diri. Gara-gara cincin pusaka Pak Daud, dia rela melakukan kerja gila itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience