BAB 11

Romance Completed 4805

Dari jauh lagi, kami berdua sudah dapat mengesan keberadaan Firash yang sedang asyik berdua-duaan dengan seorang gadis di sebuah restoran di Taman Saujana. Chloe Ariani memang tahu di mana Firash sering berada kerana lelaki itu gemar makan Tom Yam Campur di restoran itu. Pokok kata memang dia hantu Tom Yam.

“Awak tunggu kejap, ya. Saya nak call dia dulu. Saya nak dengar, apa pula dia kata kali ini. Helah macam mana agaknya dia nak buat untuk mengaburi mata saya. Kejap tau!”

Chloe Ariani segera turun dari kereta dan terus membuat panggilan. Tidak berapa lama selepas itu, dia sibuk bercakap dengan Firash. Aku hanya mendengar sahaja perbualannya itu. Kali ini, suaranya terlalu jelas dan terang. Tidak tersangkut-sangkut lagi. Mana taknya, dia buka pembesar suara supaya aku turut mendengar suara lelaki itu.

“Hello sayang. You kat mana ni? I rindu tau nak jumpa you. Jom kita keluar kejap lagi,” ucap Chloe Ariani penuh manja. Aku hanya tersenyum-senyum melihat tingkahnya itu di sebelah.

“Oh sayang, tak bolehlah. Sekarang ni I ada appointment dengan client ni. Esok sajalah kita jumpa ya. I janji dengan you ya, sayang. I promise! Esok kita jumpa.” Pandai benar Firash mencipta alasan supaya tidak dihidu pergerakkannya.

“Betul ke ni?” soal Chloe Ariani lagi.

“Betul, sayang. I memang ada kerja sekarang. I pun dah rindu sangat nak jumpa dengan you. Tak sabar nak tatap wajah cantik you tu. Rindu sangat tau.”

Berbakul-bakul alasan yang direka oleh Firash. Chloe Ariani hanya bersabar dan terus sabar melayan kerenah tunangnya itu.

“Erm, kalau macam tu tak apalah. I tunggu esoj aje ok. Jangan mungkir janji tau.”

“Ok, sayang. I janji. Bye, sayang. Muahhh.”

“Bye!” Chloe Ariani pantas mematikan talian sebaik usai berkata-kata. Wajahnya kelihatan tegang kali ini. Aku faham gelodak perasaan yang dia alami sekarang. Siapalah yang dapat menerima hakikat bahawa tunang yang kita cintai tega berlaku curang di belakang kita dalam diam. Aku tahu perasaan Chloe Ariani.

“Ok, jom Reyl. Ikut saya sekarang. Saya ada hutang nak kena bayar ni. Awak ikut sekali, ya,” pintanya lantas menuju ke restoran yang dikunjungi oleh ramai orang itu. Berdebar juga hati aku kerana ramai sangat orang makan di situ. Atas dasar cinta, aku atur juga langkah mengekorinya dari belakang.

Chloe Ariani terus menuju ke tempat Firash dan gadis seksi itu makan.

“Asssalamualaikum, Firash,” sapanya sebagai pembuka bicara apabila tiba di meja yang menempatkan Firash dan buah hatinya itu.

Firash pantas berpaling saat namanya dipanggil oleh seseorang. Dia seakan tergamam melihat kehadiran Chloe Ariani yang tidak diduga sama sekali. Aku pula berdiri di sebelah Chloe Ariani, selaku bodyguard tidak berbayar. Manalah tahu kalau berlaku apa-apa kat gadis kesayangan aku ini. Sekurang-kurangnya aku ada untuk jadi pelindung.

“Macam mana you boleh ada kat sini? You buat apa ni?” soalnya sedikit gugup.

“Sebenarnya I pun tengah ada appointments dengan client kat sini, macam you juga. Tak salahkan I duduk sekali. Reyl duduklah kata sebelah I ni,” pelawa Chloe Ariani dengan riak selamba. Dia benar-benar tekad untuk mengenakan Firash kali ini. Firash tidak terkata apa dan masih membisu seakan terpaku.

Gadis yang berada di sisi Firash pula hanya diam dan tunduk sahaja ke bawah. Barangkali takut dengan kehadiran Chloe Ariani yang datang secara mengejut itu. Tidak berani dia mengangkat muka walaupun sedikit.

“So, camna dengan appointment you tadi. Dah tamat ke? Senyap aje tak ada suara pun,” sindir Chloe Ariani lagi.

“I harap, you tak salah sangka dengan semua ni, sayang. Perempuan ni sebenarnya sepupu I. Dia hanya temankan I makan ni sebab lepas ni I nak hantar dia kat airport. You percayalah cakap I ni. Please, honey!” tambah Firash begitu yakin.

“Oh, sepupu. I ingat buah hati you.” Chloe Ariani tersenyum kelat.

“Betul, sayang. Dia memang sepupu I.”

“Untuk pengetahuan you, Encik Firash, I dah tahu semua pasal kecurangan you selama ni kat belakang I. You nak I tunjukkan bukti ke kat you? You berani?” Suara Chloe Ariani kian meninggi sehingga pelanggan yang makan di situ menoleh ke arah kami berempat. Aku tidak kisah semua itu asalkan Chloe Ariani puas untuk mengenakan Firash.

“Bukti apa yang you ada untuk kaitkan I dengan semua berita palsu ni, sayang. I tak takutlah.” Api kemarahan Firash pun kian meledak. Mukanya sudah berapi-api macam naga Tasik Chini.

“Ok, I akan tunjukkan buktinya. Nanti dulu!” Chloe Ariani berpaling ke arahku sebelum menyambung semula bicaranya tadi.

“Sayang, mana video tu. Bagi kat I kejap. I nak tunjukkan kat buaya darat ni biar dia percaya cakap I ni,” pintanya padaku.

Aku segera menyerahkan telefon bimbitku kepadanya apabila diminta berbuat begitu.

“Nah, ini dia buktinya,” ujar Chloe Ariani apabila video rakaman yang memaparkan aksi mesra mereka berdua di Starbuck Coffee suatu masa dahulu terlayar di atas skrin.

Aku melihat Firash tercengang sambil mengelap peluh jantan yang mulai memercik di dahinya. Dia seakan tergamam dan tidak mampu lagi bersuara sebagai perisai untuk melindungi diri dari andaian Chloe Ariani padanya.

“So, camna puas hati tak dengan bukti I ni. Atau you ada alasan lain yang lebih bernas untuk tolak semua bukti ni?” jerkah Chloe Ariani kuat.

“I…I…” Tergagap-gagap Firash untuk bersuara.

“Terima kasih atas segalanya, Firash sebab sanggup nodai kesetiaan cinta I kat you. Terima kasih banyak-banyak. Dan untuk saat ini bersaksikan semua yang ada di sini, I akan putuskan pertunangan kita sampai di sini saja. Nah, ambil semula cincin tunang you ni. I tak rela pakai lagi. Ambil!”

Chloe Ariani menyerahkan semula cincin tunang yang menjadi kebanggaannya selama ini kepada Firash. Wajah Firash lesu sahaja tidak bermaya. Dia tidak mampu untuk berkata apa-apa lagi. Aku benar-benar meluat melihat muka jantan keparat ini. Mahu sahaja aku tumbuk muka dia saat ini juga. Geram!

“I harap lepas ni you bahagia dengan kekasih you ni, ya. Tapi sebelum I pergi dari hidup you, I nak tengok puas-puas dulu muka gadis pujaan you ni. Hei pompuan, cuba kau angkat sikit muka kau tu. Kenapa asyik tunduk saja. Tahu pun malu sekarang. Oh degil, ya.”

Chloe Ariani terus bangun dan mengangkat wajah gadis itu yang masih lagi menunduk bagaikan patung tidak bernyawa. Sebaik wajah itu terdongak ke atas, alangkah terperanjatnya aku apabila mendapati gadis itu adalah Esha, rakan kuliahku.

“Ya Allah, Esha. Apa awak buat kat sini, hah?” soal Chloe Ariani bertubi-tubi.

“Maafkan saya, Cik Chloe. Sayalah kekasih Firash sebenarnya,” terang Esha tersekat-sekat. Dia tunduk sahaja ke bawah kerana terlampau malu dengan sikapnya itu.

“Oh, ini rupanya kerja awak selama ini. Patutlah assignment yang saya bagi asyik tak siap-siap aje. Rupa-rupanya, ini kerja yang awak cuba maksudkan kat saya dulu, ya. Awak dah tahukan saya ni tunang Firash. Kenapa sibuk lagi nak kacau hak orang, hah? Manusia jenis apa awak ni?” Chloe Ariani sudah memekik-mekik seperi orang tidak siuman.

“Sudahlah Cik Chloe. Biarkan pompuan tak guna ni terus hanyut dengan playboy keparat macam lelaki ni. Jom kita balik!” Kalau tidak ada aku di sisi, sudah pasti berlaku perkara yang tidak elok nanti.

Aku pantas menarik tangan Chloe Ariani agar beredar dari tempat itu. Biarkan sahaja mereka berdua menghabiskan masa bersama-sama. Aku tidak mahu dia terus dihimpit rasa sedih dan kecewa atas sikap curang tunangnya itu. Aku akan sentiasa ada di sisinya untuk menjadi pelindung baginya jika ada yang berani menyakitkan hati dia lagi. Aku berjanji.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience