BAB 5

Drama Completed 450

Terpanggil dengan rasa ingin tahu, dia menjenguk ke belakang pokok
itu.
"Mil." Laju nama itu meluncur dari bibirnya.
Miliyani yang pada awalnya mahu mengelak dari berhadapan dengan
Zarith hanya mampu menggigit bibir. Sia-sia usahanya menyorok. Alih-alih
Zarith tetap berjaya mengesannya. Ada radarkah lelaki itu.
"Hi, Zack!" Miliyani menyapa walau kedengaran canggung. Berkerut
dahi Zarith melihat Miliyani yang kelihatan tidak tentu arah.
Zarith mendekatkan wajahnya dengan wajah gadis itu hingga dalam diam
menambah kalut di hati Miliyani . Namun Miliyani sedaya upaya mengeraskan
wajahnya sedang jantungnya benar-benar menggila. Kalau tiada otot yang
memegang jantungnya saat itu, pasti jantungnya telah lama melompat
keluar dari tubuhnya.
"Kau kena dump ke?" Soalan Zarith dengan nada serius membuat
Miliyani tersentap. Anak matanya yang sejak dari tadi cuba dilarikan
kembali tepat memanah anak mata Zarith . Kedua-duanya terpegun di situ.
Dunia sekeliling seolah-olah hanya berputar mengelilingi mereka.

"Okay, fine! Mahu gila aku kalau macam ni terus!" Miliyani menggosok
dadanya yang masih lagi tersa debarnya. "Hai... Macam mana aku boleh
syok dengan si ngok tu pula..." Miliyani masih terus bermonolog.
Dia teringat kejadian tengah hari tadi dimana dia menolak tubuh sasa
Zarith sekuat tenaga sebelum berlari meninggalkan lelaki itu tanpa
sekalipun berpaling lagi.
Kepalanya digosok kasar hingga rambutnya menjadi kusut masai. Bagai
cacing kepanasan dia terus mundar-mandir di bilik itu. Hatinya resah
sekali. Dia sama sekali tidak menyangka yang dia akan jatuh suka pada
kawan baiknya sendiri.
Dia harus luahkan perasaannya. Dia bisa mati lemas dalam rindunya
sendiri jika dia terus berahsia. Tapi, bagaimana jika perasaannya ini
bakal merosakkan persahabatan mereka sejak sekian lama? Oh, tidak! Dia
tidak mampu bayangkan jika Zarith mula mengelak darinya. Tapi, bukankah
Firdaus sudahpun memberitahu bahawa Zarith juga suka padanya. Ah! Itu
katanya! Bukan Zarith !
Miliyani menghempaskan tubuh kecil moleknya ke atas katil.
"Serabut. Serabut." Dia berbisik pada dirinya sendiri.

Puas dia berkalih posisi. Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri, sekejap
meniarap, sekejap telentang, namun matanya masih lagi cerah. Zarith
mencapai telefon bimbitnya. Dia merenung wajah Miliyani yang ceria.
Gambar gadis itu sememangnya sentiasa menghiasi wallpaper Nokianya.
"Kau betul-betul buat hidup aku jadi kacau." Desah Zarith seolah-olah
mengucapkannya sendiri pada gadis manis itu.
Seketika, skrin telefonnya memaparkan gambar bapanya. Segera dia
menekan butang hijau telefon bimbitnya.
"Hah! Tak tidur lagi anak mama?" Suara lembut Puan Rohaya hinggap di
cuping telinganya.
"Belum lagi, ma... Tak mengantuk lagi." Jawab Zarith . 'Ni sebab kau
aku tak boleh tidur, Mil.' Bisik hati Zarith .
Terdengar tawa halus ibunya. "Mentang-mentanglah sekarang ni Zack
tinggal seorang, suka-suka dia berjaga sampai pagi."
"Awal lagilah, ma." Pangkah Zarith . Diberi peluang tinggal seorang
diri tidak bermakna dia akan mengambil kesempatan atas kepercayaan ibu
bapanya.
"Papa mana?" Soal Zarith .
"Papa kamu, biasalah... Dekat bilik bacaan lagi." Di hujung talian
kedengaran bunyi pintu ditutup. "Hah! Masuk pun. Ingat papa kamu tu dah
tertidur dekat sana." Suara Puan Rohaya kedengaran agak kuat diikuti
bunyi ketawa bapanya, Encik Zamani.
"Hello, Zack." Kali ini suara garau bapanya menampar pendengarannya.
"Ya, pa." Jawabnya sopan.
"Zack dah selesai semua urusan dekat sana?" Zarith mengeluh. Dah mula
dah... Kalaulah boleh, dia enggan pergi dari sini. Dari sisi Miliyani .
"Boleh tak papa bagi masa lagi?" Walaupun dia tahu permintaannya
tidak akan tertunai, namun dia masih meminta.
Terdengar helaan nafas Encik Zamani. "Kalau papa, memang papa takkan
desak Zack. Tapi, Zack dah tangguh seminggu pendaftaran Zack dekat
Harvard. Bukan senang papa nak dapatkan tempat untuk Zack dekat sana.
Takkan Zack nak tangguh lagi. Seminggu tu pun, Harvard dah kira bagi
muka dekat Zack. Buatnya diorang tarik balik tawaran tu, menyesal tak
sudah, Zack." Panjang lebar bapanya berceramah.
Zack kelu. Kalaulah kali ini dia terpisah lagi dari Miliyani ,
mungkinkah perhubungan mereka akan terputus lagi seperti dahulu hingga
benar-benar menyeksa batinnya. Terpisah tanpa rela. Terpisah tanpa
sempat meluahkan perasaannya yang telah lama terpendam.
"Ada apa-apa ke yang ikat Zack dekat sana?" Soal bapanya curiga.
"Tak... Tak ada, pa." Pantas Zack menafikan. Bukan dia tidak kenal
sikap bapanya yang betul-betul mementingkan pelajaran. Kalaulah bapanya
tahu alasannya menangguhkan pendaftaran kerana perempuan, entah apa yang
akan dikatakan bapanya itu.
"Baguslah kalau macam tu. Okay lah Zack. Pergilah rehat tu. Papa pun
nak tidur dah ni." Selesai berbalas salam talian diputuskan. Zack
mengeluh lagi. Sanggupkah dia meninggalkan Miliyani sedang rasa cinta
kuat mencengkam hati.

"Hi, Zack!" Miliyani menampar kuat bahu Zack. Dia tekad tidak mahu
bermain dengan perasaannya sendiri. Menjaga perhubungan persahabatan
yang sedia ada lebih penting.
Zack menyeringai menahan pedih pada kulit belakangnya. Berkerut
dahinya memandang Miliyani . Gadis itu hanya tersenyum seperti biasa.
Tanpa mengetahui tekad Miliyani , dia sendiri telah bertekad untuk
membiarkan Miliyani bahagia dengan Firdaus.
Tidak ada perlunya bagi dia mengganggu hubungan mereka. Biarlah dia
seorang menanggung pedih dan membawa lara ke bumi asing.
"Mil, aku ada benda sikit nak cakap." Serius nada suara Zarith
membuat dada Miliyani berdebar kencang.
Kedua-duanya melabuhkan punggung di bawah pohon rendang di tepi
padang. Agak lama juga sunyi menghimpit mereka.
"Aku nak pergi overseas lusa." Berderau darah Miliyani mendengarnya.
Matanya membulat memandang Zarith . Berguraukah lelaki itu. Dia cuba
membaca riak di wajah kacak itu.
"Apa kau cakap ni? Kau baru balik dekat sini." Ujar Miliyani . Sebak
sudah mula bertandang mengenangkan Zarith yang bakal pergi jauh darinya.
Tekadnya semakin goyah.
"Macam yang aku cakap sebelum ni. Aku datang sini cari kau, Mil.
Sekarang aku kena pergi semula." Zarith memandang wajah Miliyani .
Tersentak dia melihat ada air jernih di tubir mata gadis itu namun
pantas diseka.
"Mil..." Lembut suaranya menyeru nama gadis itu. Matanya memandang
redup wajah gadis itu yang kelihatan memerah sedikit. Zarith lega
sedikit. Sekurang-kurangnya ada juga tempat baginya di hati gadis itu
hingga kesedihan menghambat gadis itu saat menerima khabar pemergiannya.
Itupun dah cukup. Bisik hatinya.
"Aku harap kau happy dengan Firdaus." Kata-kata Firdaus terus
mengunci bibir Miliyani . Zarith bingkas bangun. "Jom, masuk kelas." Dia
segera berpaling. Dia tidak mahu Miliyani mengesan duka yang bertakung
dalam matanya.
'Aku sayangkan kau, Zack! Bukan Firdaus.' Kata-kata itu hanya mampu
dijerit dalam hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience