BAB 9

Romance Completed 4805

Seminggu selepas kejadian itu, aku jarang bertemu dengan Chloe Ariani. Kuliahnya juga aku tidak hadiri kerana aku malu untuk bertemu dia. Terasa tebal muka ini menatap wajahnya walau sesaat. Aku tahu, sampai ke saat ini dia masih membenci aku gara-gara kejadian tempoh hari. Aku benar-benar menyesal atas keterlanjuran kata-kataku sehingga menyentuh hati wanitanya.

Apabila Azmer bertanyakan hal itu padaku, aku hanya mampu terdiam tanpa mengulas sedikit pun. Aku sudah terjerat dalam perangkap yang aku bina sendiri. Malu juga kerana tersilap dalam mengatur gerak. Akhirnya, aku yang malu dengan Chloe Ariani.

“Kau ni Reyl dah masuk seminggu berkurung kat dalam bilik macam orang tak siuman. Sampai bila kau nak hukum diri macam ni. Jangan kerana Cik Chloe Ariani, kau jadi begini. Banyak lagi cara yang kau boleh buat selain berkurung macam orang gila. Kuliah pun kau tak pergi. Semua pensyarah dah sibuk tanya pasal kau. Cik Chloe Ariani pun ada juga tanya tentang kau tau. Risau sangat aku tengok dia fikirkan hal kau.”

Penjelasan Azmer yang kedengaran menarik itu seakan memanggil aku dalam diam. Apabila mendengar sebaris nama itu membuatkan aku menjadi resah tidak menentu. Nama yang cukup sinonim dalam hidup aku. Walaupun dia sudah membenci aku, namun dalam hati ini tidak pernah luput nama dia dalam ingatan. Biarlah masa yang menentukan segala-galanya. Aku meletakkan harapan hanya pada-Nya.

“Kau dengar tak aku cakap ni? Dah pekak agaknya budak ni?” Berkali-kali Azmer bertanyakan perkara yang sama hampir setiap hari namun aku tetap begitu. Seolah-olah sudah lumpuh seluruh tubuh aku untuk bergerak bebas di muka bumi ini.

Aku tetap membisu tanpa riak. Aku hanya melontarkan pandangan jauh ke luar jendela, memerhatikan sekawan camar yang terbang riang di ruang angkasa. Alangkah bahagianya hidup burung-burung itu. Terbang bebas menikmati keindahan alam. Tidak seperti aku yang telah kehilangan kedua-dua belah sayap. Mana mungkin aku dapat terbang semula seperti sediakala.

“Aku tahu kau faham serta mengerti apa yang aku cakapkan ni. Tapi kau sengaja pura-pura tak dengar dan tak nak cakap, kan. Jangan seksa diri sendiri dengan masalah orang lain. Dia kat sana bahagia, kau kat sini yang merana pula.”

Azmer masih belum puas berusaha. Selagi aku membisu, selagi itu dia tetap memujuk. Kasihan pula aku melihat keprihatinan dia pada aku. Terima kasih Azmer kerana memahami masalah aku. Aku terharu melihat pengorbanannya yang tidak berbelah bahagi.

“Sebenarnya…” Kata-kata aku cuma terhenti di situ sahaja.

“Ha, boleh pun bercakap. Aku ingat dah bisu tadi. Baguslah Reyl kalau kau dah boleh cakap. Senang sikit hati aku tengok. Sudah-sudahlah buat benda bodoh macam ni. Kau kena tabah dan kuat hadapi semua ni. Ini semua pasal Cik Chloe, kan,” duga Azmer lagi.

“Eh, macam mana kau boleh tahu ni? Bila masa pula aku beritahu kau?” soalku agak hairan. Selama berkurung di dalam bilik hampir tujuh hari, tidak pernah pula aku khabarkan berita sedih ini kepadanya. Dari mana pula dia dapat tahu.

“Siapa yang bagitahu kat kau?”

Azmer hanya tersengih apabila aku bertanya.

“Kalau aku cakap mesti kau tak percaya, kan.”

“Kenapa pula? Apa maksud kau ni?” Aku bertambah pelik mendengar kata-katanya.

“Sebenarnya, Cik Chloe yang cakap kat aku semalam. Dia kata, dia minta maaf atas semua perkara yang terjadi. Dia tak ada niat nak sakitkan hati kau. Cuma dia terlalu sayangkan tunang dia dan tak sanggup dengar cerita buruk pasal tunangnya. Dia betul-betul minta maaf sebab dia tak boleh terima cerita kau dan lebih mempercayai tunang dia berbanding kau. Dia harap, kau mengerti perasaan dia.”

Panjang lebar Azmer menceritakan hal Chloe Ariani padaku. Aku berasa lega sekarang kerana dia tidak memarahi aku lagi atas kejadian yang berlaku. Cuma, aku masih terkilan sebab Chloe Ariani tetap mempertahankan kejujuran tunang dia itu. Tidak nampakkah dia akan kecurangan yang cuba diselindungkan oleh lelaki keparat itu.

“Kau nak aku tolong kau tak? Aku sedia jadi orang tengah.” Tiba-tiba Azmer menawarkan bantuan.

“Nak tolong macam mana, Mer. Nasi dah jadi bubur nak buat apa lagi. Aku pun dah patah hati untuk mengejar cinta dia tu. Biarkanlah dia bahagia dengan tunang tersayang. Aku tak boleh halang kebahagiaan dia.” Lemah sahaja aku berkata-kata.

“Wei, janganlah cepat sangat putus asa. Zayrel yang aku kenal bukannya macam ni tau. Aku tahu, kau ni jenis lelaki yang tak mudah patah semangat untuk mempertahankan cinta suci kau. Aku boleh tolong kau pujuk Cik Chloe. Itu pun kalau kau masih anggap aku ni kawan baik kau.”

“Ish apalah kau ni cakap gitu pula. Dah tentulah kau tu kawan baik aku sampai bila-bila. Betul ke kau nak tolong aku ni. Tapi dengan cara apa?” tanyaku tidak sabar.

“Aku ada satu rancangan baik. Aku sure dia mesti kalah kali ni. Percayalah cakap aku.” Azmer pantas membisikkan sesuatu di telingaku. Rancangannya itu aku dengar baik-baik dan dalam masa yang sama aku turut bersetuju dengan cadangannya itu asalkan tidak timbul hura-hara di kemudian hari.

“Okey tak plan aku ni?” Azmer menagih jawapan dari mulutku.

“Terbaik, Mer.” Aku mengangkat ibu jari ke atas sebagai tanda menyenangi rancangan bernasnya itu. Tidak sangka, kawan baik aku ini geliga juga otaknya.

“Aku pergi dulu tau. Kau tunggu saja sampai aku balik. Bye!” Azmer terus berlalu pergi selepas menetapkan janji denganku.

Dalam hati aku sekarang, hanya Allah sahaja yang tahu betapa risaunya aku menantikan reaksi Chloe Ariani akan perkhabaran ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience