BAB 10

Romance Completed 5188

SATU jam aku menahan rasa malu yang tiba-tiba mengetuk pintu hati aku. Mujurlah hari ini kuliah Calculus cuma satu jam. Jika dua jam, masak jugalah aku hendak bertahan duduk di dalam kelas itu mengadap muka pensyarah baru itu.

“Fina, tipu kalau tak apa?” soal pensyarah muda itu sewaktu aku tergopoh-gapah menyelitkan diri di antara pelajar kelasku yang mahu keluar daripada kelas tersebut.

Aku terus terdiam di tempat aku berdiri tadi. Betul-betul di hadapan pintu kelas kami. Nak tengok kembali wajah pensyarah baru tu rasanya macam tak lalu. Tapi aku paksa diriku menoleh ke arah meja pensyarah di hadapan kelas tersebut.

“Apa dia sir?” soalku sengaja buat-buat tidak dengar. Sudah aku katakan sebelum ini aku tidak punya masalah pendengaran sama sekali.

“Saya tanya, tipu kalau tak yang awak tulis dalam lukisan awak tadi tu, apa maksudnya,” tenang sahaja suara itu menampar gegendang telingaku.

Derap kaki pensyarah muda itu semakin dekat menghampiri. Aku jadi tak keruan tiba-tiba. Rasanya mahu sahaja aku dendangkan lagu Tak Keruan nyanyian Zamani dan Zarina saat itu.

Saratnya bebanan asmara

Beratnya menepis gelora

Semua relaku terima

Andainya inilah cinta

“Ah, tak ada apa tu. Saya memang suka buat benda merepek macam tu sir,” ujarku selamba menutup kegelisahan hati. Beg silang yang tersangkut di bahu aku betulkan letaknya. Ku bawa beg itu ke hadapan. Tali beg itu ku pegang erat. Menutup debaran dada yang semakin tidak dapat ditahan.

“Tipu kalau awak tak cinta dekat saya ke?” soal pensyarah muda itu tiba-tiba.

Nah. Macam sebijik bom atom jatuh dekat hati aku saat ini. Memang gila soalan cepu emas pensyarah muda bernama Syafrin ini. Aku nak jawab pun kena fikir seribu kali. Sebenarnya memang aku rindu sikit dekat ikan dugong ataupun lelaki segak bergaya tu. Tapi tak adalah aku sangka dia tu sebenarnya pensyarah aku dan sekarang dia tengah tanya dekat aku soalan cepu emas macam tu.

“Eh sir ni. Tiba-tiba tanya saya soalan macam tu. Sir angau dekat saya ke?” soalku kembali kepada manusia bernama Syafrin ini.

Ha, padan muka. Sekarang rasa macam mana kalau tiba-tiba kena tanya soalan macam tu. Cepat jawab. Cepat. Aku tersenyum sendiri. Sekaligus, aku sedekahkan sekali senyuman mengejek pada Sir Syafrin. Nak sangat suruh aku jawab soalan dia tadi.

“Kalau saya kata saya angau dekat awak?” duga Sir Syafrin lagi.

Amboi kes parah pensyarah aku ni. Boleh pulak nak main-main dengan aku. Sekali aku back hand baru dia tahu.

“Saya tahu awak rindu dekat saya kan? Tak pun awak cinta dekat saya,” Sir Syafrin memang tidak mahu mengalah.

Aku memandangnya dari atas ke bawah. Dia cukup segak hari ini dengan kemeja hitam jalur-jalur. Seluar slack hitam membuatnya penampilannya cukup untuk membuat aku terpesona. Tu belum masuk tali leher merah hati yang tersangkut kemas di lehernya. Memang lain benar dengan penampilannya saat dia terjatuh di kolam ikan dahulu.

“Saya? Cinta? Rindu? Tak mungkin. Tak mungkin,” ujarku dengan tawa dan terus hilang di sebalik pintu kelas. Aku dapat menangkap suara Sir Syafrin mentertawakan aku saat itu. Aku tidak kira, pensyarah muda itu mahu katakan aku pengecut atau apa. Aku hanya mahu melarikan diri daripada soalan-soalan yang bakal menjerut leher aku kalau sesi soal jawab itu masih diteruskan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience