SUDAH aku fikirkan keputusan ini berbulan lamanya. Setelah tujuh bulan aku dimadukan dan aku membuat keputusan untuk memintanya melepaskan aku. Aku sudah tidak mampu untuk bertahan lagi. Selama tujuh bulan aku bertahan kerana ingin menanti hari yang sesuai untuk aku minta dia lepaskan aku. Walaupun pada mulanya dia keberatan tetapi aku tetap berkeras ingin berpisah.
Cukuplah tujuh bulan yang penuh dengan derita dan sengsara bagi jiwa dan raga aku. Aku sudah tidak mampu untuk terus bertahan berada di sisi seorang suami yang dulu aku pernah cintai tetapi kini hanya tinggal rasa benci.
Aku memilih hari ini kerana hari ini merupakan ulang tahun perkahwinan kami yang kedua. Aku mahu dia ingat akan tarikh hari ini sampai bila-bila. Tarikh pernikahan kami sama dengan tarikh penceraian kami. Dan aku akan ingat sampai bila-bila. Tidak sampai dua tahun menyulam cinta bersama janji manisnya, aku dimadukan tujuh bulan yang lalu.
Sungguh perit untuk aku terima. Hati aku hancur saat itu. Saat dia menyatakan yang dia sudah berkahwin lain. Sangat hancur! Tetapi aku tidak menangis terlalu lama kerana air mata aku sangat berharga dan tidak akan aku bazirkan buat lelaki yang memilih untuk menyakiti hatiku.
Dengan lafaz talak satu, maka terjatuhlah talaknya pada aku. Aku tidak menangis kerana ini yang aku mahukan. Aku mahu bebas daripadanya. Aku tidak mahu hidup bermadu walaupun madu itu manis tetapi hakikatnya pahit. Biarlah dia bersama dengan isterinya yang baru dia nikahi tujuh bulan lalu.
Aku pernah memberi pilihan untuk memilih antara aku dan perempuan itu tetapi dia tidak mahu membuat pilihan. Dan sekarang aku yang membuat pilihan untuk bebas daripada dia.
"Nilufar."
Aku kenal suara itu. Suara yang pernah aku rindu untuk mendengarnya dikala menjauh. Suara yang aku angaukan saban malam. Tetapi itu dulu. Sekarang tidak lagi. Kalau boleh aku tidak mahu mendengarnya lagi.
"Ya. Ada apa? I rasa pasal kita sudah selesaikan? Tiada apa-apa lagi yang perlu dibincangkan." Kata aku sedikit tegas. Aku mahu dia mengerti bahawa aku sudah tidak mahu lagi menatap wajahnya.
"Sebegitu benci sayang pada abang ya."
Matanya yang bergenang aku tidak hiraukan. Aku tidak akan terperangkap lagi dengan air matanya. Tidak akan ada simpati buatnya lagi.
"Ya. Memang I bencikan you! Benci sangat!" marah aku. Perasaan sayang memang sudah tiada buat dia sebaik saja dia mengaku sudah berkahwin lain.
Dan alasan dia berkahwin lain kerana janjinya pada perempuan itu. Ya! Kerana janji lelaki yang bernama Nuqman memungkiri janjinya bersama aku dan curang dengan wanita lain!
Janji sepuluh tahun yang lalu pada wanita yang bernama Laila menghancurkan rumah tangga aku. Janji yang aku sendiri tidak tahu kewujudannya itu. Maka janji Nuqman untuk aku lebur begitu saja. Saat ini, aku sudah tidak percayakan janji lelaki! Tidak lagi!
"Sayang! Apa pun yang terjadi, abang tetap sayangkan, sayang."
Sakit sungguh hati aku ketika ini. Aku tersenyum sinis memandang Nuqman.
"Sayang? Kalau sayang, you takkan menduakan I, Nuqman! Tak akan! Sudahlah. I dah muak dengan sayang you itu. Pergilah pada isteri you yang setia menunggu you! Maaflah kerana I tak mampu untuk setia berada di sisi you kerana you memilih untuk tidak setia bersama I hingga akhirnya. You pilih untuk mungkiri janji you pada I tetapi tepati janji you pada Laila. Jadi, you lebih sayangkan dia daripada I, Nuqman!"
Terasa puas hati aku saat meluahkan semua ini. Ya! Puas.
Sekian lama aku pendam, akhirnya aku dapat luahkannya apa yang aku rasa. Aku nampak mata Nuqman terluka tetapi aku beribu kali terluka dengan apa yang dia lakukan.
"Sayang... Abang minta maaf!"
Sudah banyak kali aku dengar maafnya. Sudah muak!
"Simpan saja kata-kata maaf you itu. I dah muak dengar. Pergilah pada Laila kerana dia kebahagiaan you! Bukan I."
Aku melangkah menjauh meninggalkan Nuqman di situ. Cukuplah di sini saja. Aku mahu mulakan hidup baru. Tanpa lelaki bernama Nuqman di sisi dan di hati. Biarlah dia pergi bersama hati aku yang luka. Terkambus seperti luka yang dia telah torehkan padaku.
Selamat tinggal Nuqman. Semoga you bahagia dengan Laila. Maaf kerana I tak mampu bahagiakan you selama ini.
Tulusly,
Hezy Rose.
Hi, i need to publish this story back because i'm using new account. Hope you guys not bored to read this story again
Share this novel