GENAP seminggu pemergian arwah Faiz. Hari yang ku tunggu-tungu kini tiba. Aku tiba di rumah Mama Zita pada pukul 2 petang. Aku tidak hiraukan letih yang masih bersisa. Aku kena cepat. Tak sabar rasanya hendak masuk ke dalam bilik arwah Faiz. Kenapa mesti tujuh hari? Pelik!
“Assalamualaikum” laungku selepas menekan loceng.
“Waalaikumussalam. Eh, Ann masuklah” pelawa Mama Zita seraya memelukku setelah pintu pagar dibuka.
“Mama Zita dengan Papa Syah sihat?”
“Alhamdulillah kami sihat. Ann dengan family?”
“Kami pun sihat” aku senyum.
“Ann pergilah masuk bilik arwah. Mama Zita nak ke dapur sekejap”
Aku mengangguk dan mula melangkah naik ke tingkat atas. Terketar-ketar tanganku sewaktu hendak memulas tombol pintu. Dada usah cakap. Macam nak pecah ku rasakan. Aku gagahkan diri untuk melangkah.
Suis kipas segeraku buka. Langsir pula kuselak bagi membolehkan cahaya matahari menerobos masuk ke bilik itu. Saat aku berpaling, terkejutku dibuatnya. Gambar aku dan arwah Faiz terpampang merata-rata di dinding bilik itu. Setiap gambar pasti ada caption tersendiri. Kakiku melangkah mendekati katil. Sepucuk surat terletak kemas di atasnya. Berdebar-debar aku hendak membuka. Perlahan-lahan surat itu aku keluarkan. Setelah berjaya dikeluarkan dari sampul, aku mulai membaca bait-bait kata yang ditulis dengan tulisan tangan itu.
Assalamualaikum Ann, sayang…
Cuba tengok hari ni hari apa? Berapa hari bulan? Yeay, genap setahun kita kawan. Eh kawan ke? Heeee ?? Kat sini aku nak minta maaf banyak-banyak sebab selalu buat kau sakit hati, terasa, dan halalkan makan minum aku. Aku tak lama Ann..Mungkin esok lusa Allah dah ambil nyawa aku.
Kau ingat lagi tak masa kita mula-mula kenal dulu? Punyalah sombong kau tu. Susah betul aku nak rapat dengan kau. Haha, kenangan tu akan aku bawa sampai mati. Sungguh aku rindu nak ulang semua tu.
Aku minta kau jangan menangis. Jangan meratap bila aku dah tiada di sisi kau. Even aku dah tak ada sebelah kau, tapi aku tetap ada dalam hati kau. Ingat tu! Jangan pernah padam nama aku dalam hati kau. Tapi bila kau dah jumpa pengganti aku, aku izinkan kau padam nama aku dalam hati kau.
Sayang, maafkan aku jika selama ini perbuatanku pernah mengundang ketidakpuasaan di hati kau. Aku hanya insan biasa yang tak punya apa-apa.
Aku tak nak tulis surat sedih-sedih. Rasa macam cliché pula. Apa-apa pun jaga diri, jaga iman, jaga mata, jaga nama baik keluarga dan jaga agamamu Sayang. Aku nak pergi. Pergi jauh dari sini.
Insan yang menyayangimu,
Muhammad Faiz
Mengalir air mataku. Surat itu aku bawa ke dada. Aku dakap erat. Surat itu sangat istimewa bagi aku. Mungkin bagi orang lain, ia tak ubah seperti sampah tapi ia amat bermakna di mata aku.. Surat tulisan tangan Faiz! Aku bangun dari katil menuju ke dinding yang penuh dengan gambar kami.
Perlahan-lahan aku sentuh gambar aku dan dia. Ketika itu, kami bercuti di Pulau Kapas. Percutian yang tidak dapat aku lupakan kerana di situlah dia melamar aku menjadi kekasihnya. Sungguh aku rindu detik itu.
Aku melangkah ke almari baju arwah. Pintu almari aku sorong perlahan. Terpampang baju melayu cekak musang berwarna biru yang tergantung kemas di dalam almari. Sekeping nota dilekatkan pada poket baju melayu itu. Aku segera membacanya.
Sayang, cantik baju ni. Sorry sebab aku tak sempat nak pakai baju ni. Semoga lebaran kali ini membawa 1001 mana kepada kau. Salam sayang daripada aku.
Faiz
Aku tersenyum. Tiada air mata yang mengalir. Semuanya bagaikan kering. Akan ku semat sekemas mungkin segala kenangan bersama arwah. Semoga arwah tenang di sana. Faiz, bersemadilah kau dengan tenang di sana. Ku izinkan kau pergi. Dan kau juga izinkan aku untuk menyimpan namamu dalam hatiku selamanya.
Aku tersenyum. Akibat terlalu mengantuk dan letih, aku tertidur ditepi almari biliknya tanpa sengaja. Aku bermimpi sesuatu. Dalam mimpiku, arwah Faiz datang dengan memakai pakaian serba putih. Dia tersenyum mengangguk. Mulutnya seolah-olah berkata tetapi tiada suara yang terdengar. Aku menangkap bait yang terukir di bibirnya. Aku izinkan! Dia berkata sedimikian. Namun, figura itu semakin menjauh dan seterusnya hilang begitu sahaja. Puas aku menjerit memanggil namanya. Tiada sebarang sahutan yang aku terima.
Aku terjaga dari mimpi. Peluh yang membasahi dahi segera aku kesat dengan hujung tudung. Ya Allah! Apakah petanda mimpiku sebentar tadi? Adakah dia menginzinkan aku? Subhanallah.
Baju melayu yang ku genggam erat itu segera aku sangkut semula ke dalam almari. Aku melangkah keluar dari bilik arwah. Tujuan utama ialah ingin bertemu dengan Mama Zita. Setelah kelibatnya kelihatan di dapur rumah, aku segera mendekati.
“Mama Zita…” panggilku perlahan.
“Ya Ann?” sambutnya lalu berpaling menghadapku.
Aku terus memeluknya lalu bermulalah adegan air mata. Entah mengapa sebak yang ku rasa tidak dapat dibendung lagi. Jika tadi air mataku bagaikan sudah kering, kini air mata bagaikan paip air yang tidak boleh ditutup.
“Ann mimpi arwah datang…” luahku. Mama Zita mengusap belakangku perlahan-lahan bagi menenangkan aku yang tersedu-sedan.
“Kita doakan dia ya? Moga dia tenang di sana”
“Dia datang then dia sebut ‘Aku izinkan’” ceritaku.
Pelukan sudah ku lepas. Mama Zita menarik tanganku untuk duduk di kerusi meja makan. Aku menurut.
“Apa maksud Ann?” soalnya pelik.
“Sebelum Ann tertidur tadi, Ann minta izin dia. Ann minta izin untuk simpan nama dia dalam hati Ann selama-lamanya dan dia izinkan…” aku kembali sebak.
“Subhanallah…Semoga Allah menempatkan dia di golongan orang yang beriman..Doakan dia tenang di sana” pujuk Mama Zita lalu cuba menenangkanku.
Share this novel