BAB 2- DIA?

Short Story Completed 5620

SETAHUN berlalu peristiwa itu, aku mampu hidup tanpa dia di sisi. Sedikit pun aku tidak berpaling ke belakang kerana bagi aku hidup perlu diteruskan. Aku memilih jalan ini. Kenapa aku harus menangis? Aku perlu menjadi seorang Nilufar yang kuat. Bukan seorang wanita yang lemah.

Dan aku masih lagi sendiri walaupun ada yang cuba memikat tetapi hati aku tidak terpikat kerana aku sudah tidak percayakan lelaki. Bagi aku lelaki yang mendekati aku kerana ingin menumpang kesenangan aku. Bukan kerana cinta.

"Puan Nilufar, Encik Hazrel sudah sampai." Aku yang sedang termenung jauh terkejut dengan interkom yang berbunyi tiba-tiba. Suara setiausaha aku kedengaran melalui interkom. Mengkhabarkan bahawa mesyuarat bakal bermula.

"Baik. Saya gerak sekarang."

Aku bangun dan membetulkan blazer supaya kemas. Entah mengapa, mesyuarat kali ini hati aku terasa berdebar tidak tentu hala. Nak kata pertama kali handle meeting, sudah banyak kali aku lakukan. Bukan pertama kali.

Saat kaki semakin menghampiri bilik mesyuarat, hati semakin berdebar. Rasa apakah ini?

"Assalamualaikum." Aku menghulurkan salam buat client aku.

Kedengaran salam aku dijawab. Dan ketika mata aku terpaku pada seorang lelaki yang aku kenali, sepantas mungkin aku kawal riak. Tidak mahu terkesan dengan kehadiran lelaki itu di situ.

"I'm Hazrel." Lelaki itu memperkenalkan diri.

"Nilufar." Aku membalasnya dengan senyuman. Kenapa aku tidak terfikir Hazrel yang bakal aku temui hari ini merupakan Hazrel teman sewaktu universiti dulu.

Lupakan semua itu Nilufar! Itu semua cerita lama.

Selepas mempersilakan mereka duduk, aku terus memulakan perbincangan dengan client kerana tidak mahu membuang masa. Lagipun aku berasa kurang selesa dengan pandangan yang dihadiahkan oleh Hazrel.

"Terima kasih kerana sudi bekerjasama dengan syarikat kami. Esok, wakil saya akan hantar dokumen perjanjian ke syarikat Encik Hazrel."

Aku menutupi pertemuan kami dengan ucapan terima kasih. Berasa lega kerana akhirnya selesai juga perbincangan yang sangat menyeksakan hati aku dengan pandangan Hazrel itu.

"Sama-sama Puan Nilufar or should I call cik Nilufar." Balasan Hazrel buat aku terkedu. Lelaki itu tahu sesuatukah?

Ah! Masakan tidak tahu. Hazrel teman rapat Nuqman. Tidak mungkin lelaki itu tidak tahu apa yang terjadi pada hubungan dia dan Nuqman setahun yang lalu.

"Puan Nilufar is better."

Selamba aku membalas kerana aku selesa dengan gelaran itu. Dan tidak semua staf aku tahu yang aku sudah berpisah dengan Nuqman kecuali beberapa orang staf yang rapat dengan aku. Aku memilih untuk merahsiakan perkara itu kerana bagi aku tiada kepentingan untuk diberitahu umum.

Aku nampak senyuman sinis Hazrel tetapi cepat-cepat dia selindung dengan senyuman manisnya.

Selepas yang lain keluar, Hazrel masih lagi di situ. Aku yang sedang mengemas barang aku, tidak hiraukan dia. Malas hendak ambil tahu akan lelaki itu.

"You look so gorgeous, Luf." Tangan aku yang sedang menarik fail di atas meja terhenti seketika. Apa maksud lelaki itu memuji aku tiba-tiba? Pasti ada agendanya.

"Straight to the point, Mr Hazrel!" aku malas hendak berteka-teki dengan lelaki dihadapan aku ini.

"Good. You still remember how I am, Luf." Senyuman Hazrel buatkan aku ingin cili saja mulutnya. Biar hilang senyuman itu.

"Kontrol sikit muka geram you pada I, Luf. Nanti orang salah faham pula." Kali ini Hazrel ketawa pula. Aku terus menjelingnya tanda geram. Pasti ada saja cara dia hendak sakitkan hati aku.

"What do you want, Mr Hazrel Tan Sri Ahmad?" suara dicelah gigi kerana aku terlalu geram dengan Hazrel yang suka cari pasal dengan aku sejak dari dulu lagi.

"I want to lunch with you, Miss Nilufar Tan Sri Rasydan."

Lantas aku menggeleng tanda tidak terima menerima penerimaan dia.

"No objection,Nilufar! This is an order. I already got a permission from your father."

Kata-kata Hazrel buat aku ingin mengamuk di situ. Dasar lelaki licik. Sengaja dia gunakan papa semata-mata hendak makan tengah hari bersama aku. Atau ada agenda lain?

"I'm busy today, Hazrel."

Aku cuba mencipta alasan. Sebolehnya aku ingin mengelak daripada Hazrel. Tidak mahu berduan dengan lelaki ini kerana aku risau hati aku tidak kuat. Aura seorang Hazrel Tan Sri Ahmad masih lagi sama. Sama seperti dia tinggalkan aku enam tahun yang lepas.

Bukankah sekarang pun kau sedang berdua-duan dengan dia, Nilufar?

"Like I said before. No objection, Nilufar!" suara Hazrel yang sedikit tegas itu aku buat-buat tidak tahu.

Dan saat aku melangkah menuju ke pintu keluar, ugutan Hazrel mampu melupuhkan langkahku.

"Selangkah you keluar, Nilufar, I akan beritahu Nuqman tentang kewujudan anaknya."

"You ugut I, Hazrel?" aku berpaling ke arahnya. Dari mana Hazrel tahu rahsia aku yang ini? Tiada siapa yang tahu akan hal itu kecuali keluarga aku saja.

"Ya. I ugut you!" pengakuan Hazrel membuatkan aku panas hati. Geram! Siapa dia hendak masuk campur urusan peribadi aku?

"Beritahulah. I tak kisah kerana anak tu dah tak ada! Tak ada, Hazrel! Dia dah mati!" dengan berani aku menentang mata Hazrel. Aku cuba tahan air mata dari jatuh.

Kenapa perlu diungkit kembali kisah itu? Kisah yang sangat menyakitkan aku. Ya! Memang aku mengandung selepas Nuqman menceraikan aku tetapi anak itu tidak sempat menjenguk dunia. Dia meninggal dalam kandungan aku saat cukup sifatnya.

Tetapi apakan daya. Allah pinjamkan dia sekejap untuk aku. Mungkin memang di antara aku dengan Nuqman memang tiada jodoh dan hubungan kami terputus terus. Jika ada anak, masih ada sebab untuk Nuqman rujuk dengan aku.

Bukan Nuqman tidak ada mencari aku selepas dia menceraikan aku tetapi awal-awal lagi aku menjauhkan diri daripadanya. Tidak mahu rahsia itu diketahuinya walaupun aku tahu Nuqman berhak tahu. Dan biarlah rahsia itu tetap menjadi rahsia aku dan keluargaku.

"You tipu!" wajah Hazrel yang terkejut itu aku pandang. Mungkin Hazrel tidak tahu akan rahsia yang satu itu.

Aku senyum sinis sebelum membalas kata-katanya. "Tiada guna I tipu you, Hazrel! Soal hidup mati, I takkan pernah menipu."

Tombol pintu bilik mesyuarat aku pulas dan melangkah keluar dari situ. Meninggalkan Hazrel sendirian supaya dia dapat menghadam kenyataan itu! Pandai sangat buka kisah aku yang menyakitkan tetapi diri sendiri terkejut dengan kenyataan yang dia sendiri tidak pernah tahu!

Tulusly,
Hezy Rose.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience