BAB 5

Family Completed 1098

Keesokan harinya, aku dibenarkan pulang. Ada sedikit sinar di wajahku saat melihat ayah, abang dan Mak Mawar datang menjemputku pulang. Namun, sinar itu hanya menjelma sementara. Dalam perjalanan pulang, tiada sesiapa yang mahu berbicara atau menggembirakan aku. Mak Mawar hanya megusap lembut kepalaku.

Saat air mata mula menitis, Mak Mawar menggenggam erat tanganku. Mungkin mereka masih terkejut dengan keadaanku atau tiada lagi rasa sayang mereka terhadap diri ini.

Sesampainya kami di rumah, aku tercari-cari ibu dan kakak. Namun aku hampa. Kelibat mereka tidak aku temui. Tangan ayah aku goncang. Bibirku cuba mengungkap perkataan ibu. Ayah hanya memandang aku dengan mata berkaca dan terus meleraikan pegangan tanganku. Ayah berlalu pergi dari situ.

Tangan abang pula cuba kucapai, namun tidak tercapai. Abang langsung tidak memandang wajahku. Cuma tangannya menepuk bahu kananku.

“Sabar.” Sebutir perkataan akhirnya terluah juga daripada mulut abang.

Sama seperti ayah, abang juga berlalu meninggalkan aku.

Kini, hanya Mak Mawar yang ada bersama denganku. Mak Mawar menolak aku yang duduk di atas kerusi roda masuk ke dalam biliknya. Mak Mawar membawa aku ke dalam bilik air.

“Tamara solat ya! Minta Allah tenangkan hati. Tenangkan jiwa.”

Bicara Mak Mawar pendek.

Aku hanya membiarkan Mak Mawar membantu aku berwudhu’. Kemudian, tikar sejadah dibentang. Sebuah kerusi berwarna merah Mak Mawar sediakan di atasnya. Mak Mawar kemudiannya membantu aku untuk beralih tempat. Sepasang telekung yang masih baru disarungkan kepadaku. Mak Mawar memberi aku peluang untuk menghadap Allah.

Ketika solat, air mataku tidak pernah berhenti mengalir. Jiwaku sangat rapuh saat itu. Dakapan Ilahi membuatkan aku lebih tenang. Aku sedar bahawa masih ada tempat untuk aku mengadu.

Selesai solat, aku menadah tangan ke hadrat Ilahi. Doa kupohon bersungguh-sungguh. Diri ini mengharapkan bahagia. Hati ini mengharapkan pengakhiran sebuah duka. Tidak pernah aku rasakan perasaan sehebat ini. Jiwaku seperti telah hilang dibawa arus deras di sebatang sungai yang tidak pernah wujud di alam nyata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience