BAB 3

Family Completed 495

Abang ingat tak lagi, tanggal 7 Februari 1994? Semasa abang meminta ibu
mengirimkan sejumlah wang sebanyak RM7,000 bagi tujuan abang kembali ke
tanahair, ibu begitu kebingungan bagi mencari wang sebanyak itu itu.
Akhirnya ibu bernekad untuk menggadaikan segala harta pusakanya yang
masih ada lagi dalam simpanannya itu. Harta Pusaka tinggalan Opah Eton .
Tapi tidak cukup dengan itu, ibu merayau-rayau memohon hutang daripada
jiran-jiran sebelah menyebelah. Kasihan Adik melihat ibu merayu-rayu
jiran terdekat untuk membantu kepulangan abang itu. Dan akhir sekali
Adik terpaksa mengeluarkan wang simpanan kerja Adik selama ini yang
tidak sampai RM2,000 itu untuk membantu abang. Bukan niat Adik untuk
mengungkit-ungkit segala yang Adik serahkan itu tetapi Adik kesal kerana
Adik yang selama ini berpenat lelah mengumpul duit bagi tujuan
melanjutkan lagi pelajaran setelah sekembalinya abang dari luar negeri
akhirnya terkubur begitu sahaja. Mungkin duit tersebut bukannya rezeki
Adik tetapi rezeki abang. Tapi Adik sungguh kesal dengan kepulangan
abang dengan segulung ijazah itu akhirnya membawa penderitaan kepada
Adik dan keluarga. Ibulah orang yang paling sedih dengan kejadian itu.
Kegembiraannya hanya seketika dan ianya bertukar menjadi muram apabila
melihat abang berjalan keluar daripada lapangan terbang tanpa
mempedulikan ibu. Ibu yang bersusah payah datang dari Teluk Intan ke
Kuala Lumpur hanya untuk menyambut kepulangan abang tapi malangnya ibu
hanya dapat melihat abang sekali imbas kerana abang sudah lupa bahawa
abang adalah anaknya. Yang Adik tahu cuma abang bersalam dengan ibu dan
kemudian menghala keluar dengan seorang perempuan di sisimu. Akhirnya
Adik mendapat tahu bahawa perempuan itu adalah isteri abang yang sah.
Yang telah abang nikahi di luar negeri lagi. Yang telah abang nikahi
dengan duit yang telah ibu kirimkan tempohari. Rupa-rupanya RM7,000 itu
adalah habuan hangus perkahwinan abang dengan Kak Milla . Tapi kenapa pula
abang tidak mahu memperkenalkan Kak Milla kepada ibu. Abang nampaknya
terlampau memandang hina ke arah ibu mungkin kerana pakaiannya yang
tidak sesempurna insan lain yang turut berada di lapangan terbang
tersebut. Adik tahu mungkin kerana pakaian ibu tidak menunjukkan bahawa
ibu adalah besan Keluarga Datuk Harun, pemilik kilang besi waja di
selatan tanah air. Besan ibu pun seolah-olah memandang ibu dengan
pandangan yang hina dan seolah-olah ibu ini adalah dari kaum HARIJAN.
Abang pun kejam dengan tidak mempedulikan kehadiran ibu. Agaknya abang
malu beribukan balu seorang penarik beca? Malu beribukan Rubaya Binti
Mohammad. Malu dengan kedaifan ibu. Adik tahu bahawa mungkin abang
malu dengan Kak Milla dan juga keluarga mentua abang yang kaya raya itu
lantaran itu tidak layak untuk bersekongkol dengan ibu.

Abang tahu tak, selepas peristiwa itu ibu termangu sendirian umpamakan
orang bodoh di ceruk dapur. Adik jugalah yang membantu ibu dalam segala
hal. Adik jugalah yang menjadi abah dan ibu kepada Acik, Usu dan Adik.
Mereka terlalu kecil untuk mengetahui masalah dunia ini. Mereka masih
belum mengerti dengan kehidupan yang penuh kepura-puraan. Seminggu
selepas itu, ibu tak habis-habis menangis dan meracau menyebut-yebut
nama abah. Nama abang juga tidak lekang daripada mulutnya. Tapi
sayangnya walaupun abang telah diberitahu namun bayangan abang tidak
kelihatan. Agaknya abang malu untuk menjejakkan kaki abang ke pondok
buruk Ahmad Nawab lagi. Pondok yang telah uzur keadaannya sehinggakan
pondok kambing Pak Leman pun lebih kukuh daripada pondok kami. Adik tahu
bahawa abang takut untuk mengotorkan kaki abang ke pondok buruk ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience